Rabu, 29 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


2,000 tong gas meletup

Posted: 28 Feb 2012 03:14 PM PST

KAJANG: "Saya sempat melihat puluhan tong gas meletup dan melantun setinggi bangunan tiga tingkat disusuli api yang marak. Malah bunyi letupan seolah-olah di medan perang," kata Tazrul Tahir, 25, saksi kejadian kebakaran sebuah kilang mengisi dan memproses gas memasak di Jalan Semenyih Mantin, dekat sini, malam tadi.

Tazrul yang bekerja sebagai petani, berkata ketika kejadian dia sedang berada di rumah di Kampung Sentosa kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, ketika itu dia ingin mengambil air wuduk untuk menunaikan solat Isyak sebelum terkejut apabila mendengar bunyi letupan kuat berulang-ulang kali, kira-kira jam 8.30 malam.

"Saya kemudian terus bergegas ke tempat kejadian sebelum tergamam seketika apabila melihat tong gas terbabit `terbang' manakala api mula marak.


"Ketika itu saya berasa seperti berada di medan perang apabila mendengar dentuman bunyi yang kuat. Bimbang kejadian tidak diingini berlaku saya kemudian berlari semula ke jalan utama sebelum polis dan bomba tiba di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata lima jentera bomba dengan kekuatan 30 anggota termasuk bantuan air dari Balai Bomba Mantin, Negeri Sembilan, dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.

Menurutnya, api dapat dikawal dalam sejam bagi mengelak api merebak ke kawasan lain di samping meletakkan kawasan berkenaan dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kemungkinan termasuk letupan.

"Unit Forensik Bomba kini sedang menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh bagi mengenalpasti punca dan kerugian sebenar," katanya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku namun pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca utama kebakaran.

Menurutnya, 2,000 tong gas musnah dalam kebakaran itu bersama treler, lori sarat dengan tong gas, sebuah Proton Waja dan motosikal.

"Hasil siasatan awal yang dijalankan stor penyimpanan gas ini didapati tidak memenuhi piawaian keselamatan pada tahap sebenar hingga mengakibatkan kebakaran dan letupan berlaku.

"Sehingga ini, kita sedang mengesan pekerja dan pemilik stor dipercayai menghilangkan diri sejurus kebakaran berlaku," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati punca kebakaran dipercayai akibat kebocoran paip gas.

"Polis juga akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kajang bagi mengambil menyemak operasinya sama ada sah atau tidak," katanya.

Difahamkan, kilang terbabit sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu dan kejadian ini adalah yang pertama.



Jumpa rangka hangus

Posted: 28 Feb 2012 02:22 PM PST

KLANG: Penduduk di Taman Desa Baiduri 2, Bukit Kapar, di sini, gempar berikutan penemuan rangka mayat lelaki dipercayai dibakar di ladang kelapa sawit kira-kira 150 meter dari Jalan 1C/KUII, malam tadi.

Rangka lelaki dianggarkan berusia 20-an itu ditemui seorang penduduk yang tercium bau busuk sebelum melaporkannya kepada polis. Kejadian turut menyebabkan seorang guru wanita enggan dikenali yang juga penduduk berkenaan takut disebabkan tinggal berseorangan.


Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong yang ditemui di tempat kejadian berkata, berdasarkan siasatan awal forensik mendapati mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibakar di ladang sawit itu. "Kami terima panggilan berhubung kejadian jam 6.30 petang oleh seorang lelaki sebelum bergegas di tempat kejadian. Forensik yang tiba dan membuat siasatan mendapati rangka itu milik seorang lelaki berusia 20-an.

"Berdasarkan kedudukan tengkorak, rangka dan keseluruhan tulang mungkin mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dibakar di ladang kelapa sawit berdekatan perumahan itu dalam anggaran kejadian tiga minggu lalu," katanya. Bagaimanapun, katanya, sehingga ini, tiada senjata ditemui.


Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang kehilangan keluarga diminta melaporkan ke balai berdekatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. Tinjauan di lokasi kejadian mendapati pelepah sawit dan tumbuhan di sekeliling rangka hangus terbakar manakala hanya beberapa cebisan kulit mangsa terdapat di bawah rangka berkenaan. Ini kejadian kedua membabitkan kejadian manusia dibakar. Kelmarin, Harian Metro melaporkan kejadian menimpa Muhammad Syahiruddin Mohd Shauki, 20, yang dibakar hidup-hidup sehingga melecur 80 peratus tubuhnya dalam kejadian di Hulu Selangor.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan