Sabtu, 25 Februari 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


MARDI hasrat lahir 800 petani

Posted:

MARDI hasrat lahir 800 petani

MARDI hasrat lahir 800 petani

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my


Mohmad Mustafa (dua dari kiri) memberi penerangan kepada peserta kursus penternakan kambing mengenai kemahiran meneliti usia kambing menerusi pengamatan gigi di Pasir Puteh, kelmarin.


PASIR PUTEH 24 Feb. - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berhasrat melahirkan 800 petani moden dalam usaha mengurangkan import daging kambing dan biri-biri dianggarkan berjumlah RM180 juta setahun.

Timbalan Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Dr. Mohmad Mustafa berkata, ketika ini permintaan daging kambing dalam negara sekitar 250,000 tan metrik setahun dan ia masih belum mampu dipenuhi oleh penternak tempatan.

"Industri ternakan kambing di jangka berkembang pesat di negara ini dengan pertumbuhan kira-kira 6 peratus setahun sehingga 2010. Minat pengusaha tempatan menternak kambing juga semakin berkembang berikutan dasar kerajaan menggalakkan ternakan kambing menerusi bantuan pendidikan, seminar, kursus dan baka berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan penternakan kambing beor modul kedua melibatkan 40 penternak di Stesen MARDI Jeram Pasu, di sini semalam. Hadir sama, Pengarah MARDI negeri, Aminah Abdullah.

Program sehari itu melibatkan pendidikan mengenai kawalan penyakit, pemilihan baka berkualiti, proses pembiakan baka dan latihan amali penggunaan pengimbas ultra bunyi bagi mengesan kambing bunting, kekerapan kambing mengawan dan banyak lagi.

Mohmad berkata, polisi pengeluaran kambing kebangsaan mensasarkan pengeluaran 4.96 juta ekor dengan 1.99 juta penternak menjelang 2015.

Sasaran itu katanya, boleh dicapai menerusi promosi, pendidikan, latihan serta mengubah cara penternakan dari konsep sara diri kepada projek ternakan komersial.

Menurutnya, tiga jenis kambing yang dikenal pasti berpotensi diternak di negara ini ialah dari jenis baka daging, tenusu dan bulu.

"Kambing boer semakin menjadi pilihan penternak kerana mutu dagingnya yang tinggi dan mudah diternak," katanya.

Beliau berkata, ciri-ciri kambing beor ialah mudah membiak sepanjang tahun, mempunyai lebih banyak daging, daging lebih bermutu, tinggi khasiat, rendah kalori dan kolesterol serta kaya protein.

110 nelayan Telaga Papan terima geran

Posted:

110 nelayan Telaga Papan terima geran

110 nelayan Telaga Papan terima geran


Mohd. Jidin Shafee menyampaikan sijil hak milik kediaman kepada Omar Ali (kanan) sambil diperhatikan Mohamad Nor Ibrahim di Kampung Telaga Papan, Setiu, kelmarin.


SETIU 24 Feb. - Seramai 110 keluarga nelayan dan petani dari Kampung Telaga Papan dekat sini masing-masing menerima geran lot kediaman Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Alor Keladi malam tadi.

Geran tanah RTB yang mempunyai keluasan kira-kira 1,000 meter persegi bagi setiap lot itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Setiu yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Mohd. Jidin Shafee.

Pegawai Daerah Setiu, Mohamad Nor Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, terdapat sebanyak 276 lagi lot kosong yang akan diambil peserta yang terdiri daripada kalangan penduduk kampung secara berperingkat-peringkat tidak lama lagi.

Menurutnya, 110 keluarga nelayan serta petani terbabit yang berjaya mendapat geran hakmilik mereka adalah peserta peringkat pertama yang mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri.

''Bagi lot kosong yang sedia ada ini kita akan mengeluarkan permohonan baru kepada penduduk kampung yang mempunyai kelayakan yang diisyaratkan oleh kerajaan negeri dalam masa terdekat ini.

''Dengan pengagihan lot kediaman kepada para peserta terbabit terutama daripada golongan berpendapatan rendah itu, ia membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah mereka yang tidak mempunyai tapak kediaman," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah RTB Alor Keladi, Mukim Chaluk, Setiu, di Balairaya Telaga Papan di sini malam tadi.

Hadir sama ialah Ketua Penolong Pentadbir Tanah Daerah Setiu, Rosdi Awang.

Mohd Jidin ketika berucap di majlis itu berkata, lot kediaman yang diberikan kepada para peserta itu tanpa dilakukan dengan sikap pilih kasih serta tidak mengira mereka daripada penyokong parti pembangkang.

Menurutnya, jika kerajaan negeri mengutamakan pemberian hakmilik geran tanah itu hanya kepada penyokong parti UMNO sudah tentu orang-orang Pas tidak dapat memiliki lot kediaman di RTB tersebut.

''Kita sedar daripada peserta yang berjaya menyertai RTB ini adalah sebahagian daripada penyokong kuat parti pembangkang tetapi kerajaan mengetepikan soal-soal parti politik dengan mengutamakan kepentingan sosial serta ekonomi penduduk kampung itu," katanya.

Periksa mata, dapat cermin mata percuma

Posted:

Periksa mata, dapat cermin mata percuma

Periksa mata, dapat cermin mata percuma


Nasoha Saaban (kiri) memeriksa mata salah seorang pengunjung Program Kesihatan Mata di SMK Chendering, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 24 Feb. - Kira-kira 200 penduduk setempat tidak melepaskan peluang menjalani pemeriksaan mata percuma menerusi Program Kesihatan Mata anjuran Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech (IUCTT) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chendering di sini.

Lebih menarik, program yang turut mendapat kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan klinik optik mata, Optometris Senadi Sdn. Bhd. itu juga menawarkan cermin mata secara percuma kepada setiap penduduk yang memeriksa mata mereka di situ.

Dekan Fakulti Optometris IUCTT, Prof. Dr. Nasoha Saaban berkata, program yang pertama kali diadakan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kolej berkenaan kepada masyarakat.

"Menerusi program seperti ini juga, kita berharap masyarakat akan lebih peka terhadap penjagaan kesihatan mereka terutamanya mata," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa.

Selain SMK Chendering, program selama dua hari itu juga akan diadakan di SMK Seri Nilam, Wakaf Mempelam dekat sini mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Mereka yang telah menjalani pemeriksaan mata akan diberikan kupon untuk ditebus di mana-mana cawangan klinik optik mata, Optometris Senadi di seluruh Terengganu.

Penduduk yang telah mendaftar tetapi tidak berpeluang untuk menjalani pemeriksaan mata disebabkan kesuntukan masa juga dibenarkan memeriksa mata mereka di klinik berkenaan selepas ini.

Dalam pada itu, Nasoha memberitahu, program tersebut dijayakan oleh sembilan penuntut Tahun Akhir dari Fakulti Optometris dengan dipantau oleh sembilan orang pensyarah.

"Hasil kerja mereka juga akan dinilai menerusi program ini sebelum ditempatkan di Hospital Mata Sankara Nethlaya di Chennai, India untuk tempoh empat bulan lagi sebelum menamatkan pengajian masing-masing," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan