Jumaat, 24 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Polis benar 'Himpunan Hijau 2.0' jika tukar lokasi

Posted: 24 Feb 2012 01:03 PM PST

Nasional

KUANTAN: Polis semalam membenarkan 'Himpunan Hijau 2.0' yang dijadualkan esok diadakan tetapi mengarahkan lokasi perhimpunan diubah ke Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4, dekat Kemunting di sini.

Perhimpunan yang bertujuan membantah operasi kilang Lynas di Gebeng, dibenarkan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2011, namun penganjur diingatkan supaya mematuhi semua syarat ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan ia berjalan dalam keadaan aman dan tanpa sebarang kacau-bilau.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata pihaknya bersetuju membenarkan perhimpunan itu diadakan selepas mengadakan pertemuan dengan penganjur perhimpunan pada jam 10 pagi semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini. Beliau berkata, lokasi awal yang diminta penganjur, iaitu di Padang MPK 1 tidak dapat dipenuhi selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan padang berkenaan sedang dalam proses penyelenggaraan untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) Julai ini.

"Kita sudah memberi lokasi lain dan mereka (penganjur) bersetuju dengan cadangan ini. Justeru, saya minta mereka patuh dengan syarat serta peraturan ditetapkan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mohd Jasmani berkata, antara syarat dikenakan ialah perhimpunan diadakan selama dua jam saja, iaitu bermula jam 10 pagi hingga jam 12 tengah hari, selain peserta dilarang membawa senjata berbahaya atau bahan letupan yang boleh mengganggu keselamatan orang awam.

"Mereka juga diingatkan supaya bercakap mengenai himpunan hijau saja tanpa menyentuh perkara lain yang dikhuatiri boleh menimbulkan ketegangan," katanya.
Beliau berkata, anggotanya akan dikerah untuk mengawal dan menentukan keselamatan di lokasi sepanjang perhimpunan itu diadakan dan polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika syarat ditentukan tidak dipatuhi penganjur.

"Saya ingatkan kepada peserta yang datang supaya mengikut arahan polis dan jangan timbulkan keadaan huru-hara," katanya.

Akhbar ini Selasa lalu melaporkan 26 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pahang yang mewakili lebih 50,000 ahli seluruh negara, antaranya Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS), Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Majlis Belia Malaysia (MAYC), Belia 4B dan Majlis Belia Daerah Kuantan (MBDK) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) terhadap penganjur yang merancang mengadakan perhimpunan itu.

Curiga punca SPR sukar buat pembaharuan

Posted: 24 Feb 2012 12:56 PM PST

Nasional

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sukar memperkenalkan amalan terbaik sistem pilihan raya luar negara di negara ini, disebabkan terdapat pihak tertentu meragui pelaksanaannya.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pihak terbabit sering membuat tanggapan negatif dan mendakwa langkah baru yang akan diperkenalkan suatu penipuan bagi membantu kemenangan parti politik tertentu, khususnya Barisan Nasional (BN).

Katanya, ia berbeza dengan senario di negara maju seperti United Kingdom, Denmark dan Jerman, apabila ahli politik serta rakyatnya memiliki tahap kepercayaan tinggi terhadap sistem pilihan raya negara masing-masing, menyebabkan proses pelaksanaannya lebih mudah.

Lazimnya, perkara baru sukar hendak diterima di sini... ada yang pandang curiga dengan pelbagai tanggapan dan menyifatkannya sebagai suatu penipuan. Itulah susahnya... kita boleh mengkaji amalan terbaik (di luar negara) tetapi tidak semudah itu hendak dibawa ke sini (untuk pelaksanaan). - Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi SPR.

"Lazimnya, perkara baru sukar hendak diterima di sini... ada yang pandang curiga dengan pelbagai tanggapan dan menyifatkannya sebagai suatu penipuan. Itulah susahnya... kita boleh mengkaji amalan terbaik (di luar negara) tetapi tidak semudah itu hendak dibawa ke sini (untuk pelaksanaan).

"Sebagai contoh, pernah berlaku kekecohan mengenai cadangan memperkenalkan undi proksi. Belum lagi sempat memberi penerangan, sudah ditolak terus kerana mendakwa ia bertujuan membantu BN memenangi pilihan raya, sedangkan undi proksi sudah dilaksanakan di United Kingdom dan berjalan dengan baik.

"Undi proksi ini membolehkan pengundian dibuat melalui wakil kerana pengundi yang berdaftar tidak dapat hadir atas sebab tertentu. Ia umpama seseorang itu tidak dapat menghadiri mesyuarat dan menghantar wakilnya. Bagi melaksanakan undi proksi, sudah pasti ada syarat ditetapkan dengan mekanisme yang diteliti mendalam. Negara maju tidak menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya, tahap kepercayaan mereka amat tinggi," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar kelmarin melaporkan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) mengadakan lawatan ke luar negara, termasuk London, Frankfurt, Berlin dan Copenhagen, dalam misi mengenal pasti amalan terbaik sistem pilihan raya yang sesuai dibawa balik ke Malaysia.
Abdul Aziz berkata, sebarang contoh amalan terbaik proses pilihan raya dari luar negara, termasuk dari segi daftar pemilih, penamaan calon, berkempen dan pemasangan poster perlu mengikut kesesuaian pelaksanaan di Malaysia serta mendapat persetujuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan