Sabtu, 25 Februari 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


KAYM terima pengiktirafan ASIC

Posted:

KAYM terima pengiktirafan ASIC

KAYM terima pengiktirafan ASIC


Aminalrashid Mohd. Hussain (kiri) menerima sijil pengiktirafan akreditasi ASIC daripada Maurice Dimmock di Melaka, baru-baru ini.


MELAKA 24 Feb. - Buat julung kalinya Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) berjaya memperoleh pengiktirafan akreditasi dari 'Accreditation Service for International College' (ASIC) United Kingdom (UK).

Majlis penyampaian Sijil Akreditasi ASIC tersebut telah disampaikan oleh Maurice Dimmock, Ketua Pegawai Eksekutif ASIC, UK kepada Aminalrashid Mohd. Hussain mewakili Datuk Saroni Judi, Ketua Eksekutif KAYM dan disaksikan oleh Datuk Wira Othman Muhamad, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka di Auditorium KAYM baru-baru ini.

Turut hadir sama pegawai-pegawai pengurusan tertinggi KAYM, kakitangan, pensyarah serta pelajar-pelajar KAYM.

Menurut beliau, majlis itu amat bermakna bagi KAYM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi apabila mendapat pengiktirafan sebuah badan akreditasi bertaraf antarabangsa seperti ACIS, UK.

'Accreditation Service for International College' atau lebih dikenali sebagai ASIC,UK adalah sebuah badan penilai bertaraf antarabangsa yang bertanggungjawab membuat penilaian terhadap sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) terutama di luar negara. Badan ini bertanggungjawab memastikan IPT tersebut memenuhi piawaian yang ditetapkan agar mutu dan kualiti pengajian adalah mengikuti standard antarabangsa.

"Kami berbangga KAYM merupakan IPT pertama di Melaka yang berjaya memperoleh pengiktirafan dari ASIC dan kini terus melangkah maju ke hadapan bagi melakar kecemerlangan dalam industri pendidikan negara dan di peringkat global."

"Pelbagai perancangan dan pelaksanaan strategik telah dirangka dan digubal dalam usaha menambah baik setiap aspek agar KAYM menjadi sebuah pusat kecemerlangan akademik yang terunggul di rantau ini," katanya lagi.

Dengan kejayaan memperoleh penganugerahan Sijil Akreditasi ASIC yang merupakan satu pengiktirafan dan perakuan antarabangsa terhadap kualiti pendidikan di KAYM, membolehkan pelajar-pelajar luar negara seperti dari UK, Australia, Kanada dan New Zealand melanjutkan pengajian di KAYM.

Pengiktirafan sebagai IPT berstatus ASIC juga memberi impak positif kepada program-program kendalian KAYM dan sekaligus menjadikan KAYM sebagai Hab Pendidikan terunggul yang berkualiti tinggi di rantau ini.

Semua kejayaan dan pengiktirafan ini tidak diperolehi dengan mudah. Pihak pengurusan KAYM telah melalui tiga tahap proses penilaian seperti penilai kualiti pengajaran pensyarah, infrastruktur, temubual dengan pelajar dan banyak lagi prosedur yang memenuhi standard antarabangsa.

Kini KAYM boleh dilihat sebagai IPTS yang mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan setanding atau sama taraf dengan IPT lain di negara ini Justeru, KAYM percaya mampu untuk memenuhi cita-cita pelajar tidak kira tempatan mahupun antarabangsa yang memilih untuk meneruskan pengajian di sini.

Para pelajar juga boleh melayari laman sesawang www.kym.edu.my atau hubungi 06-2817732 untuk keterangan lanjut mengenai program-program yang ditawarkan di KAYM. — BERNAMA

Lahirkan modal insan jana idea inovasi

Posted:

Lahirkan modal insan jana idea inovasi

Lahirkan modal insan jana idea inovasi

ALOR GAJAH 24 Feb. - Universiti tempatan di seluruh negara digesa terus melahirkan modal insan yang dapat menjana idea-idea inovasi yang disokong kerajaan bagi memudahkan mereka mendapat kemudahan dana kewangan seterusnya memasarkan produk ciptaan mereka.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof berkata, semua program penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilakukan para penyelidik di universiti amat penting dalam mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

Menurut beliau, walaupun R&D itu masih di peringkat asas, idea tersebut boleh diketengahkan untuk dibawa ke pasaran jika mengunakan saluran yang betul.

"Amat penting supaya idea-idea ini disokong oleh agensi kerajaan seperti Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membantu dari segi memberi kemudahan dana kewangan bagi membangunkan idea mereka dan membawa ke pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Pameran dan Pertandingan Produk Penyelidikan dan Inovasi 2012 (UTeMEX 2012) di Dewan Besar Kampus Induk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Durian Tunggal di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ahmad Yusoff Hassan dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Mohd. Jailani Mohd. Nor.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, menerusi bajet 2012, kerajaan telah menyediakan dana RM500 juta yang bertujuan membantu universiti tempatan dan pengusaha industri kecil dan sederhana mengkomersialkan produk yang mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi.

"Saya menyeru khususnya pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk membangunkan lagi sokongan bagi membawa hasil R&D yang dilakukan pihak universiti ke pasaran.

"SME perlu menerokai dengan masuk ke universiti tempatan, cari apa bidang penyelidikan yang ada potensi untuk dibangunkan dan dibawa ke pasaran. Kalau ini dapat dilakukan barulah kita capai sebuah negara maju berpendapatan tinggi," katanya.

UTeMEX 2012 menghimpunkan penyelidik UTeM yang terdiri daripada pelajar, ahli akademik dan staf universiti daripada pelbagai disiplin ilmu pengetahuan, pengalaman dan kepakaran untuk memperlihatkan kepelbagaian hasil cipta dan reka bentuk produk penyelidikan dan inovasi dengan corak penggunaan yang termaju dan terkini.

Seramai 220 peserta bersaing dalam empat kategori utama iaitu Teknologi Hijau, Teknologi Mendatang, Kejuruteraan Sistem dan Interaksi Manusia yang bertujuan memupuk budaya kreativiti dan inovasi di kalangan warga UTeM serta memilih produk penyelidikan yang berpotensi untuk diketengahkan bagi menyertai pertandingan peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa.

Sebanyak 20 pingat emas, 40 pingat perak dan gangsa bakal direbut peserta manakala pemenang hadiah utama akan menerima geran penyelidikan.

Eagle Ranch Resort diiktiraf Malaysia Book of Records

Posted:

Eagle Ranch Resort diiktiraf Malaysia Book of Records

Eagle Ranch Resort diiktiraf Malaysia Book of Records


Mohammad Razi Kail (kanan) menandatangani plak perasmian tapak cabaran tali terbanyak sambil diperhatikan oleh Jimmy Tee (dua dari kanan) di Telok Kemang, kelmarin.


TELOK KEMANG 24 Feb. - Eagle Ranch Resort hari ini mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pusat peranginan di negara ini yang mempunyai halangan tali terbanyak.

Mempunyai 19 halangan tinggi dan 18 rendah, laluan yang mencabar itu pasti memberikan kelainan kepada pengunjung yang ingin merasai sukan lasak dan ekstrem ketika datang ke resort tersebut.

Pengarah Urusan Eagle Ranch Resort, Jimmy Tee memberitahu, halangan berkenaan merupakan salah satu tarikan terbaru resort berkenaan.

''Lebih RM500,000 dibelanjakan bagi menyediakan halangan berkenaan kerana kita melihat ia mempunyai potensi bukan sahaja sebagai ikon pelancongan di Eagle Ranch Resort, tetapi ia amat bersesuaian dengan sukan lasak yang kian digemari oleh pelancong.

''Malah apa yang menarik bagi sukan ini, ia tidak mempunyai sebarang had umur yang mana mereka berpeluang untuk merasai cabaran tali terbanyak ini," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan sijil MBOR di sini semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Negeri Sembilan, Andre J. Sibert dan Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sembilan, Zaidi Kassim dan Ketua Polis Daerah, Supritendan Baljeet Singh.

Jimmy berkata, halangan seperti itu sesuai untuk riadah dan aktiviti bina semangat.

Beliau turut menjelaskan, sejak dibuka kepada orang ramai tahun lalu, ia mendapat sambutan yang menggalakkan yang mana lebih 400 pengunjung dari dalam dan luar negara telah pun merasai cabaran ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan