Rabu, 29 Februari 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Latihan tangani krisis bencana alam

Posted:

Latihan tangani krisis bencana alam

Latihan tangani krisis bencana alam

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my


Sebahagian penuntut USM yang terlibat dalam program latihan teknik membantu mangsa bencana alam di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.


TELOK KEMANG 28 Feb. – Pelbagai bencana alam yang melanda Asia sejak kebelakangan ini telah memberi inspirasi kepada Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menggerakkan latihan membantu mangsa bencana.

Program Fasa II ini melibatkan 61 penuntut dari Persatuan Pelajar Sains Perubatan dan Persatuan Sains Kesihatan universiti berkenaan yang dilangsungkan di TM Resort Port Dickson, dekat sini, baru-baru ini.

Pengarah program, Umi Nadhirah Aisyah Mohd. Rokhibi berkata, berdasarkan kajian dan pengamatan krisis bencana itu, pihaknya mendapati telah berlakunya keadaan luar kawalan, masalah kesihatan, kemusnahan harta-benda selain kewangan yang menguncup.

"Kita sedar tentang perlunya mengambil tindakan segera dan menggerakkan bantuan kecemasan kepada mangsa terbabit.

"Sebab itulah, program ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada penuntut USM supaya bersiap sedia kemungkinan berhadapan krisis bencana alam ini," katanya di Port Dickson, baru-baru ini.

Selain itu, katanya, faktor kesihatan juga akan diberi perhatian dalam latihan ini sesuai dengan jurusan yang diambil penuntut USM, di mana ia akan diaplikasikan ketika berlaku bencana.

"Kita mahu signifikan daripada latihan ini kelak, aspek keselamatan ketika membantu mangsa bencana diberi keutamaan, supaya ia dapat segera memberikan kesembuhan sekiranya diserang wabak tertentu," ujarnya.

Umi Nadhirah Aisyah optimis latihan yang dijalankan di Port Dickson ini dengan bantuan tenaga profesional ia akan membuka minda penuntut untuk membantu mangsa bencana, selain diingatkan dengan faktor keselamatan diri.

Sementara itu, seorang peserta, Syafiqah Sharudin, 21, berkata, program itu telah mengajar mereka tentang erti kesukaran ketika berlaku bencana, selain detik cemas yang dihadapi mangsa.

"Kami diajar supaya tidak panik dan bertindak segera membantu sesiapa sahaja yang berhadapan kepayahan ketika bencana berlaku," katanya.

Rakan beliau, Assilah Ghous, 22, pula menegaskan bahawa program itu telah memberi pendedahan yang sangat baik kepada para peserta sesuai dengan jurusan yang mereka ambil di universiti.

"Kami bukan sahaja belajar teori tetapi berpeluang melakukan praktikal dengan memahami krisis dan cara menanganinya," kata Assilah.

Seorang lagi peserta, Young Carmen Winnie, 22, menegaskan, perkara yang paling menarik hatinya ialah cabaran untuk menyelamatkan mangsa.

Katanya, dia berpeluang bertukar pandangan dengan peserta lain dan yakin bidang yang diceburinya itu ini amat diperlukan oleh negara.

Bagi Nur Syazleen Mohamed Ismail, 20, berkata, para pelajar perubatan sememangnya terdedah kepada situasi kritikal dan krisis yang memerlukan mereka cepat bertindak.

"Melalui latihan sebegini, kami dapat belajar menangani krisis dengan baik dan ia satu pengalaman berguna untuk dibawa ke medan sebenar," jelasnya.

Sementara itu, Mohamad Haidar Abdul Razak, 23, berkata, latihan yang diberikan serba sedikit dapat membantu menambah pengetahuan dan pengalaman dalam pembelajaran.

"Kami diberikan latihan praktikal dan cara membantu mangsa bencana. Saya percaya semua ini akan lebih mematangkan kami," katanya.

USIM pilih 16 sekolah kluster, angkat

Posted:

USIM pilih 16 sekolah kluster, angkat

USIM pilih 16 sekolah kluster, angkat


Dr. Muhamad Muda (depan lima dari kiri) bersama pengetua sekolah kluster dan sekolah angkat selepas majlis penyampaian watikah pelantikan di USIM, Nilai, Negeri Sembilan,baru-baru ini.


SEREMBAN 28 Feb. - Sebanyak 16 sekolah menengah terpilih menerima watikah pelantikan menjadi sekolah kluster dan angkat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, dekat sini, baru-baru ini.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Muhamad Muda berkata, penyerahan watikah itu merupakan pengiktirafan terhadap sekolah berkenaan yang telah memberikan komitmen tinggi terhadap program anjuran universiti.

Katanya, antara tujuan utama pendekatan sebegini diwujudkan adalah untuk menjalinkan kerjasama rapat antara USIM dan pihak sekolah seperti pembangunan pelajar.

"Semua pihak harus memastikan usaha ini dapat dijalankan dengan baik ke arah memastikan ekosistem Pendidikan Islam dapat diterap kepada pelajar sekolah menengah sehingga ke universiti.

"Kita berharap kerjasama ini dapat mempromosikan universiti di samping melaksanakan kolaborasi akademik, sukan dan kebudayaan antara USIM dengan pihak sekolah," katanya.

Beliau berucap pada majlis Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Sekolah Kluster dan Sekolah Angkat bersama Pengetua 2012 di universiti berkenaan di Nilai, dekat sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Aminah Idris memberitahu, menerusi program itu, pelbagai aktiviti membabitkan pihak sekolah dengan universiti mampu membawa manfaat kepada pelajar.

"Antaranya penglibatan pelajar sekolah di dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang dianjurkan universiti itu sendiri.

"Ia dapat memberikan pendedahan secara terus kepada pelajar dalam mengadaptasi proses pembelajaran universiti dan ini sedikit sebanyak boleh dijadikan persediaan awal sebelum melangkah ke menara gading," ujarnya.

Sehingga kini, terdapat sebanyak empat sekolah kluster yang diselia oleh USIM iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Mohd Said; SMKA Sharifah Rodziah; Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang dan SMKA Sultan Azlan Shah.

Sekolah kluster ini merupakan sekolah yang dipilih oleh Kementerian Pelajaran, manakala sekolah angkat USIM pula merupakan sekolah yang dilantik oleh USIM.

Antara 12 sekolah angkat yang dilantik termasuk Maktab Rendah Sains Mara Gemencheh; Maahad Ahmadi Gemencheh; Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah; Sekolah Menengah Agama Nilai; Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN), Sekolah Agama Menengah Sungai Merab Luar dan Sekolah Agama Menengah Bestari.

Sekolah lain adalah Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jamaah; Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi; Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi; Maahad Tahfiz Pahang dan SMKA Durian Guling.

Kampung Bayai 'diserbu' penuntut UiTM Kuala Pilah

Posted:

Kampung Bayai 'diserbu' penuntut UiTM Kuala Pilah

Kampung Bayai 'diserbu' penuntut UiTM Kuala Pilah


Sebahagian penuntut UiTM Kuala Pilah menyertai sukanneka bersama pelajar sekolah pada program operasi khidmat masyarakat di Kampung Bayai, Jempol, Negeri Sembilan, baru-baru ini.


JEMPOL 28 Feb. - Kesibukan menuntut ilmu di dewan kuliah tidak menghalang 60 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah menganjurkan program operasi khidmat masyarakat di Kampung Bayai, dekat sini baru-baru ini.

Pengurus projek, Nor Shamimi Mohd. Zulkamal Punnia, 20, berkata, program itu diadakan bagi memperkenalkan UiTM kepada penduduk di negeri ini.

"Kenal bukan sahaja mengetahui kewujudan kami. Kenal juga bermaksud mereka mengenali keistimewaan menjadi pelajar di UiTM.

"Oleh itu kami pergi ke seluruh negeri ini dimulai dengan daerah Jelebu, Tampin, Port Dickson, Rembau dan tamat di Jempol," katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, sepanjang tiga hari di kampung tersebut, pelbagai aktiviti telah dijalankan bersama penduduk.

"Selain sukaneka, mahasiswa berpeluang mempelajari cara menoreh getah, gotong-royong dan turut memberi motivasi kepada anak muda di kampung," ujarnya.

Arya Faseha Ahsan Nudin, 20, memberitahu, dia teruja apabila berpeluang masuk ke kebun.

"Ini kali pertama saya merasai pengalaman menoreh getah dan nyata ia tidak semudah yang disangka kerana memerlukan kesabaran yang tinggi," jelasnya.

Rakannya, Siti Amirah Hanis Mahdzar, 20, gembira apabila berpeluang berbakti kepada penduduk kampung.

"Ini membuktikan penuntut universiti tidak hanya mementingkan dunia kampus dan boleh menyumbang kepada masyarakat," katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Bagi Mohd. Faiz Othman, 19, pula, dia pasti akan merindui suasana di Kampung Bayai.

"Bangun pagi sahaja sungguh tenang dan tidak seperti di bandar, tambahan pula masyarakat di sini sangat baik dan peramah," ujar penuntut Diploma Pengurusan Ladang itu.

Mohd. Nazerin Zahari, 19, berharap agar matlamat program itu tercapai dan gembira kerana diberi peluang bersama penuntut dalam program motivasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan