Sabtu, 14 Mei 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


KL sokong pelan damai Bahrain

Posted: 14 May 2011 04:29 PM PDT

Nasional

NAJIB berbincang dengan Raja Abdullah Abdulaziz pada sesi pertemuan di Riyadh, kelmarin. - Foto Saudi Press Agency

NAJIB berbincang dengan Raja Abdullah Abdulaziz pada sesi pertemuan di Riyadh, kelmarin. - Foto Saudi Press Agency

Malaysia sedia hantar pasukan pengaman bantu kekal kestabilan: PM

KUALA LUMPUR: Malaysia menyokong penuh tindakan terbaru Arab Saudi dan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk mencapai keamanan, perdamaian dan kestabilan jangka panjang di Bahrain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berada di Arab Saudi, kelmarin, membuat pengumuman itu selepas menghadap Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.

"Malaysia menyokong penuh semua keputusan berdaulat yang diambil oleh Arab Saudi dan negara-negara anggota GCC untuk memelihara kestabilan serta keselamatan wilayah ini dalam tempoh yang mencabar ini," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri di sini, malam kelmarin. Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berlepas ke Riyadh, Arab Saudi dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, pagi kelmarin.
Perdana Menteri dan delegasinya bertolak ke Qatar, semalam bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke negara Teluk berkenaan.

Najib berkata, Malaysia menyokong proses dialog nasional yang dilancarkan Putera Mahkota, Salman Hamad Al Khalifa, untuk menangani aspirasi penduduk Bahrain dan meredakan ketegangan di negara berkenaan.

Malah Perdana Menteri turut mengumumkan kesediaan menghantar pasukan pengaman ke Bahrain.
"Mengambil kira hakikat ini, Malaysia mengumumkan bersedia menghantar pasukan pengaman ke Bahrain jika diminta berbuat demikian oleh kepemimpinan Bahrain," katanya.

Pasukan tentera itu, kata Najib akan membantu misi sah tentera GCC yang melaksanakan peranan penting untuk memastikan kejayaan dialog nasional di Bahrain.

"Sekiranya dijemput, Malaysia akan menganggapnya sebagai satu penghormatan yang besar untuk menawarkan bantuan dalam usaha murni ini," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Nik Aziz mesti terima hakikat

Posted: 14 May 2011 04:27 PM PDT

Nasional

MUHYIDDIN dipeluk warga emas selepas mengimamkan solat Zuhur di Masjid Rumah Murah Batu Hitam Beserah, Kuantan, semalam. - Foto Azmaidi Abidin

MUHYIDDIN dipeluk warga emas selepas mengimamkan solat Zuhur di Masjid Rumah Murah Batu Hitam Beserah, Kuantan, semalam. - Foto Azmaidi Abidin

Siasatan pelaku dalam video seks untuk cari kebenaran: Muhyiddin

KUANTAN: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, digesa tidak terus menjatuhkan hukum sebaliknya perlu berkata benar walaupun pahit berhubung isu lelaki dalam rakaman video seks yang dikatakan mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri turut menyifatkan pemimpin PAS itu hanya menjawab isu berkenaan lebih berasaskan politik dan bukan hukum kerana umat Islam juga tahu hukum dalam Islam.

"Apabila sudah menjadi perhatian umum maka kerajaan perlu buat siasatan, tetapkan fakta sebenarnya...penting soal sebegini untuk diselesaikan. "Jadi bukan soal hukum kita semua. Orang Islam tahu hukum tetapi yang penting ialah mencari hak kebenaran. 'Ulil haq walau ka naburoo' yang bermaksud katalah benar walaupun kebenaran itu pahit," katanya pada sidang media pada majlis bersama lebih 2,000 warga pendidik, badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk Beserah, dekat sini, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam berhubung kenyataan Nik Aziz menyifatkan mereka yang mengaitkan Anwar dengan rakaman video seks itu, tidak akan masuk syurga.

Muhyiddin berkata, menjadi kebiasaan bagi Nik Aziz menjawab kenyataan sedemikian lebih kepada kepentingan politik.

"Ini fatwa baru dia (tak masuk syurga tuduh Anwar), saya fikir Nik Aziz biasanya begitulah," katanya.
Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata keputusan analisis pakar dari Amerika Syarikat diperoleh pihaknya kelmarin, sekali gus membuktikan bahawa rakaman video seks itu adalah benar dan bukan diubahsuai.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau akan mengumumkan khabar gembira kepada warga pendidik sempena Sambutan Hari Guru, esok yang diharap dapat menyuntik semangat mereka yang sanggup berkorban demi mendidik anak bangsa.

Selain itu, katanya, Kementerian Pelajaran mengkaji mewujudkan kelas tambahan bahasa Inggeris jika mendapati penguasaan bahasa Inggeris pelajar sekolah terutama di luar bandar dan pedalaman masih rendah walaupun sudah menyediakan pelbagai program bagi memperkasakan bahasa itu.

Sebelum itu hujan lebat tidak melunturkan semangat lebih 1,500 penduduk Kampung Sungai Ular untuk memeriahkan Majlis Sarapan 1Malaysia yang dihadiri Muhyiddin di pekarangan Masjid Qariah di sini, pagi semalam.

Masjid kecil berusia lebih 100 tahun terletak di tepi jalan utama Kuantan-Kemaman menjadi tumpuan walaupun program hanya dijangka bermula pada jam 9.30 pagi.

Dalam hujan lebat, Muhyiddin turut diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan