Utusan Online - Kota |
- Desa Pasifik diselubungi habuk
- Masalah letak kereta pegawai gred 54 akan dibincang - Raja Nong Chik
- KUL Sign strategi atasi vandalisme
Desa Pasifik diselubungi habuk Posted: Desa Pasifik diselubungi habukOleh NORMAIRAH JAMALUDDIN KUALA LUMPUR 26 Feb. - Tindakan pemandu lori binaan menggunakan laluan awam untuk ke tapak projek mereka telah mengakibatkan penghuni Kompleks Perumahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Desa Pasifik di Ampang di sini terus sengsara. Penghuni terbabit terpaksa menghidu habuk dan asap ekoran sikap pemandu lori pasir dan lori simen menggunakan Jalan Ampang Kiri sebagai laluan utama mereka ke tapak pembinaan yang terletak bersebelahan dengan bangunan RISDA. Walaupun perkara itu pernah mendapat liputan media pada Oktober tahun lalu tetapi masih tiada sebarang tindakan diambil sama ada oleh pemilik projek mahupun pihak berkuasa. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, murid Sekolah Kebangsaan Kuala Ampang yang turut menggunakan laluan tersebut bukan sahaja terpaksa menghidu habuk dan asap tetapi juga berdepan dengan risiko kemalangan. Pengusaha gerai di kawasan itu pula perlu mengambil inisiatif menutup semua makanan sepanjang masa bagi mengelakkan daripada dicemari habuk dan debu. Bukan itu sahaja, pengusaha gerai dan juga penghuni perumahan itu juga mendakwa bunyi bising lori-lori tersebut juga mengganggu ketenteraman mereka. Seorang penduduk, Rahimah Daud, 49, berkata, bunyi bising lori itu sering mengganggu waktu tidur mereka dan ia akan lebih ketara pada waktu malam. "Saya mohon pihak bertanggungjawab ambil tindakan untuk menangani perkara ini kerana kami sebagai penduduk di sini sudah tidak tahan dengan keadaan ini. "Kerja-kerja memecah batu di tapak membancuh simen yang terletak di kawasan berhampiran juga menyebabkan bunyi bising dan benar-benar menguji kesabaran kami," katanya. Kakitangan RISDA juga mendakwa mereka tidak selesa dengan kehadiran lori-lori itu dan bimbang kenderaan mereka yang diletak di tepi jalan di kawasan berkenaan akan dilanggar lori berkenaan kerana jalan di situ agak sempit. Shahpudin Sudir, 22, berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah segera bagi menangani perkara itu kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk tetapi juga akan memberi kesan kepada kesihatan penduduk. Khairul Fahmi Shepani, 23, berkata, lori-lori yang kerap menggunakan jalan tersebut telah menyebabkan jalan di kawasan itu rosak dan berlubang. "Hendak letak kenderaan di sini pun susah sebab tempat meletak kenderaan telah digunakan untuk meletak lori," jelasnya. |
Masalah letak kereta pegawai gred 54 akan dibincang - Raja Nong Chik Posted: Masalah letak kereta pegawai gred 54 akan dibincang - Raja Nong ChikRaja Nong Chik Raja Zainal Abidin (kiri), M. Saravanan (depan, dua dari kiri) dan Samsudin Osman (depan, kanan) bersama 3,075 peserta mengayuh basikal pada program Putrajaya Inter Park Ride di Putrajaya semalam. PUTRAJAYA 26 Feb.- Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berhubung masalah tempat letak kereta membabitkan penjawat awam gred 54 ke bawah. Menurutnya, golongan itu merungut sering menghadapi masalah untuk mendapatkan tempat letak kereta di kawasan pejabat masing-masing kerana kemudahan itu hanya disediakan kepada penjawat awam yang berjawatan lebih tinggi. "Saya juga akan membawa perkara ini ke Kabinet memandangkan kakitangan gred 54 ke bawah lebih memerlukan kemudahan itu berbanding pegawai kerajaan yang lebih berjawatan. "Memang isu ini isu kecil, namun demi kepuasan semua, saya akan cuba untuk membawa perkara ini ketengah agar setiap permintaan rakyat diperhalusi," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau mengulas permintaan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor agar diwujudkan kawasan letak kereta kepada penjawat awam gred 54 ke bawah terutama di pejabat-pejabat kementerian di Putrajaya. Dalam pada itu, Raja Nong Chik menyarankan agar penjawat awam dan juga warga kota supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan masalah tiada tempat letak kereta, selain dapat menjimatkan wang dan mengurangkan kesesakan lalu-lintas. "Sistem pengangkutan awam di Putrajaya adalah yang terbaik berbanding di tempat lain tetapi sayangnya, kesempatan ini tidak digunakan dengan sebaik-baiknya oleh masyarakat setempat," katanya. Terdahulu, Raja Nong Chik bersama timbalannya, Datuk M. Saravanan dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman menyertai program Putrajaya Inter Parks Ride (PIPR) sempena Karnival Wow! Putrajaya 2012. Pada program tersebut, seramai 3,075 peserta berkayuh sejauh 34 kilometer dari tapak karnival ke Taman Saujana Hijau, Taman Wetland, Pusat Rekreasi Air, Taman Botani, Taman Putra Perdana dan kawasan pesisir tasik Putrajaya. Beliau berkata, program tersebut bertujuan untuk mempromosi dan memperkenalkan lokasi yang menarik di Putrajaya selain memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa aktiviti berbasikal dapat menangani masalah pengeluaran karbon dan pemanasan global selaras dengan inisiatif membangunkan Putrajaya sebagai bandar hijau. |
KUL Sign strategi atasi vandalisme Posted: KUL Sign strategi atasi vandalismeKUALA LUMPUR 26 Feb. - Penganjuran Festival KUL Sign 2012 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilihat sebagai serampang dua mata dalam membantu meletakkan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan popular. Datuk Bandar, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, festival itu bukan sahaja mampu mengawal gejala vandalisme tetapi juga dapat mempopularkan aktiviti grafiti yang sihat kepada warga kota dan pelancong asing. Menurutnya, festival itu mungkin akan diteruskan penganjurannya pada tahun-tahun akan datang sebagai daya penarik kepada pelancong ke ibu negara melalui hasil karya yang diabadikan. Katanya, festival yang memasuki edisi kedua itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja daripada penggiat seni grafiti tempatan tetapi juga luar negara seperti Itali, Singapura, Indonesia, Filipina, Hong Kong dan Sweden. "Sudah tiba masanya golongan muda ini dilibatkan dengan aktiviti-aktiviti yang memenuhi cita rasa mereka. Jika sebelum ini kawasan-kawasan awam dan dinding bangunan dijadikan tempat menconteng sesuka hati, kini ruang dan tempat telah diberikan untuk menzahirkan karya mereka. "Apa yang diharapkan ia boleh menjadi ikutan kepada golongan yang masih meneruskan aktiviti vandalisme,'' katanya pada sidang media yang diadakan di selepas melancarkan Festival KUL Sign 2012 di sini semalam. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mohd. Amin Nordin Abd. Aziz, Pengarah Urusan ICI Paint (M) Sdn. Bhd, C W. Goh dan Pengarah Urusan Central Market, Bennerd Bong. Ahmad Fuad berkata, Festival KUL Sign 2012 itu juga bakal dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records sebagai Lukisan Grafiti Terpanjang di Malaysia sekiranya berjaya menambah 125 meter lagi lukisan grafiti. Terdahulu, Ahmad Fuad melancarkan buku yang mengumpulkan hasil penggiat seni grafiti yang mengambil bahagian dalam KUL Sign 2010. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan