Ahad, 26 Februari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Adun ubat jadi dadah

Posted: 25 Feb 2012 11:20 AM PST

KUALA LUMPUR: Pelbagai ubat-ubatan dan bahan kimia industri kini menjadi buruan sindiket dadah untuk diadun menjadi pelbagai dadah sintetik berbahaya.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu dikesan menjadi punca peningkatan mendadak penghasilan syabu dan ecstasy sejak kebelakangan ini membabitkan rampasan bernilai ratusan juta ringgit.


Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Datuk Eisah A Rahman berkata, aktiviti itu diyakini dapat diatasi melalui kewujudan Sistem Pengurusan Integrasi Kawalan Efektif Substan atau Spikes yang dibangunkan pihaknya.

Menurutnya, Spikes satu inisiatif kerajaan di bawah Makmal Jenayah dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) bertujuan mengurangkan jenayah, terutama jenayah jalanan berpunca daripada penyalahgunaan dadah.


"Sistem Spikes idea Biro Pengawalan farmaseutikal bagi mengawal sepenuhnya bahan narkotik, psikotropik dan bahan kimia prekursor yang digunakan untuk tujuan rawatan perubatan dan kegunaan industri.


"Sejak akhir-akhir ini ada kecenderungan jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah, terutama membabitkan dadah perangsang seperti syabu dan Ecstasy.

"Dadah moden ini dihasilkan daripada tindak balas kimia bahan prekursor ubat-ubatan atau industri yang diadun menjadi bahan mengkhayalkan," katanya selepas majlis pelancaran Spikes, semalam.


Pelancaran itu dirasmikan Pengarah Penguatkuasa Farmasi, Mohd Hatta Ahmad di Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan Kementerian Kesihatan di Petaling Jaya, Selangor.

Menurutnya, Spikes diwujudkan khusus bagi meningkatkan kawalan terhadap bahan prekursor.


"Sampai masanya satu sistem kawalan bersepadu dibangunkan untuk menentukan kegunaan bahan prekursor yang sah.


"Langkah ini secara tidak langsung berupaya mencegah bahan kimia dan ubat-ubatan daripada disalah guna dan dipesongkan untuk penghasilan dadah sintetik dan berbahaya," katanya.


Di samping itu, sistem Spikes turut memudahkan kawalan di segi permohonan lesen, permit dan kebenaran mengimport atau mengeksport bahan ubat-ubatan dan bahan kimia.



Pertahan silat

Posted: 25 Feb 2012 11:19 AM PST

GURUN: Seni silat gayung diibaratkan cerminan kepada perpaduan di kalangan orang Melayu yang harus dipertahankan sebagai wadah perjuangan demi bangsa, agama dan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, seni silat gayung bukan semata-mata menonjolkan daripada segi luaran dan kekuatan fizikal, tetapi perlu mewarisi semangat perjuangan dan jati diri pesilat sejak turun temurun.


Menurutnya, beliau bangga dengan semangat ahli Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia (PSSPGM) yang disifatkan sangat penting untuk dihayati dan diamalkan setiap pesilat gayung di tanah air.

"Jika kita ingin mencapai perpaduan nasional, sendi utama ialah perpaduan orang Melayu, dan perpaduan melalui seni silat gayung adalah sebahagian daripada perpaduan bangsa Melayu yang mesti diperjuangkan.


"Kita perlu mewarisi semangat dan perjuangan jati pesilat di mana definisi perjuangan luas serta menuntut keluhuran akhlak berdasarkan ilmu dan kesungguhan.


"Apabila berpegang kuat kepada janji mempertahan dan mendaulatkan negara, kita mengutamakan watan dengan tidak membiarkan kemahuan diri mengatasi tuntutan dan matlamat bangsa dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Raksasa Perpaduan Gayung anjuran PSSPGM di Kompleks Sukan Kriss Modenas, semalam.


Pada majlis sama, Najib menerima anugerah Imam Khalifah Agong Gayung, manakala Datin Seri Rosmah Mansor menerima anugerah Sri Pelangi Srikandi Utama.

Hadir sama, Yang Dipertua PSSPGM, Datuk Abdul Majid Mat Isa.


Najib berkata, yang penting, setiap pesilat perlu berpegang kepada ilmu yang diwarisi daripada generasi terdahulu untuk dijadikan wadah perjuangan.


Menurutnya, perjuangan tiada titik noktah kerana belum sampai ke garisan penamat disebabkan kedaulatan bangsa Melayu dan negara tidak hanya berakhir apabila mencapai kemerdekaan yang diperjuangkan.


"Ia akan menjadi pegangan dan wadah perjuangan hingga memartabatkan bangsa Melayu dan negara di tempat yang semulia-mulianya.


"Selagi belum kesampaian, selama itu kita akan terus perjuangkan dan merapatkan barisan supaya cita-cita pengasas negara menjadi kenyataan," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan