Selasa, 28 Februari 2012

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Raub jadi Pusat Pendidikan Mara

Posted:

Raub jadi Pusat Pendidikan Mara

Raub jadi Pusat Pendidikan Mara

Oleh Ali Mahmood
utusanpahang@utusan.com.my


Shahiruddin Ab. Moin menunjukkan lukisan grafik bangunan Pusat Latihan GiatMara yang akan dibina di Raub tidak lama lagi.


RAUB 28 Feb. – Daerah Raub bakal menjadi pusat pendidikan Mara apabila kerajaan Pusat meluluskan pembinaan tiga institut pendidikan di bawah agensi itu termasuk kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di bandar ini.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, bagi pembinaan UiTM, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM300 juta, Institut Kemahiran Mara (RM145 juta) manakala Pusat Latihan GiatMara bernilai RM5 juta.

Katanya, pelaksanaan projek tersebut dapat memberi peluang kepada lebih ramai pelajar luar bandar terutamanya bagi pelajar di Pantai Timur.

"Selain itu, kewujudan ketiga-tiga pusat pendidikan ini akan dapat memacu ekonomi dan secara tidak langsung memberi pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk," kata Shahiruddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan seramai 100 pemimpin belia pelbagai kaum daerah Raub di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga telah meluluskan tapak kampus cawangan UiTM seluas 110 hektar manakala 10 hektar lagi untuk Pusat Latihan GiatMara.

Beliau berkata, apabila siap nanti, seramai 3,000 pelajar dijangka memulakan pengajian di UiTM yang turut membabitkan 1,000 kakitangannya.

''Institut Kemahiran Mara (IKM) pula menempatkan 500 pelajar dan Pusat GiatMara akan melatih antara 200 dan 300 pelajar dalam bidang membaiki jentera berat, pelancongan dan elektrik," kata Shahiruddin yang Pengerusi GiatMara.

Dengan adanya ketiga-tiga institusi pendidikan itu, katanya, pendapatan dan ekonomi penduduk daerah itu akan berkembang pesat berikutan pertambahan penduduk dengan kehadiran hampir 4,000 pelajar.

Laman web Universiti Malaysia Pahang bertaraf 5 bintang

Posted:

Laman web Universiti Malaysia Pahang bertaraf 5 bintang

Laman web Universiti Malaysia Pahang bertaraf 5 bintang


Daing Nasir Ibrahim (lima kanan) mengucapkan tahniah kepada Jasni Mohamed (dua kanan) pada Majlis Meraikan Staf sempena kejayaan mendapat tempat ketiga laman web terbaik bagi kategori Institut Pengajian Tinggi Awam di PICC, baru-baru ini.


KUANTAN 28 Feb. - Laman web Universiti Malaysia Pahang (UMP) diiktiraf bertaraf lima bintang apabila berjaya meraih tempat ketiga pada Majlis Anugerah Laman Web Terbaik Negara bagi kategori institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Pengiktirafan tersebut diberikan pihak Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec) kerana menepati kriteria yang ditetapkan dalam Penilaian Portal dan Laman Web Kerajaan Malaysia 2011 (MGPWA) dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Penyampaian anugerah itu disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada Naib Canselor UMP, Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim sempena Majlis Amanat Tahun Baru 2012 kementerian itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini

Pada majlis itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendapat tempat pertama kategori tersebut diikuti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) di tempat kedua.

Menurut Daing Nasir, kejayaan tersebut merupakan satu tanda aras terhadap laman web UMP dalam menyediakan maklumat dalam talian yang berkesan dan terbaik serta memperkasakan sistem penyampaian sektor awam.

"Pengiktirafan ini mengambil kira Penilaian Laman Web Agensi Kerajaan yang dilakukan pihak MDeC setiap tahun dalam memastikan laman web agensi kerajaan sentiasa dikemas kini bagi memberi maklumat dalam talian yang berinformatif dan efektif kepada pelanggan.

"Penarafan lima bintang ini dinilai berdasarkan pengemaskinian kandungan, kebolehgunaan informasi, keselamatan, laporan data statistik, perkhidmatan yang disediakan termasuk penggunaan teknologi terkini atau laman sosial seperti Facebook.

"Kejayaan ini menunjukkan usaha kakitangan dari semua jabatan dalam memastikan segala maklumat dikemas kini dan cabaran berikutnya adalah untuk memastikan UMP berada di tangga teratas," katanya dalam majlis meraikan kejayaan tersebut di Dewan Astaka baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Datuk Rosli Mohd. Yunus; Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Datin Nasly Mohd. Ali dan Dekan Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian, Prof Madya Dr. Jasni Mohamed DA.

Katanya, kejayaan pencapaian lima bintang dianggap paling bermakna bagi UMP berbanding empat bintang pada tahun lalu dan tiga bintang pada 2009.

Pada majlis tersebut, seramai 50 kakitangan menerima sijil penghargaan atas sumbangan dan kejayaan mengharumkan nama universiti tersebut.

Kolej Komuniti tingkat kemahiran penduduk

Posted:

Kolej Komuniti tingkat kemahiran penduduk

Kolej Komuniti tingkat kemahiran penduduk


Sebahagian belia dan penuntut yang mengambil kursus pengurusan pelancongan melawat sebuah gua di Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 28 Feb. - Kewujudan Kolej Komuniti Lipis di sini merupakan landasan terbaik untuk siswazah menganggur, lepasan sekolah dan suri rumah mendapatkan latihan kemahiran bagi membolehkan mereka berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, usaha Kementerian Pengajian Tinggi mewujudkan Kolej Komuniti di seluruh negara dilihat memberi nilai tambah kepada usaha melahirkan modal insan yang memiliki pelbagai kemahiran.

"Kursus yang ditawarkan meliputi jangka pendek yang memudahkan penduduk dan belia menajamkan kemahiran tertentu bagi membolehkan mereka menceburi bidang keusahawanan," katanya di sini baru-baru ini

Menurut beliau, di Eropah dan Amerika Syarikat, penduduk mengambil kesempatan mengikuti kursus jangka pendek iaitu bidang perhotelan, pelancongan dan masakan yang digunakan untuk menambah pendapatan.

"Sewajarnya penduduk di daerah ini merebut peluang itu dengan mengikuti kursus di Kolej Komuniti dengan yuran serendah antara RM10 hingga RM20," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman meminta belia supaya memohon kursus pelancongan jangka pendek dalam bidang pengurusan pelancongan kerana dapat membantu menjana pembangunan pelancongan di Lipis.

"Bidang pengurusan termasuk pemandu pelancong masih kurang di kalangan belia di sini sedangkan bidang ini berkembang pesat sesuai dengan lokasi bandar Lipis yang kaya dengan warisan tinggalan penjajah dan keindahan alam sekitar," katanya.

Beliau menambah, berasaskan kemahiran pengurusan, belia yang terlatih dari Kolej Komuniti dapat membabitkan diri dengan perusahaan pelancongan dengan merebut peluang menguruskan pakej lawatan pelancong luar dan domestik ke Lipis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan