Rabu, 1 Februari 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Kerja secara elektronik 2020

Posted:

Kerja secara elektronik 2020

Kerja secara elektronik 2020

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 31 Jan. - Kerajaan negeri telah membangunkan Pelan Strategik ICT Negeri Sembilan (NSISP) sebagai panduan untuk menjadikan negeri ini berkeupayaan berhubung secara elektronik sepenuhnya pada 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelan itu merangkumi perancangan 10 tahun bermula tahun lalu hingga 2010.

"Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) adalah pemboleh ubah strategik yang berupaya meningkatkan keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat," katanya ketika menutup Hari Aktiviti Utama Ekonomi Nasional (NKEA), Kandungan, Komunikasi dan Kemudahan (CCI) dan Projek Penggerak Ekonomi (EPP) E-Government di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

Hadir sama, Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Mohamad Zabidi Zainal.

Kata Mohamad, pembangunan NSISP merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan semua aktiviti pembangunan ICT di seluruh negeri termasuk pentadbiran kerajaan negeri dapat diselaraskan.

"Perancangan, pelaksanaan dan pemantauan ICT yang cekap dan berkesan berupaya meningkatkan produktiviti dan memberi nilai tambah terhadap perkhidmatan yang disediakan bagi meneruskan momentum kecemerlangan pembangunan negeri ini," tegasnya.

Program itu antara lain bertujuan memberi penerangan, membentangkan program dan projek mengenai Program Transformasi Ekonomi (ETP), NKEA, CCI dan EPP.

Selain itu ia bertujuan menyampaikan maklumat perkhidmatan online kerajaan kepada semua pegawai perkhidmatan awam negeri ini.

"Bagi menjayakan transformasi, rakyat sebagai aset modal insan harus membabitkan diri secara aktif dan didorong untuk memikul sama usaha itu, selain berfikiran kreatif dan menjadikan ia budaya bagi membentuk dinamisme perubahan yang diharapkan," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

'Mualaf jadi duta perbetul salah faham peluk Islam'

Posted:

'Mualaf jadi duta perbetul salah faham peluk Islam'

'Mualaf jadi duta perbetul salah faham peluk Islam'

SEREMBAN 31 Jan.- Golongan mualaf wajar menjelaskan kebenaran kepada orang ramai bahawa memeluk Islam bukanlah bermaksud meninggalkan keluarga, apatah lagi ibu bapa masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persepsi itu telah menyebabkan masyarakat salah faham, sehingga boleh mendatangkan kesulitan kepada orang lain dan tidak menepati kehendak agama Islam.

"Ahli dan jawatankuasa Persatuan Cina Muslim negeri ini hendaklah menjadi duta untuk menjelaskan kemelut itu," katanya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Saudara Muslim Bersama Menteri Besar di Kompleks Al Saadah di Rahang dekat sini, malam tadi.

Katanya, selaras dengan kehendak Islam supaya ikatan persaudaraan sesama keluarga dan agama diberi keutamaan, maka wajar semua pihak memainkan peranan ke arah itu.

Mohamad juga mengingatkan semua pihak supaya menjauhi syak wasangka selain menghindari perbuatan menyakiti perasaan orang lain termasuklah mereka yang bukan seagama.

"Jadilah sebagai warga yang baik dan sentiasa bertakwa serta melihat bahawa kita sentiasa tinggal di dalam keadaan negara yang aman dan damai," jelasnya.

Tegas beliau, walaupun telah memeluk agama Islam, tanggungjawab anak terhadap ibu bapa tidak boleh sama sekali diabaikan.

Pada majlis itu Mohamad juga mengingatkan persatuan berteraskan agama agar diuruskan dengan baik serta tidak bergaduh sesama sendiri terutama dalam soal merebut jawatan penting.

Full content generated by Get Full RSS.

'Saya telah insaf dengan perbuatan lampau'

Posted:

'Saya telah insaf dengan perbuatan lampau'

'Saya telah insaf dengan perbuatan lampau'


Seorang banduan memimpin tangan ibunya ketika bertemu pada Program Jalinan Kasih sempena Tahun Baru Cina di Penjara Seremban, semalam.


SEREMBAN 31 Jan. - Seorang banduan, Ah Choong, 25, melahirkan rasa kesal selepas terjebak dalam kancah najis dadah sehingga menyebabkan dia dipenjara selama 10 tahun di Penjara Seremban dekat sini.

Malah ketika ditemui pada Program Jalinan Kasih sempena Tahun Baru Cina di penjara berkenaan hari ini, Ah Choong (bukan nama sebenar), hanya mampu menggelengkan kepala berulang kali kerana menyesali perbuatan lampaunya itu.

"Dalam penjara ini, saya banyak belajar. Saya betul-betul insaf. Saya tidak pernah terbayang akan berada dalam penjara ini.

"Saya terlalu mengikut perasaan untuk berseronok dan mengecapi kemewahan dengan wang yang tidak betul," katanya yang berasal dari Melaka.

Ah Choong merupakan antara 12 banduan yang dipilih menemui keluarga pada program berkenaan sempena perayaan tersebut.

Katanya, biarpun dipenjarakan, ia tidaklah seteruk yang disangka kerana di dalamnya banyak ilmu, pengajaran, didikan yang diberikan oleh pihak pengurusan penjara.

"Sekarang saya belajar menjahit pakaian. Saya amat berharap dapat memulakan kehidupan baru selepas ini," kata bapa kepada dua orang anak itu.

Ibunya, Chin Lee Yong 49, hanya mengalirkan air mata apabila berpeluang menemui anak keduanya itu.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Penjara Seremban, Redzwan Saghil berkata, pihaknya berharap kesemua banduan berkenaan memanfaatkan peluang bertemu keluarga itu dengan sebaik mungkin.

Menurut Redzwan, setiap kali musim perayaan, pihaknya memberi peluang kepada penghuni yang mempunyai prestasi baik untuk menyertai program bersemuka dengan ahli keluarga dan masa yang diberikan adalah terhad iaitu 45 minit bagi setiap keluarga.

''Kebanyakan keluarga banduan yang datang pada hari ini adalah dari luar daerah ini antaranya Melaka dan Selangor," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan