Khamis, 23 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


KPF masih berpeluang sertai FGVH

Posted: 23 Feb 2012 01:23 PM PST

Nasional

KUALA LUMPUR: Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Bhd (KPF) masih berpeluang menyertai penyenaraian bersama FELDA Global Ventures Holding Bhd (FGVH) jika lapan peneroka yang memohon injunksi di Mahkamah Tinggi Kuantan baru-baru ini, menarik balik permohonan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan (kanan), berkata FELDA tidak pernah mengetepikan kepentingan peneroka dan yakin jika KPF dapat menyertainya, warga FELDA secara keseluruhannya akan menikmati faedah berpanjangan.

Beliau berkata, ketiadaan KPF dalam penyenaraian itu bukan saja dilihat merugikan peneroka, malah kakitangan FELDA sepatutnya turut mendapat manfaat daripada program itu juga turut terlepas peluang berkenaan.

Ini semua rancangan pembangkang, jika mereka (pembangkang) ingin menjaga kebajikan peneroka sepatutnya menyokong penyenaraian FGVH. - Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

"Ini semua rancangan pembangkang, jika mereka (pembangkang) ingin menjaga kebajikan peneroka sepatutnya menyokong penyenaraian FGVH. Sebenarnya, pembangkang sedar jika penyenaraian ini berjaya mereka akan kalah teruk pada pilihan raya umum akan datang.

"Sebab itulah perkara ini dipolitikkan pembangkang kerana satu perempat daripada 222 kerusi Parlimen mempunyai FELDA dan jika kerajaan berjaya melonjakkan masyarakat FELDA, pembangkang akan gagal meraih sokongan peneroka.

"Jadi, jika pembangkang sedar penyertaan KPF penting untuk peneroka, mereka harus menasihati lapan peneroka berkenaan yang saya yakin didalangi pembangkang untuk menarik balik permohonan injunksi itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad, mengumumkan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia walaupun tanpa pembabitan KPF dan memberi jaminan akan terus menjaga kepentingan peneroka.
Bagi tujuan berkenaan, FELDA akan mewujudkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) bagi menggantikan KPF ekoran perintah injunksi dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuantan, bertarikh 17 Februari lalu yang mengakibatkan Mesyuarat Perwakilan Khas sepatutnya berlangsung kelmarin terpaksa dibatalkan.

Sementara itu, Ahmad berkata, pihaknya berharap KPF dapat menguasai 37 peratus kepentingan dalam penyenaraian berkenaan kerana yakin ia mampu memberi pulangan lumayan kepada peneroka dan kakitangan FELDA.

Dr M akui tegas pendirian Malaysia kepada 2 PM Israel

Posted: 23 Feb 2012 01:19 PM PST

Nasional

IPOH: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui pernah berutus surat dengan dua Perdana Menteri Israel ketika beliau menerajui kerajaan, tetapi bagi menyatakan penegasan rakyat Malaysia yang tidak mengiktiraf kerajaan rejim Zionis itu yang menindas rakyat Palestin.

Katanya, beliau hanya membalas surat ditulis oleh Benjamin Netanyahu yang dilantik sebagai Perdana Menteri Israel pada 1996 hingga 1999 dan Ehud Barak dari 1999 hingga 2001, yang mana kedua-duanya menyatakan harapan untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia.

"Dia (Netanyahu dan Barak) tulis surat kepada saya, harapannya bahawa kita di Malaysia yang tiada hubungan dengan Israel akan menukar pendirian dan mengadakan perhubungan dengan negara itu. Saya kata tidak mungkin selagi Israel masih bersikap ganas...saya jawab balik Malaysia tidak akan ada apa-apa hubungan dengan mereka selagi tidak mengiktiraf Palestin.

Dia (Netanyahu dan Barak) tulis surat kepada saya, harapannya bahawa kita di Malaysia yang tiada hubungan dengan Israel akan menukar pendirian dan mengadakan perhubungan dengan negara itu. Saya kata tidak mungkin selagi Israel masih bersikap ganas...saya jawab balik Malaysia tidak akan ada apa-apa hubungan dengan mereka selagi tidak mengiktiraf Palestin. - Tun Dr Mahathir Mohamad

"Saya masih ada salinan surat itu, saya tidak tahu kenapa kerajaan tidak membenarkan saya menyiarkan surat itu, semua surat saya yang ditulis kepada orang lain, kerajaan benarkan...jadi, saya harap kerajaan membenarkan saya menyiarkan surat itu," katanya pada sidang media selepas perasmian Program Jelajah Keamanan 'Waqaf Water 4Gaza' peringkat Perak yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di sini, semalam.

Beberapa blog propembangkang baru-baru ini menyiarkan kembali surat sulit yang didakwa kononnya dihantar Dr Mahathir bagi mengucapkan tahniah di atas pelantikan Barak sebagai Perdana Menteri Israel dan menyatakan hasrat Malaysia untuk menjalin hubungan diplomatik dengan negara itu.

Isu surat berkenaan yang pernah dinafikan Dr Mahathir sebelum ini ditimbulkan kembali penyokong pembangkang ekoran bantahan pelbagai pihak terhadap kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam akhbar Wall Street Journal yang menyatakan sokongannya terhadap apa saja usaha bagi melindungi keselamatan Israel.

Diminta penjelasan adakah benar dalam surat itu beliau memberi ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Israel, Dr Mahathir menjawab: "No way".
Mengenai dakwaan pembangkang bahawa Malaysia mempunyai hubungan perdagangan dengan Israel, beliau berkata, Malaysia tidak pernah membeli atau menjual barang ke negara regim zionis itu, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa jika ia dilakukan menerusi pihak ketiga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan