Isnin, 27 Februari 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Anggota tentera maut, rakan koma dalam kemalangan

Posted: 27 Feb 2012 03:14 AM PST

Mutakhir

MELAKA: Seorang anggota tentera maut, manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kereta dipandu anggota polis di Jalan Klebang Besar di sini, awal pagi tadi.

Mohd Azhar As yang bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang di sini mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan manakala rakannya, Zulhilmi Faiz yang berkhidmat di sebuah kem tentera di Kuantan, Pahang cedera parah dan dilaporkan berada dalam keadaan koma.

Dalam kejadian jam 2.25 pagi itu, kedua-dua mereka yang berusia 26 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengunjungi Karnival Jom Heboh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh. Setiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggangi Mohd Azhar dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian hadapan kereta Proton Wira dipandu seorang anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala Zulhilmi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Anggota polis terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisoner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - BERNAMA

Jumlah kes denggi membimbangkan: Liow

Posted: 27 Feb 2012 02:56 AM PST

Mutakhir

BENTONG: Kes demam denggi yang dilaporkan di seluruh negara ketika ini dianggap membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, pada minggu lalu sahaja sebanyak 580 kes dilaporkan berbanding 400 kes pada minggu sebelumnya.

"Kes denggi dilaporkan berlaku di kawasan taman perumahan dan bandar-bandar. "Justeru itu kita berharap program komunikasi untuk perubahan tingkah laku dipertingkatkan di kawasan Rukun Tetangga dan taman perumahan di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas penyerahan bantuan kepada mangsa kebakaran Kampung Baru Cina Ketari di sini hari ini.

Dalam kejadian 3.55 petang Rabu lalu, 120 orang daripada 26 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Baru Cina Ketari dekat Bentong musnah terbakar.

Turut hadir, pada majlis penyerahan bantuan itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Liow yang juga Ahli Parlimen Bentong, berkata jumlah kes denggi tahun lalu berkurangan kepada 27,000 kes berbanding 46,000 kes pada 2010.
"Kita meminta orang ramai bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dan Majlis Perbandaran untuk menghapus nyamuk Aedes yang membawa denggi," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan