Ahad, 26 Februari 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Kesejahteraan diagih sama rata

Posted: 26 Feb 2012 01:18 PM PST

Nasional

NAJIB berucap pada pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Selangor, di Pelabuhan Klang, semalam.

NAJIB berucap pada pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Selangor, di Pelabuhan Klang, semalam.

Semua peringkat rakyat nikmati pertumbuhan ekonomi negara: Najib

SABAK BERNAM: Datuk Seri Najib Razak berkata, kesan positif pertumbuhan ekonomi negara turut dirasai golongan berpendapatan sederhana dan sederhana rendah melalui pelbagai program pembangunan serta bantuan secara langsung kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri berkata, kehendak golongan itu tidak dilupakan berdasarkan gagasan 1Malaysia yang bersifat inklusif. Bagaimanapun, Najib secara berseloroh berkata, kehendaknya saja belum dipenuhi rakyat tetapi berdasarkan sambutan luar biasa masyarakat pada majlis dihadirinya, beliau yakin hasratnya melihat Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan tercapai.

"Banyak masalah saya sudah selesaikan. Bersama Datuk Seri Noh Omar (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) hari ini (semalam). Nelayan dapat (bantuan sara diri), penduduk dapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Semua sudah dapat tetapi kehendak saya belum dapat lagi.

"Insya-Allah dengan sokongan ditunjukkan ini, kita akan capai kemenangan besar (PRU-13)," katanya pada Tinjauan Susulan PM Ke Selangor Bersama Petani dan Nelayan di Bagan Nakhoda Omar, di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan sara hidup kepada nelayan dan sagu hati kepada petani sebelum singgah sebentar bagi meninjau Balai Polis Sungai Besar.
Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan BN dan UMNO Selangor dalam lawatan kerja sehari di Selangor untuk meninjau beberapa daerah di negeri itu bagi mendengar sendiri keluhan dan pandangan rakyat negeri ini.

Beliau berkata, berdasarkan semangat dilihat pada majlis itu, beliau yakin Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak dan Sungai Ayer Tawar yang pernah menjadi kubu kuat BN sebelum hampir tumbang ketika pilihan raya 2008 akan kembali menjadi teras kekuatan BN.

"Raja Ideris (Raja Ahmad, ADUN Sungai Ayer Tawar) memaklumkan lawatan hari ini catat sejarah kerana belum pernah mana-mana PM sampai ke kawasan ini. Saya bersyukur dapat sampai di Sungai Ayer Tawar dan Sabak serta teruja melihat bukan saja sambutan meriah tetapi suasana penuh rasa muhibah dan harmoni antara semua kaum," katanya.

Perdana Menteri kemudian menyertai jamuan makan tengah hari bersama masyarakat Sekinchan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan serta melakukan upacara pecah tanah tambahan 18 bilik darjah bernilai RM1.5 juta di sekolah itu.

Berucap pada majlis itu, Najib mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta bagi pembangunan sekolah itu berikutan prestasi cemerlangnya dan manfaat kepada masyarakat Cina setempat.

Sementara itu di PELABUHAN KLANG, Perdana Menteri mengingatkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Selangor tidak membantah mana-mana calon yang diletakkan parti walaupun individu yang mereka ingini tidak dicalonkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN Selangor berkata, pemilihan calon pilihan raya perlu diserahkan kepada pemimpin parti dan jentera pilihan raya perlu menyokong calon terbabit.

MCA ambil tindakan tegas ahli sabotaj parti

Posted: 26 Feb 2012 01:15 PM PST

Nasional

KUALA LUMPUR: MCA akan mengambil tindakan tegas terhadap ahli yang mensabotaj parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, termasuk menggantung keanggotaan sekurang-kurangnya enam bulan jika yang didapati bersalah.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut pada mesyuarat Majlis Presiden dalam masa terdekat bagi memastikan ahli yang mengkhianati parti diberi pengajaran sewajarnya.

"Kita akan ambil tindakan tegas dan antara yang akan dicadangkan adalah sesiapa yang terbukti mensabotaj, kita akan cadang digantung sekurang-kurangnya enam bulan. "Kalau digantung selama enam bulan, dia tidak boleh bertanding dalam pemilihan jawatankuasa Pusat MCA akan datang," katanya selepas menghadiri dan merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-63 MCA di Wisma MCA di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Soi Lek berkata, amaran dan tindakan penting khususnya kepada ahli parti yang secara terang-terangan menyokong pembangkang atau menggunakan landasan pembangkang untuk mengkritik parti.

Bagaimanapun, katanya, MCA tidak akan sekali-kali mengamalkan 'Gag Order' atau perintah dari pemimpin parti untuk melarang ahli parti mendedahkan atau berbincang isu yang mempunyai kepentingan orang ramai sebagai mana diamalkan pembangkang.
"Kita benarkan pemimpin memberi pandangan berlainan tetapi ia seharusnya berasas dan membina, malah mereka juga tak boleh gunakan saluran parti pembangkang untuk kritik dan membidas MCA.

"MCA tidak akan lakukan seperti DAP, PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana ia adalah perbuatan yang tidak demokratik, malah MCA juga tidak akan pecat ahli dan pemimpin MCA seperti yang berlaku pada PAS tanpa memberikan peluang dan kesempatan kepada pihak terbabit mendengar sebab mereka melakukan perbuatan berkenaan," katanya.

Terdahulu, mengulas kedatangan perwakilan yang disifatkan memberangsangkan iaitu melebihi 3,000 berbanding tempat disediakan iaitu sekitar 2,500, Soi Lek berkata, perkembangan itu menunjukkan ahli MCA kini semakin bersemangat dan optimis untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Selain itu, beliau mengingatkan ahli supaya menambah baik dan meningkatkan penggunaan media baru dalam publisiti parti dan tidak hanya bergantung kepada media tradisional untuk menghebahkan arah tuju parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan