Sabtu, 25 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Helah curi TV

Posted: 24 Feb 2012 01:50 PM PST

KLANG: Lakonan dua pekerja sebuah pasar raya besar di Kapar, di sini, menolak troli yang penuh dengan barangan elektrik kononnya untuk dihantar ke kereta pelanggan membongkar rahsia rupa-rupanya mereka mahu mencuri barangan itu.

Kegiatan mereka yang dipercayai didalangi pengawal keselamatan pasar raya berkenaan terbongkar Isnin lalu apabila pengurus stor yang melakukan rondaan di kawasan parkir menemui troli berisi dua televisyen jenama Sharp berukuran 32 dan 40 inci, jam 10.30 malam.


Curiga dengan penemuan itu, pengurus stor terbabit melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati dua lelaki yang bekerja di bahagian elektrik pasar raya menolak troli itu menuju sebuah kereta.

Dua pekerja itu ditahan sebelum pihak pengurusan pasar raya berkenaan membuat laporan polis.


Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, hasil soal siasat polis kemudian menahan lapan suspek lain termasuk sepasang suami isteri serta dua beradik.


Menurutnya, siasatan awal mendapati seorang daripada dua beradik yang ditahan berusia 29 tahun adalah bekas pengawal keselamatan di pasar raya itu.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan suspek itu dalang utama yang bersekongkol dengan abangnya berusia 41 tahun serta lapan lagi suspek yang ditahan.


Menurutnya, susulan itu, polis menemui semula empat televisyen paparan cecair kristal (LCD) pelbagai jenama berukuran 32, 40 dan 42 inci serta dua sistem teater rumah hasil serbuan ke atas sebuah rumah teres dua tingkat di Kapar milik pasangan suspek suami isteri.

"Semua barangan elektrik yang dalam kotak itu ditemui dalam sebuah bilik di tingkat atas kediaman itu.


"Selepas itu, kami serbu sebuah lagi rumah juga di Kapar dan menjumpai dua televisyen, manakala dua lagi dirampas di luar sebuah kilang di kawasan Rantau Panjang," katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.


Katanya, polis percaya semua barangan yang dicuri dianggarkan bernilai RM20,000 itu untuk dijual semula.


Katanya, siasatan turut menunjukkan semua suspek menjalankan kegiatan itu sejak awal Januari lalu.


Mohamad Shukor berkata, semua suspek berusia 17 hingga 41 tahun itu disambung reman selepas reman terdahulu selama seminggu mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan (curi oleh orang gaji) tamat semalam.


Beliau berkata, pihaknya mengesan dua bekas pekerja pasar raya terbabit iaitu seorang wanita warga Indonesia dikenali Murtafingah, 31, dan seorang remaja berusia 17 tahun yang dikenali sebagai Sinu.


"Kami percaya dua individu terbabit mempunyai maklumat berhubung siasatan," katanya.



Syor pembiayaan khas diteruskan

Posted: 24 Feb 2012 01:47 PM PST

KUALA LUMPUR: Majlis Gabungan Persatuan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meminta kerajaan supaya meneruskan konsep penjualan rumah menerusi Skim Pembiayaan Khas Penjualan Program Perumahan Rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diperkenalkan 28 Januari lalu.

Yang Dipertuanya, Anuar Sudin berkata, pihaknya melalui 81 persatuan penduduk yang mewakili penduduk di 44,000 rumah Perumahan Awam DBKL dan PPR MTEN menyokong kaedah itu yang bakal membantu penduduk memiliki rumah di perumahan terbabit.


"Skim ini membuka peluang kepada penduduk yang mempunyai masalah seperti tunggakan sewa rumah, disenarai hitam, warga emas tiada waris, keluarga yang mempunyai tanggungan ramai mahupun fakir miskin yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal memiliki kediaman sendiri.

"Malah, pihak majlis cuba membantu penduduk yang bermasalah pendapatan mendapatkan rumah ini menerusi penyertaan dalam program penjanaan pendapatan tambahan melalui program yang dilaksanakan agensi kerajaan seperti DBKL supaya masalah bayaran balik pinjaman tidak timbul kelak," katanya dalam satu kenyataan media di sini.


Anuar berkata, usaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mewujudkan skim itu pastinya merubah kehidupan penghuni PPR dan perumahan awam di ibu kota ke arah lebih baik.


Katanya, beliau yakin skim terbabit juga merealisasikan hasrat kerajaan untuk melihat setiap rakyat memiliki rumah sebagai aset jangka panjang menerusi slogan 'Satu Keluarga Satu Rumah.'



Tiada ulasan:

Catat Ulasan