Jumaat, 24 Februari 2012

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


BN Sarawak yakin pertahan 24 kerusi

Posted:

BN Sarawak yakin pertahan 24 kerusi

BN Sarawak yakin pertahan 24 kerusi

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
utusansarawak@utusan.com.my

BINTULU 24 Feb. - Barisan Nasional (BN) Sarawak yakin akan mempertahankan sekurang-kurangnya 24 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Setiausaha BN negeri, Datuk Dr. Stephen Rundi Utom berkata, jangkaan yang lebih konservatif itu dibuat selepas mengambil kira masalah yang dihadapi oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) untuk mendapatkan sokongan di kawasan bandar.

Bagaimanapun, katanya, Presiden SUPP, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui menegaskan pihaknya akan bekerja lebih keras selain memohon bantuan daripada parti-parti komponen BN lain.

"Dalam konteks Sarawak, kita yakin untuk menang dengan majoriti yang besar kecuali di kerusi kawasan bandar.

"Nasihat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah semua komponen BN mesti membantu SUPP mendapatkan semula kerusi yang tewas dan mempertahankan kerusi yang telah dimilikinya," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Tertutup Parti-Parti Komponen BN Sarawak bersama Muhyiddin yang turut disertai Pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Setiausaha BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Turut serta ialah Fah Kui, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr. James Masing dan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Tan Sri William Mawan Ikom serta beberapa pemimpin kanan parti-parti komponen BN Sarawak.

Berdasarkan tradisi kuota pembahagian kerusi, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan bertanding di 14 kerusi, SUPP (tujuh), PRS (enam) dan SPDP (empat).

Mengenai pergolakan dalaman SPDP pula, Rundi berkata, walaupun terdapat dua kumpulan yang bertelagah, mereka masih ahli BN dan ia tidak membimbangkan.

"Kebimbangan utama kami adalah tempoh pemulihan SUPP sewaktu kita bersiap sepenuhnya menjelang PRU-13," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, jentera BN Sarawak kini berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan memandangkan mereka baharu sahaja selesai menghadapi pilihan raya negeri April tahun lalu.

Ditanya adakah Muhyiddin gembira dengan persiapan komponen BN Sarawak bagi menghadapi PRU-13, beliau berkata: "Timbalan Perdana Menteri kelihatan gembira, malah tersenyum pada setiap masa."

Sementara itu, Fah Kui yang ditanya pemberita apakah nasihat Timbalan Perdana Menteri terhadap partinya yang kini dibelenggu masalah, enggan membuat sebarang ulasan.

Mawan pula apabila diajukan persoalan yang sama sekadar berkata, tiada yang luar biasa dan sebaliknya memberitahu Muhyiddin meminta SPDP bekerja keras dan bersedia menghadapi PRU-13.

BN terbukti mampu bela rakyat

Posted:

BN terbukti mampu bela rakyat

BN terbukti mampu bela rakyat

MELAKA 24 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya tidak terlalu bergantung dan memberi kepercayaan kepada pihak yang hanya mementingkan kedudukan daripada membela nasib rakyat dan negara.

Berucap di hadapan lebih 10,000 hadirin di Padang Taman Malim Jaya, Bachang di sini malam ini, beliau berkata, sebaliknya rakyat perlu meletakkan keyakinan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah membuktikan kemampuan untuk membawa banyak manfaat kepada mereka.

"Tidak ada pihak yang lebih baik memimpin negara melainkan kerajaan BN. Pembangkang pula sekadar janji tinggi melangit hanya ingin meraih sokongan. Kita tidak tipu rakyat, kita cakap apa yang kita boleh buat.

"Apa yang penting, kita (kerajaan) dah beri hasil, bukti dan melakukan tindakan. Tidak ada pihak lebih baik daripada BN dan rakyat tidak perlu bergantung kepada pembangkang," katanya pada majlis Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat di sini hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan pemimpin parti komponen BN.

Perdana Menteri turut menjadikan Melaka sebagai contoh kepada rakyat di negeri lain bagi membuktikan kemajuan yang telah dicapai di bawah BN.

"Saya melihat kalau hendak beri markah mana satu negeri yang boleh dijadikan cerminan kepada penghayatan gagasan 1Malaysia, barangkali Melaka ini negeri tertinggi.

"Faktanya amat jelas, cuba kita tengok setiap majlis diadakan, memang saya tengok kehadiran, air muka masyarakat 1Malaysia yang berhimpun menyokong majlis-majlis yang telah diadakan," katanya.

Najib menambah, semua itu adalah titik permulaan dan negara kini sudah masuk dalam pusingan akhir ke arah negara maju berpendapatan tinggi.

Katanya, ia bukan satu igauan atau impian kosong, tetapi matlamat yang boleh digenggam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan