Isnin, 27 Februari 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Doktor muda kurang di luar bandar

Posted:

Doktor muda kurang di luar bandar

Doktor muda kurang di luar bandar

YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 26 Feb. - Usaha Kementerian Kesihatan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan menyeluruh kepada masyarakat bakal terjejas apabila tidak ramai doktor muda sedia dihantar berkhidmat di kawasan luar bandar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, mereka sebaliknya lebih berminat berkhidmat di kawasan Lembah Klang atau bandar-bandar besar.

"Para doktor mesti bersedia untuk berkhidmat di kawasan di mana mereka lebih diperlukan. Karier dalam bidang perubatan hanya akan terlaksana sekiranya niat kita adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

Beliau berucap merasmikan Seminar Schomos: Hak dan Tanggungjawab Doktor Kerajaan anjuran bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Kementerian Kesihatan di Kolej Kejururawatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Nordiyanah Hassan. Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dr. Che Wil Awang; Pengerusi Schomos MMA, Dr. Rosalind Simon dan Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Ghazali Hasni Md. Hasan.

Dr. Hasan berkata, kerajaan telah menyasarkan menjelang 2020, negara mencapai status negara berpendapatan tinggi dengan nisbah doktor dan penduduk pada kadar 1:400.

Jelasnya, pada 2010, terdapat 32,979 doktor di negara ini dengan nisbah 1:859 berbanding 1:1,490 pada tahun 2000, di mana kira-kira 68 peratus daripada mereka merupakan doktor dalam sektor awam.

"Sesetengah negeri mencapai nisbah lebih baik iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 1:357, Pulau Pinang (1:692), Melaka (1:722) dan Negeri Sembilan (1:727)," katanya.

Bagaimanapun kata Dr. Hasan, meskipun berlaku peningkatan bilangan doktor, namun masih terdapat pengagihan tidak saksama antara kawasan bandar dan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak.

Beliau memberitahu, ketika ini terdapat 32 sekolah perubatan termasuk 21 kolej perubatan swasta dengan menawarkan 366 ijazah kedoktoran yang diiktiraf oleh MMA.

Kes denggi di Kelantan tahun lalu turun 79 peratus

Posted:

Kes denggi di Kelantan tahun lalu turun 79 peratus

Kes denggi di Kelantan tahun lalu turun 79 peratus


DR. WAN Mansor Hamzah (kiri) bersama orang ramai membersihkan longkang pada program 'Gotong Royong Jom! Ganyang Aedes' peringkat Taman Seri, Pengkalan Chepa anjuran Pejabat Kesihatan Kota Bharu di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 26 Feb. - Kes denggi di negeri ini tahun lalu mencatat penurunan besar iaitu sebanyak 79 peratus, daripada 3,578 kes pada 2010 kepada hanya 743 kes.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Nordiyanah Hassan berkata, daripada jumlah itu 38 kes adalah kes demam denggi berdarah dengan hanya satu kematian dicatatkan pada tahun lalu.

Jelasnya lagi, daerah Kota Bharu mencatatkan kes terbanyak dengan 340 kes iaitu hampir 50 peratus daripada keseluruhan bilangan kes.

"Sebanyak 17 episod wabak juga telah dilaporkan berlaku di 17 lokaliti namun semuanya adalah wabak terkawal.

"Kejayaan ini adalah hasil usaha keras yang kita jalankan di mana pada tahun lalu lebih sejuta premis telah dibuat semburan kabus bagi membunuh nyamuk aedes dewasa, manakala sebanyak 573,720 premis telah diperiksa bagi pembiakan dengan 4,511 atau 0.8 peratus daripadanya didapati positif aedes.

"Sebanyak 852 sesi gotong-royong juga telah dianjurkan di seluruh negeri melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam," katanya dalam satu kenyataan di sini sempena program 'Gotong Royong Jom! Ganyang Aedes' peringkat Taman Seri Pengkalan Chepa anjuran Pejabat Kesihatan daerah, semalam.

Kenyataan beliau itu dibacakan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri, Dr. Wan Mansor Hamzah.

Dr. Nordiyanah berkata, pihak jabatan juga telah mengadakan pameran, ceramah dan pengedaran poster serta risalah selain membuat pengumuman di radio tempatan, pasar raya dan masjid bagi mendidik masyarakat.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 240 kompaun telah dikeluarkan dengan kutipan bayaran sebanyak RM105,150.

Katanya, sebanyak tujuh kes telah dibawa ke mahkamah di mana pihak terbabit enggan membayar kompaun yang dikenakan.

Jelasnya, pihak jabatan kesihatan akan terus mengadakan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun dan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa sahaja yang didapati dengan sengaja membiarkan premis dan kediaman mereka menjadi tempat pembiakan aedes.

Koperasi Muamalat kendalikan hotel bajet

Posted:

Koperasi Muamalat kendalikan hotel bajet

Koperasi Muamalat kendalikan hotel bajet

KUALA TERENGGANU 26 Feb. - Koperasi Muamalat Bersatu Terengganu Berhad (KMBTB) yang baru berusia dua tahun makin mengukuhkan kedudukannya termasuk dengan pengendalian hotel bajet.

Hotel yang dilengkapi 30 buah bilik akan ditempatkan di aras tiga dan empat di bangunan empat tingkat di pusat niaga Paya Keladi, di bandar raya ini melibatkan pelaburan sebanyak RM1.2 juta.

Pengerusi KMBTB, Wan Zakaria Wan Osman berkata, pihaknya juga akan membuka Pusat Kecantikan & Spa Muslimah di tingkat dua premis berkenaan manakala di aras bawah menempatkan kedai pakaian Hijjaz D'warna.

''Kita yakin dapat mengembangkan lagi perniagaan termasuk mewujudkan hotel bajet seumpama itu di tengah-tengah pusat bandar ini," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita sempena program lawatan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu dan Sarawak ke pejabat KMBTB di Halal Park Centre di Kawasan Perindustrian Chendering, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Azmi Razik.

Wan Zakaria berkata, selain produk sedia ada, KMBTB juga berjaya mengembangkan lagi operasi perniagaannya dengan mengeluarkan produk baru iaitu Hijjaz Kopi Barli yang mula diedarkan ke pasaran.

Kilang yang baru dua minggu beroperasi itu mampu mengeluarkan sekurang-kurangnya 1,000 kotak kopi sehari dan telah diedarkan ke dalam pasaran tempatan.

Jelas beliau, pihaknya turut merancang memperluaskan pengedaran produk itu ke pasaran luar negara khususnya Indonesia.

"Buat masa ini, kita baru 'merangkak' memulakan perniagaan ini (kopi) di kilang yang terdapat di bangunan pejabat KMBTB di sini dan pengeluaran akan ditingkatkan setelah mesin tambahan di sediakan kelak,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau mempelawa sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi pengedar produk kopi tersebut dengan pelbagai tawaran istimewa termasuk dividen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan