Selasa, 28 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Rakyat akar umbi tak diabai

Posted: 28 Feb 2012 01:53 PM PST

Nasional

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak, berkata negara tidak mengabaikan usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat pada peringkat akar umbi walaupun memberi perhatian terhadap usaha menjana kekayaan melalui pengkomersialan dan inovasi.

Perdana Menteri berkata, inovasi sebaliknya perlu dilihat dalam konteks usaha pembasmian kemiskinan, meningkatkan mutu kesihatan awam dan kemajuan dalam bidang pertanian.

Ini juga ada kaitan dengan hasrat kita membangunkan kawasan desa dan luar bandar berdasarkan model baru yang seimbang dengan keadaan abad ke-21, katanya ketika berucap sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Inovasi Negara, di sini semalam. Najib berkata, peranan sains dan teknologi amat penting bagi menambah nilai produk inovasi yang boleh dihasilkan oleh masyarakat akar umbi.

Justeru, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan membentangkan kertas kerja mengenai inovasi akar umbi untuk melihat bagaimana menggunakan pendekatan amalan terbaik yang digunakan di bidang lain yang terbukti berjaya menangani masalah keperluan asas dan harian masyarakat.

Berhubung kekurangan minat pelajar mengenai subjek sains dan matematik serta tahap inovasi yang masih rendah terutama di kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Najib berkata perkara itu akan ditangani secara agresif.

Beliau berharap pelan hala tuju modal insan dalam PKS yang sedang dibangunkan serta Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi serta Akta Sains yang sedang digubal dapat disiapkan menjelang akhir tahun ini.
Saya percaya inisiatif itu akan dapat menangani isu kritikal seperti pembangunan modal insan, bilangan penyelidik yang masih rendah, kemajuan kurang menarik dalam kerjaya sains, pelaburan pembangunan dan penyelidikan yang sederhana dan tahap inovasi yang belum memuaskan, katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Pelaburan Dana Awam dan Ekuiti di bawah Agensi Inovasi Malaysia (AIM) pula diberi mandat menambah baik landskap dan mekanisme pelaburan dalam R&D bagi memastikan pulangan setimpal.

Dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, Perdana Menteri berkata, ada kemestian bagi mengimbangkan pelaburan dalam bidang penyelidikan asas dengan kehendak pasaran seperti sasaran awal pada nisbah 50-50.

Bagi mencapai sasaran itu, kerjasama antara universiti dan institusi penyelidikan dengan industri perlu diperhebat serta dipertingkatkan selaras kehendak model inovasi negara, katanya.

Najib juga berkata adalah penting untuk mengimbangkan kemajuan sains dan teknologi dengan sains sosial kemanusiaan dalam agenda pembangunan negara untuk mengelak kemudaratan kepada negara. BERNAMA

MTUC mahu PM campur tangan selesai isu

Posted: 28 Feb 2012 01:46 PM PST

Nasional

SUBANG JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili 500,000 pekerja sektor swasta mahu mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak untuk meminta jasa baik Perdana Menteri campur tangan menyelesaikan beberapa isu berbangkit membabitkan ahlinya.

Ini berikutan, MTUC yang turut dianggotai 260 kesatuan gabungan membuat ketetapan hilang keyakinan terhadap Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang didakwa mereka gagal menangani masalah pekerja.

Presidennya, Mohd Khalid Atan, berkata MTUC sudah menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, kelmarin, menyatakan secara terperinci pendirian kesatuan itu dengan harapan mendapat nafas baru daripada pemimpin nombor satu negara. MTUC ingin bertemu beliau (Najib) kerana kami sudah hilang keyakinan terhadap Subramaniam, kerana beberapa isu yang dibangkitkan MTUC sebelum ini membabitkan kebajikan pekerja swasta dipandang remeh, katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mohd Khalid berkata, MTUC sudah banyak kali membantah pindaan kepada Akta Pekerjaan 1955, khususnya membabitkan sistem buruh kontrak, iaitu satu proses yang dilihat memutuskan hubungan antara majikan dengan pekerja.

Kita juga berharap kerajaan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menyiasat penubuhan kesatuan sekerja peringkat dalaman di Malayan Banking Bhd (Maybank) sedangkan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) sudah wujud kira-kira 50 tahun mewakili pekerja bukan eksekutif di bank itu.

Penubuhan kesatuan sekerja dalaman jelas bercanggah dengan Artikel 6 perjanjian bersama di antara NUBE dan Maybank, selain dua pegawai kanan NUBE yang juga pekerja Maybank dipecat Januari lalu, dakwanya.
Mohd Khalid berkata, MTUC akan melancarkan kempen mendapatkan sejuta tandatangan daripada pekerja swasta di negara ini sebagai membantah pindaan kepada Akta Pekerjaan 1955.

Maybank dalam kenyataannya pada 15 Februari lalu menegaskan pemecatan dua kakitangannya adalah disebabkan tindakan mereka memburukkan imej dan reputasi Maybank dan bukannya disebabkan pembabitan mereka dalam NUBE.

Di BUKIT MERTAJAM, Dr Subramaniam mendakwa beberapa pemimpin MTUC yang menganggotai parti politik tertentu menjadi punca utama isu kebajikan pekerja swasta gagal diselesaikan.

Katanya, MTUC mempunyai masalah dalaman yang menyebabkan pemimpin utamanya tidak boleh membuat keputusan sewajarnya ketika berjumpa dengan kementerian yang sudah mewujudkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan pelbagai isu termasuk membabitkan pekerja kontrak.

Mesyuarat pertama mereka datang, tetapi mesyuarat kedua tidak datang pula. Kerajaan sudah menyediakan platform mencukupi untuk melihat isu pekerja secara menyeluruh, katanya.

Subramaniam menjelaskan isu pekerja kontrak bukan pandangan kerajaan, tetapi diminta kesatuan sekerja sendiri, khususnya Kesatuan Pekerja Peladang Malaysia (NUPW).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan