MukaDepan
NAJIB dan Muhyiddin bergambar bersama pelabur di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang membabitkan jumlah pelaburan bernilai RM9 bilion pada suku pertama 2012 selepas menyaksikan majlis Pertukaran Dokumen Komitmen Pelaburan di wilayah berkenaan di Putrajaya, semalam. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
12 projek di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Mersing, Johor wujud 20,000 peluang kerjaPUTRAJAYA: Pembangunan dan kemajuan kawasan pantai timur semenanjung akan bertambah pesat berikutan keyakinan pelabur untuk melaksanakan 12 projek yang membabitkan pelaburan bernilai RM9 bilion di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam tempoh tiga bulan mulai Januari tahun ini.
Projek oleh syarikat tempatan serta gabungan syarikat asing itu membabitkan sektor pelancongan, pembuatan, pendidikan teknikal tinggi, akuakultur dan automotif yang dijangka mewujudkan hampir 20,000 peluang pekerjaan serta menyumbang RM6 bilion kepada pendapatan negara kasar (GNI) menjelang 2020.
Kejayaan menarik pelaburan besar itu membolehkan ECER menghampiri sasaran pelaburan RM10 bilion untuk tahun 2012 seperti yang diunjurkan oleh Majlis Pembangunan ECER (ECERDC). Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasinggam Issace John, berkata pihaknya akan menyemak semula unjuran pelaburan asal itu dan mungkin dinaikkan sehingga RM15 bilion, selaras dengan minat yang ditunjukkan pelabur terhadap pembangunan di wilayah itu.
Katanya, pelaburan itu membabitkan sembilan projek baru, termasuk dua bernilai RM5.5 bilion di Mersing, Johor; lima projek bernilai RM2 bilion di Pahang dan masing-masing satu projek bernilai RM1 bilion di Terengganu dan RM500 juta di Kelantan.
Awal Januari lalu, tiga pelaburan baru bernilai RM363 juta diluluskan di ECER. Ternyata pelaburan asas kerajaan bernilai RM2 bilion bagi pembangunan infrastruktur di ECER berjaya merangsang serta menarik pelaburan swasta, katanya pada sidang media selepas mesyuarat ECERDC yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini semalam.
Perdana Menteri turut menyaksikan upacara pertukaran dokumen komitmen pelaburan antara wakil pelabur dengan ECERDC. Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Pelaburan terbesar adalah dalam sektor pelancongan dengan Radiant Starfish Development Bhd merancang melabur RM4.2 bilion bagi membangunkan pusat peranginan eko-pelancongan bersepadu, Mersing Laguna, di tanah seluas 809 hektar yang ditambak di luar pantai Mersing. Ia dijangka mewujudkan 12,600 peluang pekerjaan menjelang 2014.
Damansara Assets Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Johor Corporation pula akan melabur RM1 bilion bagi membangunkan bandar peranginan Resort Bersepadu Tanjung Leman dan Bandar Pesisir Pantai di kawasan seluas 142 hektar di Mersing yang dijangka mewujudkan 1,500 peluang kerja.
Sementara itu, Encorp Berhad membangunkan pusat peranginan pelancongan bersepadu dan padang golf antarabangsa di Cherating, Pahang dengan nilai pembangunan kasar RM1.3 bilion, di tapak seluas 404 hektar. Projek yang dijangka bermula pada suku kedua 2012 itu diunjur mampu mewujudkan 3,000 peluang kerja.
Komen Anda
Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komen
Tiada ulasan:
Catat Ulasan