Harian Metro: Mutakhir |
Skuad bola sepak Sukan SEA 2011 rangkul anugerah SAM "Out-Do Yourself" Posted: 24 Feb 2012 06:18 AM PST KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Muda, yang muncul juara bola sepak Sukan SEA di Jakarta November lepas, dipilih oleh Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) sebagai pemenang Anugerah "Out-Do Yourself" 2011 SAM-100Plus-KBS. Skuad kebangsaan bawah 23 tahun di bawah bimbingan Ong Kim Swee berjaya mengekalkan pingat emas Sukan SEA selepas mengalahkan Indonesia 4-3 menerusi sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.
"Ini adalah penghormatan besar...tiada siapa memberi peluang untuk kami kembali dengan pingat emas dari Jakarta. Kami terpaksa melepasi gergasi seperti Thailand dan tuan rumah Indonesia sebelum diinobatkan juara," kata Kim Swee dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh SAM di sini hari ini. Dengan anugerah tersebut, beliau berharap untuk meningkatkan lagi prestasi pasukan serta merapatkan jurang dengan pasukan-pasukan gergasi di Asia, katanya yang akan menerima anugerah itu bagi pihak pasukan pada majlis penyampaian anugerah di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Ahad ini.
Sebelas calon itu adalah Datuk Lee Chong Wei (badminton), Datuk Nicol David (skuasy), Pandelela Rinong (terjun), Fatehah Mustapha dan Ju Pha Som Net (berbasikal), Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak), Jacqueline Jenelee dan Adrian Ang (boling), Aaliyah Yoong (ski-air), Kevan Cheah (wushu) dan pasukan recurve (memanah). Sejumlah RM45,000 turut ditawarkan bagi anggota SAM di bawah enam kategori; laporan berita terbaik (cetak), komentar terbaik (cetak), laporan berita terbaik (elektronik), komentar terbaik (elektronik), laporan khas terbaik (cetak dan elektronik) dan fotografi terbaik. Juara keseluruhan akan dipilih daripada enam kategori ini dan menerima hadiah RM7,000 serta sebuah trofi kristal. Setiap pemenang bagi enam kategori itu akan menerima RM3,000 dan trofi manakala semua lima calon bagi setiap enam kategori akan menerima RM500 dan pingat. -- BERNAMA |
Tiga penjenayah mati ditembak selepas samun kedai emas di Banting Posted: 24 Feb 2012 06:10 AM PST BANTING: Polis menembak mati tiga daripada lima penjenayah bertopeng dan bersenjatakan parang, pistol serta tukul dalam satu kejadian berbalas tembakan di Jalan Sultan Abdul Samad di sini, petang ini. Dua lagi penjenayah berjaya melarikan diri dan kini diburu polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata sebelum kejadian berbalas tembakan, penjenayah terbabit menyamun sebuah kedai emas di sini dalam kejadian kira-kira 1.05 petang. Beliau berkata empat suspek dipercayai memecahkan cermin pameran dan merampas barang kemas bernilai lebih RM150,000 manakala seorang lagi rakan mereka menunggu di luar premis berkenaan.
"Kami menjumpai separuh barang kemas bersama seorang suspek yang mati dan separuh lagi di dalam kereta berkenaan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. Polis turut menemui dua pistol, parang, tiga peluru serta tiga kelongsong peluru di tempat kejadian dan dipercayai digunakan ketika rompakan. Mohd Adnan berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang berumur antara 26 dan 28 tahun itu berasal dari Segamat, Rompin, dan Banting, serta mempunyai beberapa rekod jenayah iaitu samun dan dadah. Siasatan juga mendapati kereta Toyota Vios yang digunakan mereka adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Kelana Jaya pada 22 Feb lepas, katanya. -- BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan