Isnin, 27 Februari 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


DBKL gempur gelandangan

Posted:

DBKL gempur gelandangan

DBKL gempur gelandangan

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my


Sebuah keluarga gelandangan turut ditahan dalam operasi bersepadu oleh DBKL bersama beberapa agensi penguat kuasa di sekitar Kuala Lumpur, baru-baru ini. - UTUSAN/Abdul Razak Latif


KUALA LUMPUR 27 Feb. - Tatkala melalui jalan di sekitar ibu kota pada waktu malam, pasti akan kelihatan golongan gelandangan yang menjadikan kaki lima dan kemudahan awam seperti perhentian bas sebagai tempat tidur mereka.

Jika diamati, golongan gelandangan itu bukan sahaja terdiri daripada warga tempatan, malah warga asing turut kelihatan.

Bagi membantu golongan gelandangan mendapat perlindungan dan pertolongan yang sewajarnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama beberapa agensi penguat kuasa telah membuat Ops Gelandangan baru-baru ini di sekitar ibu negara.

Dalam operasi tersebut, 55 warga tempatan dan 17 pendatang asing ditahan dan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) dan Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mohd Amin Nordin Abd. Aziz yang mengetuai operasi tersebut berkata, operasi tersebut bertujuan membantu golongan itu dan pada masa sama, turut membersihkan ibu kota daripada menjadi tempat bagi kutu rayau, penagih dadah dan pengemis.

"Dalam operasi ini, kami sebenarnya membantu golongan gelandangan yang diabaikan keluarga, tidak mempunyai tempat tinggal dan sebagainya untuk diserahkan kepada pihak JKM untuk mereka menjalani kehidupan yang lebih selesa.

"Bagi gelandangan warga asing dan penagih dadah, kami akan serah kepada Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang akhbar selepas operasi itu di sini.

Sementara itu, seorang gelandangan yang ditahan dalam operasi tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Norisham, 23, berkata, tindakan bapanya yang menyimpan kad pengenalannya membuatkan dia terpaksa hidup merempat.

"Saya berasal dari Johor dan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja tetapi tindakan bapa yang tidak mahu beri kad pengenalan menyebabkan saya sukar untuk dapat kerja.

"Oleh itu saya terpaksa tinggal di bawah jambatan kerana tidak mempunyai wang untuk menyewa bilik di sini," ujarnya.

Seorang lagi gelandangan, Roddy Bett Gasinam, 35, yang berasal dari India memberitahu, dia pernah bekerja di estet di Negeri Sembilan tetapi disebabkan permit kerjanya dicuri, sukar untuk dia mencari pekerjaan lain.

"Dengan operasi ini, saya harap pihak tertentu boleh membantu saya mendapatkan semula permit bekerja yang sah," katanya.

MRT: Pemilik enggan tandatangan perjanjian

Posted:

MRT: Pemilik enggan tandatangan perjanjian

MRT: Pemilik enggan tandatangan perjanjian

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Pemilik hartanah di Jalan Sultan dan Jalan Petaling tidak akan menandatangani perjanjian bersama MRT Corp. untuk meneruskan pembinaan projek transit aliran massa (MRT) memandangkan syarikat itu tidak membuat sebarang rundingan bersama mereka mengenai perjanjian tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pemeliharaan Jalan Sultan, Stanley Yong berkata, bagaimana pemilik hendak menandatangani perjanjian tersebut sedangkan mereka tidak mengetahui apa yang terkandung di dalam perjanjian itu.

"Tindakan MRT Corp. yang mahu kami menandatangani perjanjian itu merupakan satu paksaan kerana kami masih dalam Perkara Perjanjian (PoA).

"Jika mereka (MRT Corp.) mahu kami menandatangani perjanjian bersama itu, mereka harus terlebih dahulu menyelesaikan perkara yang terkandung dalam PoA dan perjanjian bersama itu harus sah di sisi undang-undang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Azhar Abdul Hamid Jumaat lalu yang memberi tempoh sehingga akhir bulan ini untuk menandatangani perjanjian bersama itu sebelum kerajaan menggunakan akta yang berkaitan untuk mengambil alih tanah-tanah terlibat bagi meneruskan projek MRT.

Menurut Azhar, persetujuan bersama tersebut diperlukan berikutan projek MRT di Jalan Sultan dijangka bermula pada 2014.

Mengulas lanjut, Stanley berkata, MRT Corp. juga sebelum ini gagal memberi jaminan kepada mereka bahawa bangunan di sepanjang Jalan Sultan tidak akan terjejas jika projek MRT dijalankan.

Stanley menjelaskan, pihaknya akan membawa perkara tersebut ke pengetahuan Perdana Menteri dan akan turut menyertakan 300 tandatangan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyelaraskan laluan projek MRT itu.

Mangsa pecah rumah kerugian RM21,000

Posted:

Mangsa pecah rumah kerugian RM21,000

Mangsa pecah rumah kerugian RM21,000

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Seorang jurutera teknologi maklumat kerugian RM21,000 selepas rumah yang didudukinya sejak tiga tahun lalu di Bandar Sri Permaisuri di sini dipecah masuk penjenayah semalam.

Kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat antara pukul 6 petang hingga 8 malam dan ketika itu, mangsa, Dharma Wira Puthra, 30, bersama isteri serta dua anaknya berada di kampung mereka di Semenyih, Selangor.

Mangsa berkata, sebaik sahaja pulang ke rumah kira-kira pukul 10.30 malam, dia terkejut apabila mendapati pintu jeriji rumahnya terbuka dan pintu rumah tidak berkunci.

Dia segera masuk dan mendapati ruang tamu dan bilik tidur utama dalam keadaan berselerak sebelum memeriksa beberapa barang berharga yang disimpan dalam rumah itu.

"Saya terkejut apabila mendapati beberapa barang berharga antaranya komputer riba, telefon bimbit dan barangan kemas bernilai RM15,000 milik isteri saya hilang.

"Apa yang pelik, alat pengepam payu dara milik isteri saya yang digunakan untuk anak kedua saya berusia lima bulan turut dilarikan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berikutan kejadian itu, Dharma Wira membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan.

Katanya, dia memaklumkan insiden itu kepada pihak pengurusan pangsapuri pagi ini dan terkejut apabila diberitahu, terdapat tiga kejadian pecah rumah sejak awal tahun ini di pangsapuri tersebut.

Sementara itu, isteri Dharma Wira, Normalisah Norjim, 30, turut terkilan dengan kejadian yang menimpa mereka sekeluarga.

Menurutnya, semua barang kemas pemberian suami ketika perkahwinan dan tinggalan keluarga dilarikan suspek yang dianggarkan bernilai RM15,000.

"Saya jarang mengenakan barang kemas ketika keluar rumah kerana takut kejadian seperti ragut. Namun, apabila meninggalkan di rumah dalam keadaan berkunci tetap juga hilang.

"Sehingga kini, saya berasa trauma untuk tinggal di rumah atau meninggalkan barang-barang berharga di rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan