Selasa, 28 Februari 2012

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


SPRM diberi akses penuh

Posted:

SPRM diberi akses penuh

SPRM diberi akses penuh

Oleh HASHNAN ABDULLAH dan HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


NAJIB Tun Razak meneliti isi kandungan buku Pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah pada majlis perasmian program berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. Turut hadir Mohd. Sidek Hassan (kiri) dan Abu Kassim Mohamad. - BERNAMA


PUTRAJAYA 27 Feb. - Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mempunyai akses penuh kepada dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran Persekutuan termasuk menteri, timbalan menteri dan keluarga mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, persetujuan itu sejajar dengan saranan Lembaga Penasihat SPRM supaya anggota pentadbiran kerajaan termasuk ahli keluarga terdekat mengisytiharkan harta masing-masing bagi menentukan ketelusan dan integriti mereka kepada umum.

''Berhubung langkah pengisytiharan harta yang dicadangkan oleh lembaga terbabit, ingin saya jelaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengamalkan proses itu jauh lebih awal berbanding yang lain.

''Setiap anggota pentadbiran diwajibkan mengisytiharkan harta diri dan keluarga terdekat kepada Perdana Menteri termasuklah setiap tambahan atau pelupusan harta dan pengisytiharan itu dibuat secara berkanun," katanya ketika berucap merasmikan Program Pegawai Integriti Bertauliah 2012 di sini, hari ini.

Januari lalu, Lembaga Penasihat SPRM mencadangkan kepada kerajaan supaya mewajibkan ahli keluarga dan pasangan menteri Kabinet mengisytiharkan harta dan aset mereka kepada agensi itu.

Cadangan itu, menurut Pengerusinya, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh bagi memastikan integriti dalam pentadbiran kerajaan.

Dalam pada itu, Abu Kassim ketika ditemui menjelaskan, jumlah aset milik menteri, timbalan dan anggota pentadbiran kerajaan Persekutuan lain yang menjadi perhatian SPRM adalah sepanjang tempoh mereka memegang jawatan sahaja.

Menurut beliau, pihaknya akan melihat dengan teliti sama ada wujud atau tidak pertambahan yang mendadak terhadap jumlah aset milik mereka, termasuk ahli keluarga terdekat dalam tempoh itu.

''Apa yang menjadi perhatian SPRM bukanlah jumlah aset sebelum mereka menyandang jawatan dalam kerajaan, tetapi yang penting ada atau tidak pertambahan yang mendadak sehingga boleh menimbulkan keraguan sepanjang memegang jawatan kerajaan.

''Jadi, jumlah aset atau harta yang mereka peroleh atau sedia ada, kita akur," katanya.

Anwarinas gagal di Kedah

Posted:

Anwarinas gagal di Kedah

Anwarinas gagal di Kedah

Oleh SAHBULAH DARWI dan SAFINA RAMLI
pengarang@utusan.com.my


LIMA orang Exco Kerajaan Negeri Kedah yang hadir pada raptai mengangkat sumpah pelantikan Exco dari kanan Abd Ghani Ahmad, Lim Soo Nee, Mohamed Taulan Mat Rasul, Ir. Amiruddin Hamzah dan Tan Joon Long @ Tan Chow Kang di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, semalam. – UTUSAN/KAMAL BASIR


ALOR SETAR 27 Feb. – Usaha golongan 'Anwarinas' untuk menggugat kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak tercapai apabila lapan penyandang Exco bersetuju dilantik semula sebagai Exco dan akan menghadiri majlis pelantikan di Istana Anak Bukit, esok.

Mereka yang menerima surat tawaran dilantik semula sebagai Exco antara pukul 12 tengah hari hingga 3 petang hari ini, turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Azizan.

Exco-exco yang dijadual mengangkat sumpah adalah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pelajaran, Datuk Mohamed Taulan Rasul; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Industri, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, Abd. Ghani Ahmad serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Siti Ashah Ghazali.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan Tan Chow Kang; Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia, Lim Soo Nee dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, Datuk S. Manikumar turut dijangka hadir pada majlis itu.

Baru-baru ini, Exco kanan, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan penyandang Exco, Dr. Ismail Salleh menghantar surat kepada Azizan untuk menolak cadangan pelantikan sebagai Exco.

Walaupun nama Amiruddin, Siti Ashah dan Dr. Hamdan turut dikaitkan untuk turut mengikuti jejak langkah Phahrolrazi dan Dr. Ismail bagi menggugat kepimpinan Azizan, namun ketiga-tiga mereka menafikannya.

Pada sesi raptai majlis pelantikan hari ini, tiga daripada lapan Exco yang dilantik tidak hadir iaitu Siti Ashah, Dr. Hamdan dan Manikumar.

Lima penyandang Exco yang hadir pada majlis raptai pada pukul 9 pagi itu ialah Mohamed Taulan, Amiruddin, Abd. Ghani, Chow Kang dan Soo Nee.

Menurut Dr. Hamdan, beliau tidak dapat hadir ke majlis raptai itu kerana baru sahaja pulang hari ini setelah berada di Bangkok dan Kuala Lumpur atas urusan kerja.

"Jangan risau esok saya ada di sana. Raptai majlis pelantikan Exco pada 2009 dan 2010 pun saya tak pergi walaupun tahu cara majlis tersebut berlangsung," jelasnya.

Siti Ashah pula berkata, beliau mempunyai tugas di kawasan tetapi memberi jaminan akan hadir untuk mengangkat sumpah esok.

"Saya mesti terima tawaran yang telah diberikan ini," jelasnya.

Amiruddin berkata, beliau akan hadir ke majlis pelantikan tersebut dan bersedia menerima apa sahaja portfolio yang diamanahkan oleh Azizan.

Dalam itu, Mohamed Taulan berkata, sebagai orang parti para pemimpin Pas perlu taat dan setia kepada pucuk pimpinan serta akur dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh pemimpin parti.

"Sesiapa yang masuk dalam dunia politik memang impian dia nak jadi Perdana Menteri, Menteri Besar ataupun Menteri. Tetapi jangan lupa kita kena akur kepada takdir yang telah ditentukan oleh Allah," katanya.

Nada yang sama disuarakan oleh Abd. Ghani, Soo Nee dan Chow Kang yang turut mengesahkan kehadiran pada majlis pelantikan Exco esok.

Manikumar yang mengesahkan akan hadir menjelaskan, beliau tidak dapat hadir ke majlis raptai hari ini.

Kerajaan Pas Kedah mempunyai 10 Exco, bagaimanapun pelantikan esok hanya melibatkan lapan Exco manakala dua lagi Exco dijangka dilantik selepas 7 Mac ini.

Badrulamin sedia berundur

Posted:

Badrulamin sedia berundur

Badrulamin sedia berundur

Oleh HERMAN HAMID dan M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB
utusanpahang@utusan.com.my


BADRULAMIN Bahron ditemani isteri pertama, Zumrah Husni hadir ke Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) semalam untuk memberi keterangan berhubung kes khalwatnya bersama seorang isteri orang di Kuantan, kelmarin.


KUANTAN 27 Feb. - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron menyuarakan kesediaan berundur sekalipun didapati tidak bersalah sekiranya dengan langkah itu dapat menyelamatkan perjuangan parti yang jauh lebih besar.

Pengarah Komunikasi Pejabat Menteri Besar Selangor itu yang ditemui di pekarangan bangunan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sini hari ini berkata, perkara itu telah difikirkannya sebelum arahan daripada kerajaan negeri semalam supaya beliau berehat kerana tidak mahu melibatkan sesiapa dalam hal ini.

''Biar saya tanggung sendiri tak apa. Pilihan saya begini, kita masyarakat bertamadun dan bagi saya sekiranya ada perkara yang boleh memudaratkan jemaah atau institusi yang kita wakili, janganlah mereka mudarat, biar saya mudarat seorang.

''Dan ini mungkin tak pernah berlaku di Malaysia tapi di Barat kalau ada skandal seperti ini mereka (pemimpin) tidak teragak-agak untuk meletak jawatan, saya tidak sampai ke situ lagi, sekadar berehat satu atau dua bulan," katanya.

Ditanya mengenai ada pemimpin tertentu yang diketahui turut dikaitkan dengan skandal moral tetapi tidak pernah mengambil keputusan berehat atau meletak jawatan seperti yang ingin dilakukannya, Badrulamin, 52, berkata;

''Itu masing-masing punya pendirian. Tapi saya sayang sangat perjuangan ini, biarlah saya tanggung sendirian."

Diminta mengulas lanjut mengenai nadanya yang agak berlainan hari ini, Badrulamin menafikan ia ada kaitan dengan perpecahan dalaman PKR atau rasa kecewa dengan layanan pemimpin parti dalam kes beliau itu.

Terdahulu, Badrulamin yang tiba di pekarangan bangunan JAIP pada pukul 2.50 petang diiringi isteri pertamanya, Zumrah Husni dilihat berada dalam bilik siasatan selama lebih dua jam.

Ketua Cabang PKR Sabak Bernam itu turut ditemani barisan peguamnya diketuai Mohamed Sazali Abdul Aziz manakala beberapa pemimpin PKR tempatan hanya dilihat hadir kira-kira 20 minit kemudian.

Mereka bagaimanapun tidak menunggu sehingga Badrulamin selesai memberi siasatan yang berakhir kira-kira pukul 5.20 petang.

Mengulas proses memberi siasatan hari ini, Badrulamin, yang mempunyai dua orang isteri dan 10 anak berkata, beliau berpuas hati dengan proses tersebut yang dianggapnya berjalan secara profesional walaupun pada masa sama kecewa dikaitkan dengan laporan ditangkap khalwat oleh JAIP.

Berhubung sama ada masih mengekalkan pendirian tentang diri beliau diperangkap, Badrulamin berkata, kemungkinan tersebut tidak dapat ditolak walaupun pada masa ini tidak dapat mengaitkan mana-mana pihak.

''Namun belum masanya untuk saya buat laporan polis," katanya yang turut enggan membuat laporan polis mengenai dakwaannya yang beliau dipukul oleh hampir 20 lelaki ketika malam kejadian.

Beliau dalam sidang akhbar itu sekali lagi menegaskan tidak bersalah dalam kes khalwat yang dikaitkan dengannya dan mempertimbangkan dengan serius untuk menyaman pihak yang telah mengaibkannya.

Sementara itu, wanita yang dikaitkan dengan Badrulamin tiba di bangunan JAIP kira-kira pukul 3.05 petang ditemani beberapa anggota keluarganya dan difahamkan suami beliau tidak berada bersamanya.

Wanita yang bertugas di sebuah institut kemahiran di Rompin itu kelihatan tenang ketika selesai memberi keterangan di bahagian penguatkuasaan JAIP.

Beliau yang berumur 28 tahun mengenakan baju kurung berwarna kuning turut diwakili peguam yang sama mewakili Badrulamin.

Selepas selesai memberi keterangan, wanita itu yang ditemui pemberita mendakwa dia diperangkap sambil enggan mengulas apabila ditanya mengenai suaminya.

Beliau turut berpuas hati dengan siasatan yang dilakukan sambil bergegas meninggalkan pekarangan bangunan JAIP pada pukul 6.20 petang.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Mohd. Ghazali Abd. Aziz ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai siasatan yang dijalankan ke atas Badrulamin di bawah Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 hari ini.

"Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini sebab saya sekarang sedang mengikuti kursus di Putrajaya," katanya yang enggan mengulas mengenai bilakah suami wanita terbabit akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan