Selasa, 28 Februari 2012

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


PDRM, RTP tingkat operasi kesan pengganas

Posted:

PDRM, RTP tingkat operasi kesan pengganas

PDRM, RTP tingkat operasi kesan pengganas

Oleh Angelina Sinyang


ISMAIL Omar (kiri) bertukar dokumen dengan Preophan Dhamapong yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatan Kuasa Urus Setia Dalam Aktiviti Jenayah Melibatkan Thailand-Malaysia Kali Ke-21 di Centara Grand Hotel di Bangkok, semalam.


BANGKOK 28 Feb. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand (RTP) bersetuju meningkatkan lagi operasi bersama untuk mengesan saki baki anggota kumpulan pengganas yang menjadikan dua negara berjiran ini sebagai tempat persembunyian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, keputusan itu merupakan antara 11 perkara yang dibincang dan dipersetujui bersama semasa Mesyuarat Urus Setia Kerja Dalam Aktiviti Jenayah Melibatkan Malaysia-Thailand Kali Ke-21 yang berlangsung di sini hari ini.

Menurut beliau, isu pengganas atau terorisme diberi perhatian dalam mesyuarat kali ini kerana mengambil kira apa yang telah berlaku di Indonesia dan selatan Thailand dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

"Pihak berkuasa kedua-dua negara bimbang ada individu disyaki pengganas melarikan diri sama ada ke Malaysia atau Thailand. Untuk itu, kita rasa perlu diteruskan kerjasama untuk menjalankan pemantauan bagi mengesan individu berkenaan.

"PDRM mempunyai pasukan khas terorisme yang sering berkomunikasi dengan rakan sejawatan di RTP. Kita bersetuju untuk meningkatkan operasi mengesan jika ada saki baki atau penyokong kumpulan pengganas yang menggunakan sama ada Thailand atau Malaysia untuk dijadikan tempat mereka bersembunyi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas selesai mesyuarat di Centara Grand Hotel di sini hari ini.

Terdahulu, Ismail dan Ketua Polis Negara Thailand, Jeneral Preophan Dhamapong sama-sama mempengerusikan mesyuarat dan mengadakan sidang akhbar selepas itu.

Turut hadir, beberapa pegawai kanan polis dari kedua-dua negara termasuk Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin dan Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM), Datuk Isa Munir.

Menurut Ismail, ketika ini, polis kedua-dua negara sudah memeterai perjanjian atau persefahaman untuk meletakkan anggota di pintu sempadan bagi melaksanakan tugas rondaan secara bersama.

"Tumpuan risikan juga diberi keutamaan iaitu kita akan pantau pergerakan, saling bertukar serta berkongsi maklumat tentang individu yang kita percaya mempunyai kepentingan dan niat jahat terhadap kedua-dua negara," ujarnya.

Selain persetujuan kerjasama dalam isu terorisme, Ismail berkata, 10 lagi perkara diluluskan dalam mesyuarat itu ialah penyeludupan dan pengedaran dadah; pemerdagangan manusia; penyeludupan dan pengedaran senjata api; melindungi nyawa dan harta benda rakyat yang tinggal di sepanjang sempadan; pembangunan dalam pengendalian atau pemulangan barang bukti seperti kenderaan yang dirompak atau dicuri dari Malaysia ke Thailand dan sebaliknya.

Turut dipersetujui, kerjasama dalam jenayah ekonomi dan siber, langkah perisikan; jenayah di laut dan lanun; latihan dan pembangunan sumber manusia serta lain-lain perkara.

Sementara itu, Preophan semasa sidang akhbar memberitahu, mesyuarat kali ini berjaya mencapai matlamat untuk bekerjasama dalam membendung aktiviti jenayah membabitkan kedua-dua negara.

"Dalam usaha menangani aktiviti jenayah melibatkan dua negara, kita memang perlu berkongsi maklumat. Kerjasama begini memang sudah lama terjalin antara PDRM dan RTP dan akan diteruskan pada masa hadapan," ujarnya.

Dalam pada itu, kata Ismail, PDRM bersedia memberi segala maklumat yang diperlukan Jabatan Peguam Negara untuk membantu proses ekstradisi seorang lelaki warga Iran, Masoud Sedaghat Zadeh yang kini dikehendaki Polis Thailand.

Menurut beliau, proses mendapatkan ekstradisi ke atas suspek pengganas itu masih berjalan dan mungkin mengambil sedikit masa kerana perlu melalui beberapa saluran undang-undang.

"PDRM akan memberi fakta-fakta yang diperlukan (Jabatan Peguam Negara), begitu juga dengan Polis Thailand untuk membantu jabatan ini melengkapkan proses ekstradisi.

"Proses tersebut dijangka mengambil masa kerana ia melibatkan Jabatan Peguam antara kedua-dua negara," katanya berhubung perkembangan usaha Thailand mengekstradisi Masoud yang ditahan Polis Malaysia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang pada 15 Februari lalu. – UTUSAN

Lima anak yatim dakwa didera

Posted:

Lima anak yatim dakwa didera

Lima anak yatim dakwa didera


Siti Normala Shamsuddin menunjukkan tangan anaknya, Nur Izzati Ngah yang lebam selepas didakwa didera oleh petugas sebuah rumah kebajikan anak-anak yatim di Temerloh, semalam. – BERNAMA


TEMERLOH 28 Feb. – Lima anak yatim perempuan yang menghuni sebuah rumah kebajikan anak-anak yatim di Temerloh dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) semalam selepas mendakwa mereka didera petugas rumah berkenaan.

Bagaimanapun, hanya seorang sahaja mangsa iaitu yang berumur sembilan tahun masih dirawat di Hoshas, manakala yang lainnya dibenarkan keluar beberapa jam selepas menerima rawatan di wad kecemasan di hospital tersebut.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah Temerloh, Deputi Supritendan R. Sundralingam berkata, setakat ini polis menerima dua laporan berhubung kes berkenaan daripada dua penjaga kanak-kanak terbabit.

"Kanak-kanak yang berusia lingkungan sembilan hingga 14 tahun itu mendakwa mereka didera kakitangan rumah kebajikan terbabit sejak beberapa minggu lepas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, polis juga mengambil keterangan daripada pengurusan rumah berkenaan dan menunggu laporan penuh perubatan daripada Hoshas.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun.

Sementara itu, Siti Normala Shamsuddin, 47, ibu salah seorang anak yatim yang didakwa didera itu berkata, dia menerima panggilan daripada anaknya semalam sebelum bergegas ke Temerloh.

Siti Normala yang menetap di Puchong, Selangor bertindak membawa anaknya yang berusia 14 tahun itu ke hospital selepas mendapati anaknya mengalami kesan lebam-lebam.

"Saya lihat kesan lebam di lengan dan tangan anak, sebelum ini dia ada mengadu tapi saya buat tak kisah kerana anggap memang salah dia. Namun apabila kerap sangat tengok lebam sana-sini seperti sebelum ini, saya nekad membuat laporan polis," katanya.

Seorang lagi ibu mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, dia dimaklumkan yang anaknya didera sejak setahun lepas.

Sementara itu, jurucakap rumah kebajikan anak-anak yatim itu ketika dihubungi menafikan sekeras-kerasnya berlaku kejadian penderaan terhadap kanak-kanak rumah terbabit.

Menurut jurucakap itu, pelajar terbabit hanya didenda kerana telah melakukan kesalahan yang serius. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan