Selasa, 28 Februari 2012

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Meningkatkan integriti Kabinet, kerajaan

Posted:

Meningkatkan integriti Kabinet, kerajaan

Meningkatkan integriti Kabinet, kerajaan

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my


Najib Tun Razak hadir pada Majlis Perasmian Program Pegawai Integriti Bertauliah di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Putrajaya kelmarin. Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Datuk Seri Abu Kassim Mohamad (Ketua Pesuruhjaya SPRM).


Januari lalu, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah mencadangkan supaya anggota pentadbiran Kerajaan Persekutuan termasuk menteri Kabinet menyerahkan salinan fail pengisytiharan harta mereka dan keluarga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kelmarin, 27 Februari - kerajaan bersetuju membenarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk mempunyai akses penuh kepada dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran Persekutuan termasuk menteri, timbalan menteri dan keluarga mereka. Semua ini untuk memastikan bahawa kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) bersih dan telus.

Pengarah Institut Kepimpinan dan Keusahawanan Management & Science University (MSU) Prof. Dr. Mohd Zainul Fithri Othman berpandangan dakwaan bahawa kerajaan BN hari ini cuba berselindung daripada mengisytiharkan harta mereka adalah tidak benar dan ia disambut dengan tindakan yang berani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pendekatan ini juga akan meningkatkan integriti dalam kerajaan dan memberikan penglihatan jelas kepada rakyat bahawa kerajaan BN yang ada bukan sebuah kerajaan yang tidak telus seperti mana yang difitnah oleh pihak pembangkang selama ini, kata Mohd. Zainul Fithri.

"Ini adalah kerana pemeriksaan harta ini, bukan hanya melibatkan individu tertentu tetapi juga saudara mara individu tersebut, agar fitnah bahawa kakitangan 'makan suap' dan menggunakan anak, isteri, serta abang atau adik serta sepupu sebagai proksi akan terjawab.

"Keberanian Najib memberikan kebenaran kepada SPRM menampakkan keikhlasan beliau sebagai Pentadbir Negara No. 1. Beliau mahu pentadbiran yang diterajuinya ini bersih dan mencorakkan model kepimpinan yang berintegriti.

"Pada pandangan saya, Perdana Menteri melalui pendekatan ini, beliau ingin melonjakkan martabat serta darjat pentadbiran kerajaan di bawah BN sebagai sebuah pentadbiran yang berkredibiliti dan berakauntabiliti," jelas Mohd. Zainul Fithri.

Memang ada yang akan 'mengelabah' tetapi, ia berlaku jika ada yang melakukan perkara yang di luar jangkaan dan dugaan. Tetapi, tindakan ini akan melonjakkan integriti pemimpin, apatah lagi ia juga akan membersihkan persepsi negatif terhadap pemimpin dalam kerajaan BN.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamad jumlah aset milik menteri, timbalan dan anggota pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang menjadi perhatian SPRM adalah sepanjang tempoh mereka memegang jawatan sahaja.

Maknanya pemilikan kekayaan dan harta sebelum memegang jawatan dalam kerajaan tidak diambil kira.

"Apa yang menjadi perhatian SPRM bukanlah jumlah aset sebelum mereka menyandang jawatan dalam kerajaan, tetapi yang penting ada atau tidak pertambahan yang mendadak sehingga boleh menimbulkan keraguan sepanjang memegang jawatan kerajaan.

"Jadi, jumlah aset atau harta yang mereka peroleh atau sedia ada, kita akur," katanya.

Menteri Kabinet dan anggota pentadbiran Kerajaan Persekutuan perlu bersifat telus dan jujur dalam apa juga perkara, termasuk mengisytiharkan harta mereka dan keluarga kepada SPRM.

Bagaimanapun, maklumat tersebut tidak perlu dimaklumkan kepada masyarakat umum kerana ia akan mengundang pelbagai spekulasi dan fitnah.

Pengisytiharan harta kepada rakyat mampu untuk membendung budaya rasuah dan kronisme dalam pentadbiran kerajaan.

Kesediaan mengisytiharkan harta menunjukkan kerajaan sanggup meletakkan keutamaan rakyat melebihi kepentingan diri mereka sendiri.

Rakyat berhak mengetahui aset pemimpin mereka supaya mereka mengerti bahawa pemimpin yang diangkat benar-benar ikhlas memperjuangkan rakyat, bukan diri mereka sendiri.

Mengisytiharkan harta boleh mengelakkan berlakunya penyelewengan kuasa dan rasuah dalam kalangan pemimpin negara.

Bagaimanapun Mohd. Zainul Fithri yang juga Naib Presiden Industri dan Perhubungan Organisasi MSU, menyarankan supaya bukan sahaja pengisytiharan harta yang hanya perlu diberikan perhatian tetapi hendaklah dilihat juga siapakah yang menjadi lembaga pengarah anak-anak syarikat dalam kementerian-kementerian.

"Adakah lembaga pengarah syarikat ini 'proksi' kepada seseorang. Ini sekali gus akan mematikan persepsi rakyat bahawa anak-anak syarikat di bawah kementerian dikuasai oleh puak-puak tertentu," kata Mohd. Zainul Fithri.

Satu lagi pandangan dan saranan Lembaga Penasihat SPRM sebelum ini berhubung dana politik turut diberi perhatian oleh Najib sehingga membawa kepada pelaksanaan inisiatif mengawal pembiayaan politik.

Perdana Menteri telah menyatakan semua dana politik hendaklah dimasukkan dalam sebuah akaun khas di mana semua kemasukan dana ini akan direkod bagi memastikan ia telus dan tidak disalahgunakan oleh sesiapa.

Ini juga satu tindakan berani dan baru dalam pentadbiran Najib.

Menurut Mohd. Zainul Fithri, selama ini kita acap kali mendengar ada saja orang hendak beri sumbangan atas aktiviti politik yang dikenali sebagai dana politik (political fund). Tetapi, tiada siapa yang 'accountable' kepada sumbangan ini maka sumbangan ini dengan jelas boleh diguna pakai secara sewenang-wenangnya oleh orang yang berkepentingan.

Inisitaif dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) ini amatlah dialukan oleh rakyat dan juga golongan profesional agar kerajaan yang akan diberikan mandat oleh rakyat kelak bersedia untuk membuat perubahan agar ia lebih telus, berintegriti dan berakauntabiliti.

"Ini adalah tindakan yang diambil oleh Kerajaan BN kepada parti-parti komponennya. Namun demikian, adakah perkara yang sama akan dilakukan oleh parti-parti pembangkang itu adalah di luar jangkaan dan dugaan.

"Mungkin, mereka mempunyai agenda dan pengurusan dana yang 'berbeza' daripada apa yang disarankan," kata Mohd. Zainul Fithri.

Tindakan Najib ini sekali gus memberikan penekanan bahawa beliau 'serius' memberikan pendekatan dalam membina satu persepsi baru kepada rakyat terhadap kerajaan yang baru nanti apabila rakyat memberikan mandat itu kepadanya.

Mohd. Zainul Fithri melihat ini adalah bukti keikhlasan dan kejujuran dalam pentadbiran Najib. Sesiapa sahaja yang akan berada bersama beliau nanti setelah kerajaan baru dibentuk, hendaklah bersedia menerima the new political culture dan the new administrative culture.

Sesiapa yang masih ditakuk lama dan masih mahu mengamalkan budaya lama, maka dipercayai akan membantut dan merosakkan imej yang hendak diguna pakai.

"Ini adalah usaha Perdana Menteri untuk memberikan nafas baru dan nilai tambah kepada pentadbiran yang sedia ada. Nilai baru ini hendaklah diterjemahkan dalam bentuk amalan di setiap agensi dan pentadbiran kerajaan di bawah naungan Kerajaan Persekutuan," kata Pengarah Institut Kepimpinan dan Keusahawanan MSU itu.

Apa pun rakyat Malaysia pasti mahu mereka yang bersih, cekap dan amanah berada dalam tampuk kepimpinan kerajaan.

Azizan 'selamatkan' maruah Pas

Posted:

Azizan 'selamatkan' maruah Pas

Azizan 'selamatkan' maruah Pas

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


AZIZAN Abdul Razak menunjukkan senarai Exco baru Kedah selepas Majlis Angkat Sumpah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, semalam.


KERAJAAN Pas Kedah akan menyambut ulang tahun keempat pemerintahannya dalam keadaan politik yang tidak menentu. Kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berhadapan dengan kemelut dalaman berikutan ada di kalangan Exco yang tidak mahu dilantik semula.

Namun begitu, setakat ini Azizan yang berhadapan dengan desakan meletakkan jawatan pada September tahun lalu, dikatakan mampu mengendalikan keadaan.

Azizan ternyata tidak tergugat dengan politiking dalaman yang datang daripada pemimpin-pemimpin Pas sendiri.

Semua orang masih ingat bagaimana suatu ketika Azizan berhadapan 'ancaman' melompat parti - satu perkara yang dihalalkan oleh sekutu Pas iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketika itu ada ura-ura terdapat wakil rakyat yang akan melompat dan sekali gus boleh menyebabkan Kerajaan Pas Kedah tumbang.

Namun ia sekadar khabar angin, Azizan terus bertahan dalam keadaan kesihatan tidak begitu mengizinkan kerana masalah jantung yang dihidapinya.

Dan sekarang tekanan datang daripada dalam Pas sendiri yang memaksa Pas Pusat tidak boleh membiarkan ia berterusan. Justeru Pas pusat menghantar Naib Presidennya, Salahudin Ayub bagi mengawal keadaan.

Jika menurut laporan beberapa pihak Salahudin adalah pemimpin pusat ketiga terlibat dalam memulihkan situasi di Kedah, sebelum Presiden ini Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga dikatakan sudah memberi nasihat.

Apa pun belum sempat Salahudin sampai ke Kedah, Azizan sudah 'berjaya' menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Bagaimanapun ramai yang percaya bahawa ia hanya bersifat sementara, agenda untuk menyingkirkan Azizan tidak akan berakhir dengan persetujuan lapan Exco mengangkat sumpah.

Apatah lagi Azizan bukannya menghadapi ancaman di Kedah sahaja malahan seperti dakwaan sesetengah pihak, ada tangan ghaib yang cuba mengganggu pentadbiran beliau.

Mereka tidak suka dengan pendekatan Azizan yang dilihat terlalu mesra dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN), malahan Azizan juga dilihat telus melaksanakan pentadbirannya.

Biar pun dilihat tidak begitu berjaya membangunkan Kedah, namun Azizan dikatakan sedang berusaha ke arah itu tetapi sentiasa sahaja diganggu gugat dengan politik masalah dalaman.

Selain itu, Azizan juga dikatakan tegas dalam berunding dengan sekutu Pas, iaitu PKR dan DAP, Azizan tidak mahu menjadi 'pak turut' sesiapa, sebaliknya membuat keputusan berdasarkan kepada pertimbangan beliau sendiri selepas mengambil kira segala aspek.

Tetapi ini tidak menggembirakan mereka yang mahu melihat Azizan perlu bersikap seperti pemimpin-pemimpin Pas yang lain iaitu tunduk kepada kedua-dua parti berkenaan.

''Kalau Azizan berkeras juga, inilah jadinya mereka akan mencari pelbagai alasan untuk menyerang kepimpinan beliau dengan matlamat beliau berundur,'' kata seorang veteran Pas ketika berbual-bual dengan penulis di Sungai Petani, Sabtu lalu.

Apa pun tindakan Azizan yang berjaya melepasi ranjau dalam kemelut terbaru ini menyelamatkan maruah Pas. Ia memandangkan ketegasan beliau membuktikan bahawa di dalam Pas masih wujud pemimpin-pemimpin yang berani melawan arus terutamanya kepada kelompok Anwarinas.

Selama ini kelompok berkenaan dilihat begitu berkuasa dalam Pas sehinggakan apa juga tekanan atau desakan mereka pasti akan diikuti oleh pimpinan parti.

Tetapi dalam kes Azizan ini, ternyata puak-puak berkenaan yang ada antara mereka begitu mengidam-idamkan kerusi Menteri Besar Kedah tidak mampu berbuat apa-apa.

Azizan ingin memberi isyarat kepada puak Anwarinas berkenaan bahawa golongan ulama masih ada kuasa dan suara. Mungkin golongan Anwarinas boleh menguasai keputusan politik Pas tetapi ia tetap ada batasnya.

Seharusnya apa yang dilakukan oleh Azizan memberi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin Pas yang bersedia diperalatkan oleh rakan-rakan dalam pakatan pembangkang bahawa maruah parti itu perlu dipertahankan.

Mereka tidak boleh begitu mudah hendak mendengar apatah lagi arahan pemimpin di luar Pas semata-mata kerana keghairahan untuk memburu kuasa politik.

Apa yang dilakukan oleh Azizan sepatutnya menjadi contoh kepada golongan Anwarinas bahawa Pas mempunyai maruah dan martabat yang harus dipertahankan.

Azizan tidak mahu hanyut dengan keghairahan untuk memburu kuasa ke Putrajaya sehingga sanggup menggadaikan prinsip serta perjuangan Pas. Memang benar Pas berada dalam satu gabungan kerjasama pembangkang tetapi ia tidak bermakna parti itu perlu tunduk dengan apa juga kehendak sekutu mereka tersebut.

''Inilah mesej yang hendak disampaikan oleh Azizan kepada puak-puak berkenaan melalui krisis terbaru ini. Malahan Azizan juga ingin memberi isyarat kepada kepimpinan Pas pusat supaya berhati-hati dengan puak Anwarinas ini.

''Ia memandangkan kelompok berkenaan dilihat sudah begitu berkuasa dalam Pas sehingga boleh menentukan hala tuju parti itu. Azizan tidak mahu apa yang berlaku kepada Datuk Dr. Hasan Ali berulang kepada beliau,'' kata seorang pemimpin muda Pas di Kedah kepada penulis ketika dihubungi.

Namun begitu pemimpin muda berkenaan yang menyokong golongan pro ulama berkata, beliau percaya puak Anwarinas akan terus menggugat kepimpinan Azizan.

Ini dakwa beliau memandangkan puak itu tidak mahu ada mana-mana pemimpin Pas yang berani menentang kehendak pemimpin PKR dan DAP.

''Kalau ada ulama Pas yang cuba melawan, mereka akan berhadapan dengan strategi licik puak Anwarinas untuk menyingkirkan mereka,'' kata pemimpin muda tersebut.

Selain itu, pemimpin muda berkenaan percaya bahawa puak Anwarinas dalam Pas akan mengkaji segala kenyataan media yang dibuat oleh Azizan.

Mereka kata beliau akan mencari kesilapan yang dilakukan Azizan bagi membolehkan Menteri Besar itu dikenakan tindakan oleh parti.

''Inilah strategi dan taktik mereka dalam kes Dr. Hasan dahulu, beliau tidak diberi peluang langsung untuk membela diri sebaliknya dipecat begitu sahaja, mungkin strategi yang sama akan digunakan jika Azizan tidak berhati-hati,'' katanya yang berkelulusan dari sebuah universiti di Asia Barat.

Bagi seorang veteran Pas, beliau sendiri berasa kecewa dengan kemelut yang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.

Katanya, sudah empat tahun Pas memerintah dengan dibantu oleh PKR dan DAP tetapi hakikatnya ia lebih banyak dihiasi dengan kontroversi dan polemik berbanding agenda membangunkan Kedah.

Mungkin benar kata beliau tersilap langkah Pas boleh kehilangan kuasa di Kedah tetapi itu lebih baik daripada menjadi sebuah parti yang tidak bermaruah dan hanya diperkotak-katikkan oleh parti lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan