Isnin, 27 Februari 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Surat Dr. Mahathir kepada Ehud Barak akan didedah - Najib

Posted:

Surat Dr. Mahathir kepada Ehud Barak akan didedah - Najib

Surat Dr. Mahathir kepada Ehud Barak akan didedah - Najib

SABAK BERNAM 26 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan menyiarkan surat Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Barak pada minggu depan.

Perdana Menteri berkata, langkah tersebut adalah bagi membolehkan seluruh rakyat memahami tujuan sebenar Dr. Mahathir menghantar surat berkenaan.

"Saya telah meminta supaya surat yang diutuskan oleh Dr. Mahathir itu disemak dan diberikan ulasan oleh Wisma Putra.

"Saya telah semak surat itu dan mendapati ia boleh didedahkan kepada pengetahuan umum... hari ini Ahad, esok atau lusa kita boleh menyiarkannya kepada umum," katanya.

Najib berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan ucapan majlis pecah tanah pembinaan blok 18 bilik darjah tambahan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJKC) Yoke Kuan, dekat sini hari ini.

Dr. Mahathir baru-baru ini mengakui pernah menulis surat kepada dua Perdana Menteri Israel iaitu Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Namun, menurut Dr. Mahathir, surat tersebut adalah sebagai jawapan balas kepada surat yang diutus oleh dua pemimpin Yahudi itu yang meminta Malaysia mengubah pendirian dengan menjalin hubungan diplomatik dengan negara tersebut.

Jelasnya, dalam surat itu, beliau mengatakan Malaysia tidak akan ada apa-apa hubungan dengan mereka selagi mereka tidak mengiktiraf kedudukan orang-orang Palestin.

Mengulas lanjut, menurut Najib, beliau mendapati Dr. Mahathir menulis surat tersebut adalah untuk memperjuangkan untung nasib rakyat Palestin yang menuntut sebuah negara berdaulat.

"Surat itu adalah menunjukkan keprihatinan Dr. Mahathir dalam proses kedamaian Asia Barat yang ketika itu sedang giat diusahakan dan isi kandungan surat itu menepati dasar kerajaan Malaysia, dulu dan pendirian kita hari ini.

"Dengan surat itu disiarkan secara terbuka, saya harap (menghentikan) segala pertikaian dan polemik yang dibangkitkan oleh parti pembangkang kerana mereka khuatir kemarahan rakyat terhadap kenyataan Ketua Pembangkang menyokong segala usaha mempertahankan keselamatan negara Israel," katanya.

Beliau berkata, tindakan parti pembangkang itu hanya untuk mengalihkan pandangan rakyat supaya berasa sangsi terhadap pendirian sebenar kerajaan berhubung kedudukan Israel.

Sementara itu, mengenai isu kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas Corporation (Lynas), Perdana Menteri menegaskan, kerajaan sudah membuat kajian terhadap projek tersebut dan mengenakan syarat yang cukup ketat.

"Kita tidak akan memberikan lesen beroperasi melainkan kita berpuas hati dan orang tempatan boleh menerima projek itu serta ia selamat dari segi kepentingan rakyat.

"Melainkan ada pihak yang sengaja menolak atas sebab politik itu kita tidak boleh berbuat apa-apa," katanya.

Jelasnya, apa yang penting adalah fakta dan bukti saintifik menunjukkan kilang itu tidak akan membawa kemudaratan kepada masyarakat tempatan.

Beliau berkata, pihaknya sudah menduga parti pembangkang akan mencari isu seperti projek Lynas untuk dijadikan sebagai modal menyerang kerajaan dan mendapatkan sokongan masyarakat tempatan.

Kehendak rakyat dipenuhi - PM

Posted:

Kehendak rakyat dipenuhi - PM

Kehendak rakyat dipenuhi - PM

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my


NAJIB Tun Razak berucap pada program Tinjauan Susulan Perdana Menteri Ke Selangor Bersama Petani dan Nelayan Parlimen Sabak Bernam di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor, semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF


SABAK BERNAM 26 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpuas hati kerana berjaya memenuhi kehendak semua lapisan masyarakat menerusi pelbagai bentuk bantuan.

Ia termasuklah golongan petani di daerah ini yang mengalami kerugian akibat tanaman pisang diserang penyakit apabila Perdana Menteri mengumumkan bantuan saguhati sebanyak RM1.5 juta kepada mereka.

Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, hasratnya mahu segenap lapisan rakyat memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) masih belum dapat dipenuhi.

''Banyak masalah saya sudah selesaikan. Bersama Datuk Seri Noh Omar (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) hari ini, masalah pisang selesai. Nelayan dapat (bantuan sara diri), penduduk dapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Semua sudah dapat, tetapi kehendak saya belum dapat lagi.

''Insya-Allah dengan sokongan yang ditunjukkan hari ini, kita akan capai kemenangan besar. Pisang boleh layu, tapi semangat jangan layu," katanya.

Najib berucap di hadapan ribuan penduduk ketika menghadiri program Tinjauan Susulan Perdana Menteri Ke Selangor Bersama Petani dan Nelayan di Bagan Nakhoda Omar, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan bantuan sara hidup kepada nelayan dan sagu hati kepada petani sebelum meninjau keadaan Balai Polis Daerah Sungai Besar.

Hadir sama, Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor; Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed; Ahli Parlimen Sabak Bernam; Datuk Abd Rahman Bakri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Datuk Warno Dogol; ADUN Sungai Ayer Tawar, Datuk Raja Ideris Raja Ahmad dan Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim.

Najib yang juga Pengerusi BN Selangor berkata, berdasarkan kepada semangat yang dilihat pada majlis itu, beliau yakin Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak dan Sungai Ayer Tawar yang pernah menjadi kubu kuat BN sebelum hampir tumbang ketika pilihan raya pada 2008 akan kembali menjadi teras kekuatan BN.

''Kata Datuk Raja Ideris, lawatan hari ini catat sejarah kerana belum pernah mana-mana Perdana Menteri sampai ke kawasan ini.

''Saya bersyukur dapat sampai di Sungai Ayer Tawar dan Sabak serta teruja melihat bukan saja sambutan meriah tetapi suasana penuh dengan rasa muhibah dan harmoni di antara semua kaum.

''Saya melihat suasana ini jelas menunjukkan di bawah panji BN, kita boleh memupuk dasar yang boleh mengeratkan lagi perpaduan kaum di negara kita," kata beliau.

Najib berkata, melalui gagasan 1Malaysia yang memberi keadilan sosial kepada semua kaum, orang kaya diberi peluang berniaga menambah pendapatan dan pada masa sama, memberi tumpuan kepada golongan miskin sehingga kemiskinan mutlak hampir terhapus.

''Biasanya dalam mana-mana sistem ekonomi dunia, yang kaya rasa selesa, yang miskin dapat bantuan tetapi ramai yang sederhana dan sederhana rendah, kita kadang-kadang terlepas pandang atau tidak ada program untuk membantu kelompok ini,'' katanya.

Perdana Menteri kemudiannya menyertai jamuan makan tengah hari bersama masyarakat Sekinchan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Yoke Kuan serta menyempurnakan upacara pecah tanah tambahan 18 bilik darjah bernilai RM1.5 juta di sekolah itu.

Ketika berucap di majlis itu, Najib mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta bagi pembangunan sekolah itu berikutan prestasi cemerlang sekolah berkenaan dan manfaat kepada masyarakat Cina setempat.

''Falsafah orang Cina, kalau kita minum air dari telaga, jangan lupa orang yang gali telaga itu. Jadi, kita mesti ingat siapa yang menggali telaga selama ini untuk pendidikan di negara ini," katanya.

Beliau berkata, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara, justeru kewujudan dan masa depan sekolah itu nanti tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun.

Terdahulu, Najib sempat meninjau berek polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Besar dan meluluskan serta-merta peruntukan RM480,000 bagi memperbaiki kemudahan di berek yang sudah berusia 35 tahun itu.

Pemilik, pewaris tidak diketepikan

Posted:

Pemilik, pewaris tidak diketepikan

Pemilik, pewaris tidak diketepikan

Oleh THOMAS CHONG dan NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 26 Feb. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi yang mengetepikan kepentingan pemilik dan pewaris tanah dalam pembangunan semula Kampung Baru di ibu negara.

Berikutan itu, Muhyiddin berkata, siri perbincangan dan pertemuan yang intensif telah dan akan terus dijalankan oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dengan para pemilik dan pewaris tanah.

Beliau berkata, adalah menjadi agenda utama kerajaan dalam mentransformasikan kedudukan dan identiti Kampung Baru yang berkait rapat dengan martabat, sejarah dan jati diri orang Melayu.

''Selaras dengan wujudnya Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011, saya dimaklumkan bahawa pasukan interim yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 telah ditubuhkan bagi mengambil langkah-langkah awal penubuhan PPKB.

''Saya menyeru semua pihak terbabit untuk bekerjasama secara erat serta memberi komitmen yang ikhlas bagi menjayakan pelaksanaan pembangunan Kampung Baru," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012 di sini hari ini.

Sempena majlis tersebut, Muhyiddin telah menyerahkan sumbangan wang tunai bernilai RM100 seorang kepada 1,000 warga Wilayah Persekutuan yang kurang bernasib baik serta menghadiri jamuan makan bersama rakyat di Presint 2, di sini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan pada masa yang sama akan mengambil kira kepentingan 1,578 peniaga sedia ada di Pasar Raja Bot ketika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan pembangunan semula di situ.

''Langkah ini adalah penting bagi menjamin pembangunan semula ini memberi keuntungan yang maksimum kepada para peniaga dan juga mendatangkan faedah yang besar kepada warga kota.

''Saya amat berharap Pasar Raja Bot akan menjadi ikon yang unik serta menjadi khazanah warisan yang hidup untuk pelancong asing," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin mengajak semua warga Wilayah Persekutuan bersatu hati dan berusaha lebih gigih bagi memastikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menjuarai semua program yang digariskan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Beliau pada masa yang sama mengingatkan warga Wilayah Persekutuan bahawa keharmonian yang wujud hari ini bukannya dinikmati dengan jalan mudah tetapi berasaskan usaha untuk memupuk kesefahaman, toleransi dan penghayatan seluruh rakyat.

''Justeru jangan kita leka dan mengambil mudah, sebaliknya kita perlu terus bertekad untuk memantapkan Malaysia sebagai negara yang bersatu padu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan