Utusan Online - Kota |
- Terowong digenangi air
- Strategi umpan roti berhasil muncul jadi juara
- Lima gelanggang futsal rakyat dibina
Posted: Terowong digenangi airOleh AHMAD FADZLY ESA TEROWONG untuk pejalan kaki melintasi Jalan Jambatan Kota di pusat bandar Klang yang sibuk tidak dapat digunakan selama beberapa hari akibat digenangi air apabila hujan. KLANG 28 Feb. – Setiap kali hujan lebat di Bandar Diraja ini, akan kelihatan pejalan kaki menyabung nyawa mereka untuk menyeberangi Jalan Jambatan Kota di sini. Ini gara-gara terowong khas yang disediakan untuk pejalan kaki menyeberangi jalan itu tidak dapat digunakan kerana digenangi air sehingga ke paras buku lali selama beberapa hari. Terowong tersebut dibina menyusuri Jalan Jambatan Kota dan menghubungkan Perhentian Bas Klang di pusat bandar ke pusat beli-belah Centre Point yang terletak di seberangnya. Wartawan Utusan Malaysia yang meninjau ke terowong tersebut baru-baru ini dapat merasai keperitan orang ramai yang tidak dapat menggunakan kemudahan tersebut kerana ia digenangi air. Ini membuatkan mereka terpaksa menghadapi kesukaran untuk melintas jalan kerana kebanyakan pemandu kenderaan enggan memberikan laluan kepada pejalan kaki. Seorang pekerja swasta, Firdaus Riduan, 28, mengakui terowong pejalan kaki itu memudahkan pengguna tetapi apabila air bertakung sehingga ke paras buku lali tiada sesiapa mahu menggunakannya. "Siapa yang sanggup guna kalau air bertakung di situ dan ini amat menyukarkan orang ramai terutama mereka yang sudah berpakaian kemas untuk ke tempat kerja. "Mahu atau tidak pengguna terpaksa juga melintasi jalan yang sibuk walaupun berhadapan risiko mengalami kemalangan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Firdaus memberitahu, masalah tersebut timbul setiap kali hujan kerana air akan memasuki terowong itu berikutan kawasan di sebelah Centre Point berada pada paras lebih rendah. "Tiada masalah melalui terowong itu dari kawasan Mydin atau perhentian bas Klang kerana air tidak bertakung di situ tetapi air akan berkumpul di sebelah sana (Centre Point)," katanya. Seorang lagi pekerja swasta, Arina Latif, 24, berkata, sesuatu perlu dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana ia amat menyusahkan pengguna untuk pergi dan balik dari tempat kerja. "Saya sendiri bimbang untuk melintas jalan kerana amat berbahaya terutama pada waktu puncak sebelah pagi, tengah hari dan petang. "Kadang-kadang, pengguna kenderaan mungkin fikir kami sengaja tidak mahu guna terowong namun sebenarnya terowong tersebut tidak boleh digunakan oleh pejalan kaki kalau dinaiki air," katanya. Sementara itu, Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam (JKPA) Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz ketika dihubungi menjelaskan bahawa pihaknya akan membawa aduan tersebut ke dalam mesyuarat jawatankuasa khas. "Pada masa sama, kami akan meminta kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Klang bagi mengatasi masalah tersebut," katanya. |
Strategi umpan roti berhasil muncul jadi juara Posted: Strategi umpan roti berhasil muncul jadi juaraKASIM Sabini (tengah), Anuar Kalit (kanan) dan Mohd. Rizal Ramli bersama hadiah masing-masing selepas majlis penyampaian hadiah Karnival Pancing Tasik Permaisuri di Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini. KUALA LUMPUR 28 Feb. - Dengan hanya menggunakan roti sebagai umpan, Kasim Sabini muncul juara Karnival Pancing Tasik Permaisuri sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012 yang berlangsung Ahad lalu. Pesara tentera dari Bandar Tun Razak itu berjaya menaikkan ikan patin seberat 1.9 kilogram (kg.), sekali gus menewaskan 700 peserta lain untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala dan pingat. Kejayaan itu merupakan yang pertama baginya walaupun sering menyertai pelbagai pertandingan memancing. Menceritakan kejayaannya menaikkan ikan patin itu, Kasim berkata, dia menggunakan umpan roti kerana menyasarkan ikan patin yang diketahui banyak di dalam Tasik Permaisuri. "Saya hanya mengambil masa dua minit untuk mendaratkan ikan patin itu. Saya tidak menghadapi masalah kerana rata-rata pemancing memberi ruang ketika saya bertarung (dengan ikan itu). "Duit kemenangan ini akan diagihkan kepada keluarga dan untuk pendidikan anak-anak dan tak lupa kepada rakan-rakan. "Saya merasa cukup puas dan bersyukur dengan kemenangan ini. Terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang mengajak untuk menyertai pertandingan ini," kata pesara tentera itu. Pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM13,000 dengan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd. menjadi rakan penaja. Hadiah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Idzawi Raja Ismail dan Pegawai Belia dan Sukan DBKL, Rizuardi Darus. Tempat kedua dimenangi oleh Anuar Kalit yang menaikkan ikan patin seberat 1.8 kg untuk membawa pulang RM3,000 dan pingat manakala Mohd. Rizal Ramli yang menangkap patin seberat 1.6 kg meraih tempat ketiga memenangi RM1,000 dan pingat. |
Lima gelanggang futsal rakyat dibina Posted: Lima gelanggang futsal rakyat dibinaSuhaimi Kamaralzaman (kiri) menyerahkan cek penajaan pembinaan lima buah gelanggang futsal kepada Rohaidi Tugiro di Shah Alam, baru-baru ini. SHAH ALAM 28 Feb. - Lebih 20,000 remaja di negeri Selangor akan mendapat manfaat apabila lima buah gelanggang futsal rakyat dibina iaitu dua di Kompleks Sukan Sukses dan masing-masing satu gelanggang di Jalan Kebun, Batu Caves dan Subang Perdana. Pembinaan kesemua gelanggang itu dibiaya oleh Kumpulan Perangsang Selangor Bhd. sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut. Sumbangan telah disampaikan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perangsang Selangor, Suhaimi Kamaralzaman kepada Pengurus Besar MSNS Holdings Sdn. Bhd., Rohaidi Tugiro di sini baru-baru ini. "Kami memilih tapak di Kompleks Sukan Sukses untuk dibina dua buah gelenggang futsal kerana kawasan itu dan sekitarnya mempunyai lebih 100,000 penduduk," kata Suhaimi pada majlis tersebut. Beliau berkata, pembinaan gelanggang di Kompleks Sukan Sukses dan Jalan Kebun telah siap manakala pembinaan di Batu Caves dan Subang Perdana akan dimulakan tidak lama lagi. Perangsang Selangor juga telah melantik MSNS Holdings Sdn. Bhd. untuk mengurus dan menyenggarakan semua gelanggang futsal tersebut. Sewa yang akan dikenakan adalah RM30 sejam (3 petang - 7 malam) dan RM50 sejam (7 malam - 12 tengah malam). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan