Sabtu, 25 Februari 2012

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


GAPS tidak iktiraf Selcat

Posted:

GAPS tidak iktiraf Selcat

GAPS tidak iktiraf Selcat

SHAH ALAM 25 Feb. – Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) tidak pernah mengiktiraf Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) yang telah diwujudkan oleh kerajaan negeri.

Pengerusinya, Hamidzun Khairuddin menyifatkan, jawatankuasa itu dilihat tidak lebih daripada alat untuk menutup kelemahan pentadbiran pakatan pembangkang di negeri ini.

Malah, beliau menyatakan Pengerusi Selcat yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Teng Chang Khim sepatutnya memberi tumpuan untuk menggubal enakmen negeri, bukannya mengambil alih tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis dalam menyiasat pelbagai isu seperti penyelewengan pasir.

"Selcat adalah jawatankuasa di bawah DUN dan kerja DUN ialah mengadakan sidang, membuat dan membahaskan undang-undang, iaitu enakmen negeri. Ini salah guna kuasa apabila Selcat hendak dijadikan badan siasatan macam SPRM dan polis.

"Gaps kecewa kerana ketika ini pendengaran awam yang diadakan Selcat tidak ubah seperti ceramah politik, semata-mata hendak menghentam dan menjatuhkan pihak tertentu.

"Maka sebab itu, saya katakan Selcat tidak ubah seperti salah satu biro di bawah pakatan pembangkang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Persetujuan diperlukan segera

Posted:

Persetujuan diperlukan segera

Persetujuan diperlukan segera

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Feb. - MRT Corp. akan berusaha gigih untuk mendapatkan persetujuan bersama dengan pemilik lot kedai di Jalan Sultan dan Jalan Petaling yang akan ditempatkan di atas terowong My Rapid Transit (MRT).

Persetujuan bersama itu perlu diperoleh sebelum tamat bulan ini atau kerajaan akan mengambil alih proses itu daripada MRT Corp. dan menggunakan akta berkaitan untuk mengambil tanah-tanah terlibat.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, jika pemilik hartanah bersetuju dengan perjanjian itu, pihaknya akan berjumpa dengan kerajaan untuk meminta ditarik balik keputusan mengambil alih tanah di Jalan Sultan dan Jalan Petaling.

"Situasi menang-menang akan dapat diwujudkan jika persetujuan bersama dapat dicapai di antara pihak kami dan pemilik hartanah di dua kawasan tersebut.

"Kami memerlukan persetujuan bersama ini kerana projek MRT di Jalan Sultan dijangka akan bermula pada 2014 dan ia hanya melibatkan kerja-kerja bawah tanah," katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan projek pembinaan MRT di sini hari ini.

Beliau menegaskan pihaknya bukan mahu merampas tanah atau merobohkan mana-mana bangunan yang bersejarah di kawasan tersebut, tetapi memerlukan persetujuan daripada pemilik hartanah di situ untuk projek membina terowong MRT dilakukan di bawah hartanah mereka.

"Oleh itu mereka tidak perlu bimbang jika projek ini dijalankan, tiada bangunan yang akan diroboh. Pembinaan MRT ini bertujuan memberi pelbagai manfaat kepada penduduk dan peniaga di kawasan berkenaan dan ia juga merupakan projek untuk rakyat," katanya.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, pembinaan MRT itu hanya melibatkan segelintir penduduk atau pemilik hartanah di Jalan Sultan dan Jalan Petaling yang perlu dipindahkan sementara dan premis mereka dikosongkan selama enam bulan bagi membolehkan kerja-kerja bawah tanah dijalankan.

Mereka yang terlibat dengan pemindahan itu juga akan diberikan pampasan, katanya.

"Dalam tempoh enam bulan itu, ia akan melibatkan kerja-kerja pemeriksaan awal, pembinaan terowong dan seterusnya pemeriksaan akhir yang bertujuan memastikan tiada bangunan terjejas semasa projek dijalankan," jelasnya.

Katanya, MRT Corp telah mencapai banyak kemajuan dalam perbincangan dengan pemilik lot kedai berkenaan dan setakat ini peguam-peguam yang mewakili 20 daripada 23 pemilik di kawasan itu sedang berbincang dengan para peguam MRT Corp.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan