Sabtu, 25 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Ahli UMNO diminta sokong semua calon BN

Posted: 25 Feb 2012 02:13 PM PST

Nasional

KUALA LUMPUR: Ahli UMNO hendaklah mengetepikan soal berkaitan pencalonan dalam pilihan raya umum akan datang, sebaliknya mengundi sesiapa saja yang mewakili Barisan Nasional (BN) untuk menjamin kemenangan dengan majoriti yang selesa.

Hal ini ditegaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada kira-kira 7,000 pemimpin akar umbi yang terdiri daripada ketua cawangan, ketua wanita, ketua pemuda dan ketua puteri dalam satu perjumpaan tertutup di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed dalam satu kenyataan mengenai perjumpaan itu berkata: "Dr Mahathir menekankan paling penting ialah BN menang majoriti dua pertiga kerusi pada peringkat negeri dan Parlimen kerana ia akan menentukan BN dapat menubuhkan kerajaan atau tidak." Dr Mahathir berkata, walaupun bahagian mencadangkan beberapa nama tetapi atas sebab tertentu individu yang bukan ahli parti dipilih sebagai calon, ahli UMNO mesti menyokong dan mengundi calon itu kerana yang penting ialah kemenangan parti, bukannya individu.

Menurut Dr Mahathir, tiada guna jika hanya orang tertentu yang kita mahu menjadi calon itu menang tetapi akhirnya BN tidak cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan.

Bekas Presiden Umno itu turut mengingatkan pemimpin UMNO dan parti komponen BN di semua peringkat supaya jangan sekali-kali mensabotaj parti dan calon parti jika mereka tidak dicalonkan.

"Beliau juga menasihatkan ahli UMNO jangan melakukan sesuatu yang boleh menyakiti hati dan sensitiviti masyarakat, apatah lagi ahli parti komponen lain kerana kelebihan utama BN ialah perpaduan," kata Mohd Zin.
Turut berucap pada perjumpaan itu adalah Timbalan Pengerusi UMNO dan BN Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang juga Menteri Pertanian dan Asas Tani. – BERNAMA

Panel khas semak keberkesanan perbelanjaan kementerian

Posted: 25 Feb 2012 02:12 PM PST

Nasional

IPOH: Sebuah panel khas ditubuhkan bagi menyemak dan menilai keberkesanan perbelanjaan setiap kementerian termasuk agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang diperuntukkan menerusi pembentangan Bajet 2012, tahun lalu.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata panel itu akan dikendalikan Jawatankuasa Penyiasatan Bajet 2012 Putrajaya yang dipengerusikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, melalui jawatankuasa itu, sebuah lagi jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Penyelesai Masalah Bajet 2012 diwujudkan bagi mengenal pasti sebarang masalah dihadapi kementerian membabitkan perbelanjaan pembangunan yang dilaksanakan mereka. "Jawatankuasa penyelesaian itu yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah akan mengenal pasti setiap kementerian dapat melaksanakan bajet kerajaan secara lebih efektif dan cekap," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian wang bantuan kepada mangsa banjir di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah, Kampung Tengku Hussin, semalam.

Beliau berkata, jawatankuasa penyelesai berkenaan sudah memulakan tugas dengan menemui setiap kementerian dan mengadakan perbincangan mengenal pasti masalah pelaksanaan perbelanjaan pembangunan kementerian berkaitan.

"Ini berikutan ada kementerian yang tidak dapat membelanjakan peruntukan itu dan memulangkannya kepada perbendaharaan. Seperti yang kita tahu Keluaran Negara Kasar (GDP) negara tahun lalu mencatat pertumbuhan 5.1 peratus dan sekiranya peruntukan kerajaan digunakan sepenuhnya pertumbuhan itu dijangka lebih tinggi.

"Jadi, dalam keadaan perkembangan ekonomi dunia yang semakin mencabar adalah penting perbelanjaan pembangunan itu dilaksanakan dengan teliti," katanya.
Ahmad Husni berkata, hasil laporan Jawatankuasa Penyelesai Masalah Bajet itu akan dibawa ke Jawatankuasa Penyiasatan Bajet 2012 yang ahlinya adalah Ketua Setiausaha Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau (Menteri Kewangan) dan beberapa Ketua Setiausaha kementerian.

Katanya, Jawatankuasa Penyiasatan Bajet 2012 akan mengadakan mesyuarat pada bulan depan.

"Selepas itu, Perdana Menteri selaku pengerusi Jawatankuasa Penyiasatan Bajet 2012 Putrajaya akan membuat keputusan dan menggunakan kuasa kerajaan untuk mempercepatkan proses pelaksanaan itu," katanya.

Terdahulu pada program itu, Ahmad Husni menyampaikan bantuan RM80,000 kepada 245 penduduk Gugusan Manjoi yang terbabit dalam kejadian banjir awal pagi Isnin lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan