Ahad, 26 Februari 2012

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Azizan dijangka lepaskan jawatan

Posted:

Azizan dijangka lepaskan jawatan

Azizan dijangka lepaskan jawatan

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dijangka melepaskan jawatannya kerana pucuk pimpinan Pas dilihat akur terhadap tekanan golongan pro-Anwar di dalam parti itu khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, perkara itu boleh berlaku jika melihat kepada semangat puak Anwarinas dan barisan Exco kerajaan negeri yang berusaha keras untuk menjatuhkan Azizan.

''Keadaan itu ditambah dengan strategi tangan ghaib dalam gerakan menjatuhkan Azizan dan diyakini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dapat menyelamatkan lagi rakan ulamanya itu, sama seperti beliau akur dengan kemasukan kumpulan pro Anwar dalam barisan kepimpinan parti.

''Selagi Azizan tidak melepaskan jawatan kepada puak penyokong Anwarinas, krisis di Kedah akan berlarutan malah lebih buruk. Dalam hal ini, Abdul Hadi lebih kusut dalam mempertahankan puak ulama,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau mengulas kenyataan Azizan semalam yang yakin tekanan politik dialaminya tidak menggugat kedudukan dan peranannya sebagai Menteri Besar selain terus mendapat sokongan hebat daripada rakyat.

Mohd. Azizuddin melihat situasi itu sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menarik sokongan 30 hingga 40 peratus pengundi di negeri itu yang terkenal sebagai pengundi atas pagar selain 50 peratus yang merupakan pengundi setia UMNO.

Kata beliau, para pengundi atas pagar dari awal telah kecewa dengan pentadbiran Azizan termasuk aspek kesihatan Menteri Besar itu yang tidak meyakinkan.

Sementara itu, Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, pilihan raya umum akan datang bukan lagi peluang untuk Pas mempertahankan Kedah walaupun hasrat Abdul Hadi dan ulama Pas mahu Azizan terus kekal mentadbir negeri berkenaan.

Jelasnya, isu dalaman Pas Kedah yang melibatkan Menteri Besar itu juga sebenarnya lebih banyak berpunca daripada sikap Azizan sendiri yang gagal dalam banyak perkara dan seharusnya beliau menerima dengan terbuka kejatuhan yang bakal dialaminya.

''Azizan begitu lemah, bukan hari ini sahaja tetapi sejak dari awal pemerintahannya. Kelemahan itu bukan sahaja ditonjolkan oleh puak penyokong Ketua Pembangkang yang berada di dalam Pas bahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas turut memperakui perkara itu.

''Justeru, Azizan bukan lagi pilihan utama rakyat yang mengimpikan pembangunan,'' katanya.

Azmi berkata, krisis yang melanda di Kedah bukan sahaja menyebabkan Presiden Pas berasa serba-salah terhadap puak ulama tetapi bakal membawa kehancuran parti itu di negeri tersebut.

Abdullah Jusoh, Yahya Abdullah disebut-sebut calon Exco baru

Posted:

Abdullah Jusoh, Yahya Abdullah disebut-sebut calon Exco baru

Abdullah Jusoh, Yahya Abdullah disebut-sebut calon Exco baru

ALOR SETAR 26 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Abdullah Jusoh dan ADUN Jeneri, Yahya Abdullah disebut-sebut sebagai calon Exco kerajaan negeri yang baru bagi 2012 jika berlaku kekosongan jawatan itu dalam tempoh terdekat ini.

Sumber terdekat dengan Menteri Besar memberitahu, nama dua wakil rakyat itu menduduki senarai teratas untuk dilantik jika dua penyandang exco sedia ada 'tidak muncul' pada majlis mengangkat sumpah pada Selasa ini hingga tarikh luput jawatan mereka pada 7 Mac ini.

"Abdullah sudah mempunyai pengalaman sebagai Exco sebelum ini maka ia adalah satu kelebihan baginya," kata sumber tersebut kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada sidang akhbarnya hari ini memberitahu, hanya lapan exco dijangka mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit, Selasa ini manakala baki dua exco lagi boleh berbuat demikian kemudian.

Dua exco kanan kerajaan negeri iaitu Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr. Ismail Salleh sebelum ini dikatakan menghantar surat kepada Azizan bagi menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu, yang dijadual pada Selasa ini.

Phahrolrazi merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga manakala Dr. Ismail adalah Pengerusi Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Mengulas lanjut, sumber memberitahu, Abdullah mungkin dilantik semula sebagai Exco kerana pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Pembangunan Usahawan selama dua tahun.

Bagaimanapun beliau tidak dilantik semula sebagai Ahli Majlis Kerajaan Negeri Kedah pada majlis pelantikan 10 Mac 2010.

Sumber juga berkata, Yahya pula adalah antara wakil rakyat Pas yang kanan dan berkebolehan untuk mengisi kekosongan exco.

"Bagaimanapun, ia terserah kepada Menteri Besar untuk membuat pilihan," jelasnya.

Katanya, nama lain yang turut berpotensi untuk mengisi jawatan tersebut ialah ADUN Kupang, Johari Abdullah dan ADUN Bukit Pinang, Md. Rohsidi Osman selain Ahmad I'zzat Mohamad Shauki (ADUN Bukit Lada) serta Mohd. Nasir Mustafa (ADUN Kubang Rotan).

Wakil-wakil rakyat Pas lain ialah Md. Zuki Yusof di Kuala Ketil dan Yaakub Hussin di Bandar Baharu.

Sumber itu berkata, lapan penyandang Exco sedia ada dijangka dilantik semula dan akan mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit, Selasa ini.

Mereka adalah Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib, Siti Aishah Ghazali, S. Manikumar, Lim Soo Nee, Abd. Ghani Ahmad dan Tan Chow Kang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan