Isnin, 27 Februari 2012

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


Sengsara selepas berhijrah ke AS

Posted:

Sengsara selepas berhijrah ke AS

Sengsara selepas berhijrah ke AS

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
uma.ramayah@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Tindakan seorang wanita tempatan mengikut kekasih warga Nigeria ke Amerika Syarikat (AS) untuk berkahwin berakhir dengan penderitaan apabila dia menjadi mangsa dera dan ketagih kepada pengambilan dadah.

Mangsa yang berusia 33 tahun dikatakan bertemu dengan lelaki warga Afrika itu di Malaysia kira-kira 10 tahun lalu sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah ke AS.

Di sana, pasangan itu dikatakan hidup sebagai suami isteri sehingga memperoleh dua orang anak.

Bagaimanapun, wanita itu yang berasal dari Melaka terpaksa menyerahkan dua anaknya kepada sepasang suami isteri di AS apabila suaminya ditahan polis atas kesalahan memiliki dadah.

Menurut sumber, sejak berhijrah ke AS, mangsa tidak pernah pulang ke Malaysia kerana masalah kewangan yang dihadapinya.

Lebih memburukkan keadaan, wanita itu dikatakan menjadi mangsa dera suaminya dan terlibat dalam penagihan dadah.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan di Pejabat Kedutaan Malaysia di AS mendapati, pasangan itu mendaftarkan perkahwinan mereka.

"Bagaimanapun beberapa bulan lalu, suami wanita itu ditahan polis kerana memiliki dadah menyebabkan mangsa hidup dalam keadaan tertekan dan kini mengalami tekanan mental," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut sumber itu, mangsa ditemui berseorangan tanpa makanan dan bekalan elektrik di apartmen yang disewa pasangan itu kira-kira dua minggu sebelum ia disedari jiran mereka.

Keprihatinan jiran mangsa, kata sumber, membawa wanita itu ke sebuah pusat penjagaan berhampiran.

"Mangsa yang berasal dari keluarga miskin tidak mempunyai wang yang cukup untuk pulang ke Malaysia. Lebih menyedihkan, kematian bapanya bulan lalu juga masih belum diketahui wanita itu berikutan tekanan mental yang dialaminya," kata sumber tersebut.

11 makmal dadah dibongkar

Posted:

11 makmal dadah dibongkar

11 makmal dadah dibongkar

BANGKOK 27 Feb. - Sebanyak 11 makmal memproses dadah milik sindiket tempatan dan asing yang beroperasi di Malaysia berjaya ditumpaskan oleh polis sepanjang tempoh enam bulan lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, penemuan 11 makmal itu merupakan antara kejayaan terbesar dicatatkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menangani masalah pengedaran dan penyeludupan dadah di Malaysia setakat ini.

Menurutnya, walaupun banyak kumpulan sindiket dadah ditumpaskan, namun kegiatan haram itu tidak boleh dibendung sepenuhnya kerana akan ada sindiket baru wujud dari semasa ke semasa.

"Kita sedar bahawa benda ini (sindiket dadah) walaupun ditumpaskan hari ini, esok tumbuh (wujud) pula sindiket baru. Contoh, kita lumpuhkan 11 makmal memproses dadah, kemudian wujud makmal baru dibina oleh sindiket lain," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Ismail berada di Bangkok kerana mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kajian Dalam Aktiviti Jenayah Melibatkan Malaysia-Thailand Kali Ke-21.

Mesyuarat yang berlangsung esok itu turut disertai oleh beberapa pegawai kanan PDRM termasuk Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin dan Pengarah Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Akhil Bulat.

Menurut Ismail, Malaysia menjadi negara pilihan sindiket antarabangsa untuk menjalankan kegiatan jenayah seperti penyeludupan dadah, manusia dan senjata api kerana kedudukannya yang strategik sebagai transit.

Menurutnya, Malaysia secara tradisionalnya memang sesuai untuk dijadikan tempat transit kerana berada di tengah-tengah Asia dan mudah dilalui kerana adanya Selat Melaka.

"Kedudukan Malaysia boleh diibaratkan sebagai 'gula' kerana berada di tengah-tengah perjalanan antara beberapa negara. Sebab itu, kita lihat ramai pengedar dadah dan penyeludup manusia memilih untuk singgah di Malaysia terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan.

"Selain itu, Malaysia juga menjadi pilihan kerana keadaan dalam negara yang stabil dan aman," ujarnya.

Diminta mengulas lanjut mengenai 11 makmal yang dibongkar itu, Ismail berkata, beliau tidak mempunyai maklumat terperinci tetapi mengesahkan makmal berkenaan dimiliki oleh pengedar dadah rakyat tempatan dan juga asing terutama sindiket warga Iran.

Dalam pada itu, Ismail berkata, PDRM sudah bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Katanya, selain bersedia dari segi logistik, pihaknya turut sudah menghantar permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendapatkan peruntukan bagi menghadapi pilihan raya umum kali ini.

Beliau juga mengarahkan semua warga PDRM yang belum mendaftar sebagai pengundi agar segera berbuat demikian bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab kepada negara, selain menunjukkan teladan baik kepada masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan