Isnin, 27 Februari 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Jadikan Melaka bebas dadah 2015

Posted:

Jadikan Melaka bebas dadah 2015

Jadikan Melaka bebas dadah 2015

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 26 Feb. - Penglibatan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah amat penting bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka bebas daripada najis dadah menjelang 2015.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, usaha membanteras musuh nombor satu negara itu tidak boleh dipikul oleh agensi kerajaan sahaja malah perlu mendapat sokongan daripada pihak luar bagi memperoleh hasil yang berkesan.

Menurutnya, semua pihak memainkan peranan penting dalam mencapai hasrat kerajaan negeri itu dengan mempergiatkan kempen kesedaran, pendidikan dan penerangan sehinggalah kepada penguatkuasaan yang dipertanggungjawabkan kepada agensi berkaitan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Bagi memperoleh hasil yang berkesan, tindakan secara bersepadu perlu digerakkan oleh semua pihak dengan menganjurkan kempen kesedaran kepada golongan sasar dan memberikan didikan kepada golongan akar umbi agar seluruh rakyat menolak sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Seminar Merealisasikan Melaka Bebas Dadah 2015 di Seri Negeri di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Norpipah Abdol.

Menurut Mohd. Ali, sehingga bulan lalu, seramai 1,286 Orang Kena Pengawasan (OKP) yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah direkodkan AADK negeri dan daripada jumlah itu seramai 652 dicatatkan di daerah Melaka Tengah, 428 (Alor Gajah) dan 206 (Jasin).

"Melihat kepada statistik, bilangan penagih dadah di negeri ini agak tinggi namun dengan penglibatan semua pihak, kerajaan negeri percaya usaha menjadikan negeri ini bebas dadah dalam beberapa tahun lagi akan berjaya," katanya.

Tambah beliau, usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah itu perlu dimulakan oleh golongan ibu bapa dengan memberikan didikan dan menerapkan perasan benci dadah kepada anak-anak sejak kecil lagi sebelum peranan seterusnya dimainkan oleh pihak sekolah dan agensi lain melalui kempen dan sebagainya.

Tuanku Aishah rasmi Sambutan Hari Peringatan Sedunia 2012

Posted:

Tuanku Aishah rasmi Sambutan Hari Peringatan Sedunia 2012

Tuanku Aishah rasmi Sambutan Hari Peringatan Sedunia 2012


TUANKU Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud (dua dari kanan) melawat pameran produk kitar semula sempena majlis perasmian Sambutan Peringatan Pandu Puteri Sedunia 2012 Peringkat Kebangsaan di Padang Majlis Perbandaran Seremban, semalam. Turut serta Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah (kanan).


SEREMBAN 26 Feb. - Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat merasmikan Sambutan Hari Peringatan Sedunia Peringkat Kebangsaan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, hari ini.

Ketibaan baginda disambut oleh Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Raja Nor Mahani Raja Shahar; Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datin Seri Zalilah Mohd. Taib dan Yang Dipertua PPPM Cawangan Negeri Sembilan, Raja Datin Seri Salbiah Tunku Nujumuddin.

Baginda kemudiannya berkenan melepaskan kira-kira 3,000 anggota PPPM di padang MPS sebelum mereka berarak di bandar untuk mempromosi kempen memelihara alam sekitar sebelum menamatkan perarakan di Dewan MPS.

Majlis berkenaan adalah pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur dengan bertemakan 'Kita Boleh Menyelamatkan Bumi Kita'.

Dalam pada itu, berucap pada majlis berkenaan Zalillah menjelaskan, Hari Peringatan Sedunia tahun ini adalah tepat pada masanya apatah lagi dunia ketika ini bergelut dengan isu pemanasan global.

''Oleh itu, sudah sampai masanya kita bertindak untuk membantu mengatasi perubahan cuaca ini. Malah, anggota PPPM sendiri boleh turut memainkan peranan masing-masing dalam memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar," katanya.

Malah, kata Zalillah, Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) telah menjalankan pelbagai usaha dan projek dijalankan untuk melibatkan anggota muda Pandu Puteri dalam menyelamatkan bumi ini.

''Pelbagai program pendidikan bukan formal dirancang untuk membantu anggota muda mempelajari dan memahami tentang perubahan cuaca," katanya.

Pesara tentera perlu terus sokong kerajaan

Posted:

Pesara tentera perlu terus sokong kerajaan

Pesara tentera perlu terus sokong kerajaan

ALOR GAJAH 26 Feb. - Pesara tentera diingatkan untuk terus memberi sokongan dan kepercayaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negara ini bagi meneruskan kesinambungan keamanan yang diperjuangkan oleh mereka sejak zaman darurat.

Timbalan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Ab. Karim Sulaiman berkata, perjuangan anggota tentera yang bermati-matian mempertahankan negara akan menjadi sia-sia sekiranya negara ini jatuh ke tangan pemimpin yang akan menggadai kembali maruah negara.

Menurutnya, sebelum ini pembangkang telah mengiktiraf perjuang komunis dan diangkat sebagai pejuang manakala anggota keselamatan pula dianggap musuh negara sehingga mencetuskan api kemarahan rakyat khususnya pihak tentera dan polis.

"Inilah yang akan terjadi apabila pembangkang diberikan peluang untuk mentadbir negara, setiap darah dan keringat anggota keselamatan mempertahan negara akan dinafikan dan pihak musuh akan dijulang sebagai wira negara," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Berkelompok PBTM negeri di Tanjung Bidara di sini semalam.

Katanya, kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan rakyat termasuk golongan pesara tentera dan pelbagai insentif telah diberikan kepada golongan itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Ab. Karim berkata, apabila gendang pilihan raya telah dipalu, pesara tentera di seluruh negara diingatkan supaya membuat keputusan yang tepat bagi memilih kerajaan yang bukan sahaja mampu membela nasib dan kebajikan golongan pesara malah menghargai perjuangan mereka.

Justeru katanya, hanya kerajaan BN yang dilihat mampu memberikan kebaikan secara menyeluruh iaitu bukan sahaja nasib golongan pesara terbela tetapi ahli keluarga dan generasi akan datang juga akan memperoleh faedah dalam pelbagai bentuk seperti bantuan kewangan dan persekolahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan