Rabu, 29 Februari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Kanak-kanak disyaki didera ibu tiri nyaris ambil keputusan bunuh diri

Posted: 29 Feb 2012 04:24 AM PST

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun nyaris mengambil keputusan membunuh diri kerana disyaki tidak tahan dengan penderaan ibu tirinya di Jinjang Utara di sini.

Mangsa ditemui dengan kesan lebam di bahagian pipi dan lengan kiri dipercayai didera oleh ibu tiri dengan kayu pada 20 Feb lalu hanya kerana mangsa telah membawa sijil kelahiran ke sekolah untuk menyertai pasukan bola keranjang tanpa memaklumkan kepadanya.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dilakukan oleh pak cik mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 21 Feb lepas apabila mendapati masalah tersebut semakin serius.

"Dia berasa amat takut dan tidak dapat menumpukan perhatian ke atas pelajarannya sekarang dan mengadu ingin bunuh diri," kata pak cik mangsa, 31, ketika ditemui pemberita di sini hari ini.


Katanya kanak-kanak tersebut kini ditempatkan di rumah neneknya di Rumah Panjang Jinjang Utara kerana tidak gembira tinggal bersama dengan ibu tiri dan bapa kandung yang merupakan seorang penagih dadah.


"Saya juga difahamkan bahawa pihak polis telah memberkas ibu tiri mangsa dan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kei yang melawat mangsa penderaan itu hari ini berkata kementeriannya di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) akan menempatkan mangsa di rumah neneknya selama sebulan bagi tujuan siasatan kes.

"Kita akan berunding dengan bapa mangsa dengan harapan kedua-dua pihak akan mencapai kata sepakat tetapi jika ia tidak berjaya, kes ini akan dibawa ke mahkamah bagi menempatkan mangsa terus di bawah jagaan nenek sehingga dia berumur 18 tahun," katanya.

Beliau menyeru orang ramai untuk menghubungi Talian Nur 15999 sekiranya mendapat sebarang maklumat kes penderaan berlaku di kawasan perumahan mereka. -- BERNAMA



Dua beranak Orang Asli disondol babi hutan

Posted: 29 Feb 2012 04:22 AM PST

KUALA TERENGGANU: Rutin seorang wanita Orang Asli bersama dua anaknya mengutip kayu api yang terletak berhampiran Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu bertukar mimpi ngeri hari ini apabila mereka diserang seekor babi hutan, menyebabkan dua daripada mereka cedera.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, wanita yang hanya dikenali sebagai Dajang, 62, dari Kampung Sungai Berua, luka di kaki dan tangan manakala anak perempuannya Sallek Bakar, 30-an cedera parah hampir di seluruh badan akibat disondol haiwan seberat 70 kilogram itu.

Kedua-dua beranak itu kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. Seorang lagi anak Dajang, berjaya menyelamatkan diri.

Dajang ketika ditemui berkata dia dan dua anaknya sentiasa ke hutan yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah mereka untuk mencari bahan bakar itu bagi kegunaan sendiri.


"Ketika sedang leka mengutip ranting kering, tiba-tiba kelibat seekor babi hutan menghampiri bersama bunyi dengusan. Saya menoleh ke belakang dan alangkah terkejutnya mendapati ada seekor babi besar setinggi hampir paras pinggang tidak jauh dari kami.


"Belum sempat kami selamatkan diri, babi hutan itu terus menyerang menggigit bahagian kaki dan tangan saya. Pada masa itu juga, seorang anak perempuan saya mengambil sebatang kayu dan cuba memukul binatang itu," katanya ketika ditemui Bernama di HSNZ di sini hari ini.

Menurutnya tindakan anaknya itu hanya mengundang rasa marah haiwan berkenaan menyebabkan dia diserang dengan teruk.

"Selepas bergelut hampir lima minit keadaan Sallek semakin lemah dan saya menjerit meminta tolong apabila melihat Sallek berlumuran darah," katanya.

Beliau berkata jeritan itu hanya sia-sia kerana tidak didengari penduduk kampung dan mereka keluar meminta pertolongan selepas babi hutan itu beredar. -- BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan