Jumaat, 24 Februari 2012

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Terkilan penyenaraian FGVH tanpa KPF

Posted:

Terkilan penyenaraian FGVH tanpa KPF

Terkilan penyenaraian FGVH tanpa KPF

Oleh KHAIRIL ANUAR AZIZ
DATUK KHAIRIL ANUAR AZIZ ialah generasi kedua Felda serta Ahli Panel Gabungan Pemikir Profesional Felda (Gaprof)


Felda telah banyak membantu peneroka keluar dari belenggu kemiskinan. Penyenaraian Felda mampu meningkatkan lagi taraf hidup peneroka. - Gambar hiasan


Pembatalan Mesyuarat Agung Khas (EGM) Koperasi Permodalan Felda (KPF) pada saat-saat akhir awal minggu ini bukan hanya mengecewakan para perwakilan yang telah berada di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur tetapi juga generasi baru Felda.

Ini berikutan injunksi yang diterima oleh Mahkamah Kuantan berikutan permohonan daripada lapan peneroka. Apakah kelebihan lapan peneroka ini hinggakan hak mereka diambil kira? Bagaimana dengan hak 112,627 peneroka yang lain dan juga lebih 23,000 pekerja Felda?

Tujuan EGM tersebut adalah untuk memberikan penerangan kepada perwakilan mengenai usul-usul yang akan dibentang, termasuklah KPF memindah milik pegangannya dalam Felda Holdings Berhad (FHB) serta 10 anak syarikatnya kepada Felda.

Sepatutnya benarkanlah perwakilan datang untuk mendengar penerangan, membuat pertimbangan dan selepas itu memutuskan sama ada mengundi untuk menerima ataupun menolak. Undi majoriti perlu dihormati, tetapi peluang ini telah ditepis sebelum sempat perwakilan bersidang.

Apabila Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan untuk menentukan parti mana dipilih menjadi kerajaan yang memerintah, undi para penerokalah yang dicari. Tapi hendak menentukan hala tuju "perniagaan" peneroka serta kesinambungan Felda bagi pekerja dan peneroka, hak mengundi mereka ditarik melalui kuasa mahkamah?

Tindakan ini seolah-olah para perwakilan tidak boleh berfikir sendiri sebab itu diletakkan injuksi. Ini bukanlah kali pertama perwakilan mengundi, KPF pun telah lama wujud. Kenapa langsung tidak diberikan kebebasan untuk mengundi kali ini?

Saya rasa amat terkilan dengan sikap dan pendirian sempit yang menidakkan rezeki peneroka. Biarlah keputusan mengikut pilihan majoriti bukannya minoriti.

Sebagai seorang yang telah lama berkecimpung dalam dunia korporat, proses tawaran pengapungan awal ataupun IPO serta penstrukturan semula dan transformasi adalah asam garam dunia perniagaan, dan perlu jika mahu kekal relevan dalam perniagaan sama ada di dalam negara ataupun peringkat global.

Kalau syarikat lain yang mahu melakukan tawaran pengapungan awal, perkara sebegini tidak mungkin berlaku. Prosesnya akan mengikut perjalanan perniagaan yang biasa.

Tetapi, oleh kerana ini adalah anak syarikat Felda, urusan perniagaan ini telah dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu. Malangnya bila dua gajah bertempur, kancil yang tersepit di tengah-tengah. Dalam peristiwa ini penerokalah yang tersepit.

Apa pun, penyenaraian ini tetap diteruskan kerana dari segi perniagaan - ketelusan dan potensinya telah dihalusi, teliti dan diyakini akan membawa rezeki jangka panjang yang berterusan untuk warga Felda dan juga negara.

Lembaga KPF dalam notis EGM-nya telah mengatakan yang pihak lembaga mencadang perwakilan menerima pindah milik KPF dalam FHB dan 10 anak syarikatnya kepada Felda untuk tujuan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH).

Seperti kebiasaannya, usul-usul yang bakal dibentangkan kepada perwakilan telah diperhalusi oleh para profesional yang telah dilantik oleh Lembaga KPF.

Kalau usul-usul yang sebelum ini diperhalusi dan kemudiannya di ketengahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan telah berjaya memberikan pulangan 15 peratus dividen tahunan kepada KPF, kenapa kali ini hak perwakilan membuat keputusan diketepikan?

Selama ini kepercayaan telah diletakkan di bahu Lembaga Pengarah KPF untuk menjaga kepentingan pelaburan baik kepada peneroka dan juga pekerja Felda.

Ini bukanlah kali pertama pihak tertentu mengatakan akan meletakkan injunksi. Injuksi pertama terhadap EGM KPF telah terbatal apabila tarikh EGM ditunda. Dan pihak-pihak tertentu telah mengulangkan hasrat untuk meletakkan injunksi sekiranya EGM ini dibuat.

Persoalan sekarang, apakah usaha Lembaga KPF untuk menjaga kepentingan majoriti yang tiada ruang untuk bersuara ini? Apakah tiada jalan lain untuk mengetepikan injuksi ini? Adakah pihak Lembaga sudah sampai ke jalan buntu?

Untuk KPF bersama penyenaraian FGVH, akan perlu usul yang sama di ketengahkan kepada perwakilan? Kalau bukan 22 Februari lalu, maka akan ada tarikh lain pada masa depan. Memandangkan keputusan lembaga untuk menerima telah termaktub dalam notis, apakah Lembaga KPF hanya akan menunggu keputusan mahkamah? Di manakah hak-hak ahli-ahli KPF yang lain?

Adakah mahkamah sahaja jalan keluar bagi kemelut ini? Adakah undang-undang negara ini dan undang-undang koperasi begitu sempit?

KPF yang menjadi 'milik peneroka dan pekerja Felda' telah terlepas peluang keemasan untuk menjadi pemain utama dalam penyenaraian FGVH seperti yang dirancangkan dahulu.

Tetapi ini bukanlah noktah terakhir, yang pasti usaha penyenaraian tidak akan berhenti di sini.

Walaupun penyertaan KPF telah dinafikan, Felda masih lagi memihak untuk memanfaatkan peneroka melalui penyenaraian FGVH.

Sebuah syarikat khas (SPV) akan ditubuhkan agar kepentingan peneroka dalam struktur baru FGVH selepas penyenaraian tetap terjamin.

Ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Dalam mana-mana perniagaan pun, tidaklah efektif untuk menyediakan satu model sahaja dalam menentukan perkembangan ataupun hala tuju sesuatu perniagaan.

FGVH pun begitu juga, sasaran perniagaan perlu dicapai. Jalan-jalan alternatif sudah disiap sediakan. Inilah kebaikan serta kepakaran yang kita gunakan untuk perhalusi segala gerak langkah yang tertib, berimpak besar dan mempunyai pulangan jangka panjang yang tinggi dan lestari serta berkembang pesat.

Pelan alternatif Felda ini masih mengambil kira kepentingan peneroka dan penyenaraian tetap akan diteruskan. Tetapi yang mengecewakan, tanpa penglibatan KPF dalam penyenaraian FGVH telah menyebabkan KPF kehilangan potensi pendapatan yang dianggarkan di antara RM3 bilion hingga RM4 bilion.

Bila diumumkan yang SPV bakal menjaga kepentingan peneroka dalam penyenaraian FGVH, ada pula pihak lain yang mengatakan tanpa KPF keuntungan serta dividen akan berkurangan dan tindakan untuk ketepikan KPF mengorbankan kepentingan peneroka. Yang dikesali adalah campur tangan pihak luar yang sepatutnya tidak berlaku.

Secara lojiknya, jika mereka mengetahui peneroka bakal mengalami kerugian dalam penyenaraian, mengapa mereka hendak peduli?

Bukankah kemarahan peneroka akibat kerugian daripada penyenaraian ini mampu menjadi modal untuk pihak tertentu menempah tiket ke Putrajaya?

Syarikat lain yang mahu ke pasaran saham mungkin tidak mengalami kepayahan seperti apa yang sedang berlaku kepada FGVH, dan mungkin ia telah pun tersenarai di papan Bursa Malaysia.

Bermuafakat mentransformasi ummah

Posted:

Bermuafakat mentransformasi ummah

Bermuafakat mentransformasi ummah

Oleh SABRI MOHAMAD SHARIF
PENULIS ialah Pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan juga Exco Kelab Sahabat Bina Negara (KSBN)

SETIAP orang mempunyai sebuah impian, harapan dan gagasan. Bagi golongan pemimpin, sudah pasti mereka inginkan rakyatnya hidup senang dan bahagia, menjulang kejayaan, memartabatkan maruah agama dan mengangkat ketamadunan bangsa. Bagi para usahawan, mereka mengharapkan keuntungan yang berlipat kali ganda hasil dari perniagaannya. Bagi rakyat keseluruhannya, sudah tentu mereka inginkan kebahagiaan dan kemakmuran dalam negara yang mereka diami.

Kesemua harapan tersebut, dengan izin Allah SWT, mampu terlaksana, jika kita berupaya bersatu dan berpadu. Antara aspek penting dalam penyatuan adalah bermuafakat. Muafakat menjadikan umat hebat. Muafakat jugalah mengelakkan umat daripada jatuh tergeliat. Bermuafakatlah, demi kebaikan umat dan kemakmuran sejagat.

Ulama merupakan pewaris Nabi SAW. Cendekiawan Islam adalah harapan umat. Penulis maya menjadi pemangkin dalam masyarakat kontemporari. Ketiga-ketiga mereka memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan dan kemakmuran negara.

Alangkah indahnya dunia ini, jika mereka berganding bahu. Alangkah bahagianya negara ini jika mereka mampu berpadu dan bersatu. Alangkah hebatnya masyarakat Islam di negara ini, jika mereka bermuafakat.

Bermuafakat bukan sekadar membawa berkat, malah lebih utama daripada itu, kita ingin lihat mereka bermuafakat demi untuk mentransformasikan ummah. Mampu dan berupayakah mereka?

Permuafakatan mereka sangat penting, apatah lagi negara ini dianggap sebagai sebuah negara Islam contoh dan progresif di kalangan negara Islam di seluruh dunia. Harapan umat Islam sangat besar dan tinggi kepada negara ini. Ini dibuktikan melalui pengiktirafan daripada pelbagai pemimpin dan ulama dari serata dunia Islam.

Antaranya, melalui kenyataan daripada Prof. Dr. Sheikh Yusof Al-Qaradhawi, tokoh ulama ulung yang juga presiden ulama sedunia, dalam pertemuannya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, turut meletakkan harapan dengan menyatakan kepada Perdana Menteri dan juga para ulama untuk bersatu, mempertahan dan memeliharakan imej Islam di Malaysia yang didominasi mazhab Shafi'e, untuk menangani setiap fahaman dan ideologi asing yang cuba mengalihkan fokus umat Islam dan merosakkan pegangan akidah warga Islam di Malaysia.

Begitu jugalah yang dilakukan oleh Imam Besar Masjidil Haram, Dr. Abdul Rahman As-Sudais, yang turut memuji usaha Kerajaan Malaysia memartabatkan agama Islam dan sentiasa berlaku adil kepada penganut agama lain di negara ini. Perkara ini turut dikongsi oleh Sheikh Al-Azhar, Dr. Mohamad Sayed Tantawi, ulama terkenal dari Mesir pernah mengatakan bahawa Malaysia merupakan negara contoh kepada negara Islam lain, kerana Malaysia mengamalkan ajaran sebenar Islam.

Ini terjadi hasil daripada corak dan pendekatan sederhana yang menjadi amalan sebahagian besar umat Islam di Malaysia khususnya dan Asia Tenggara secara amnya. Pendekatan sederhana ini atau dikenali juga sebagai 'wasatiyah' yang mengetengahkan aspek kesederhanaan, pertengahan dan seimbang. Wasatiyah secara pengertiannya bermaksud sederhana, pertengahan dan berimbang (al-tawazun).

Ulama, cendekiawan Islam dan penulis maya harus bergandung bahu, seiya dan sekata, senada dan seirama, melalui permuafakatan yang tulen dalam mendepani cabaran-cabaran baru dunia kontemporari. Antara cabaran besar yang yang sedang dan akan ditempuh ialah cabaran langit terbuka, ledakan informasi dan teknologi maklumat (ICT), pasaran bebas, krisis ekonomi global, kebebasan mutlak dan hak asasi menurut camca dan kaca mata Barat dan sebagainya.

Ini tidak termasuk isu-isu semasa yang menjurus kepada umat Islam secara langsung, seperti isu akidah iaitu murtad, kalimah Allah dan fahaman pluralisme agama. Umat Islam juga berdepan dengan isu penghinaan yang berterusan kepada junjungan besar baginda Rasulullah SAW. Termasuk juga isu yang menjadi nadi dan sensitiviti umat Islam iaitu isu rakyat Palestin dan pengiktirafan negara Israel.

Ini tidak termasuk masalah yang menimpa di beberapa negara Islam, yang sedang bergentanyangan dengan masalah dalaman negara mereka yang masih belum menampakkan kesudahannya. Semuanya ini barangkali mampu diselesaikan dengan penyatuan. Umat Islam masih berpecah-belah dan kurang bersatu antara satu dengan yang lain, terutama dalam isu yang melibatkan kepentingan bersama seperti maruah dan sensitiviti agamanya.

Umat Islam adakalanya lebih suka melihat dan menekankan aspek kepentingan, adakalanya pemikiran sempit mengikut pemahaman kabilah masing-masing, kelompok tertentu yang dipisahkan oleh pelbagai ragam pemikiran dan politik yang berbeza dan tidak suka melihat sesuatu itu dari perspektif 'ummatik' secara keseluruhannya. Akhirnya, umat Islam menjadi lemah, mudah diperkotak-katikkan, rapuhnya perpaduan dan longgarnya persaudaraan.

Ketiga-tiga golongan di atas perlu bersedia untuk menguasai dunia maya atau dikenali juga sebagai dunia siber. Jangan biarkan dunia maya ini dijadikan medan oleh musuh Islam untuk merosak dan menghancurkan negara, sama ada dari dalam mahupun luar. Tidak pula kita biarkan umat Islam menjadikan dunia siber untuk bertelagah sesama sendiri atau menegakkan benang basah masing-masing, di antara satu dengan yang lain.

Umat Islam sepatutnya membina penyatuan pemikiran dalam dunia siber ini. Mereka seharusnya menjadikan dunia maya ini sebagai medan dakwah dan menyebarkan pemahaman dan pemikiran Islam yang benar. Ini kerana dalam dunia maya masa kini banyak menggunakan pemikiran. Sebab itu, Profesor Sheikh Dr. Yusof Al-Qardhawi pernah menyatakan peperangan baru di abad ini dikenali sebagai 'peperangan pemikiran' (ghazwatul fikr). Ia juga turut diakui oleh Winston Churchill, bekas Perdana Menteri Britain, bahawa "empayar masa depan adalah empayar minda/pemikiran. Sesiapa yang menguasainya, maka dia akan menguasai dunia".

Lantaran itu, umat Islam perlu melahirkan suatu generasi yang disebut dalam al-Quran sebagai generasi Ulul Albab. Generasi Ulul Albab ialah generasi yang mempunyai kekuatan daya fikir, zikir dan amal soleh. Golongan Ulul Albab ditafsirkan oleh Imam Ibn Kathir dalam dalam tafsirnya al-Quran al-Azim sebagai "golongan yang mempunyai pemikiran yang bersih lagi sempurna, sehingga mampu memahami hakikat sesuatu perkara secara yang betul".

Justeru, golongan ulama, cendekiawan Islam dan penulis maya bukan sahaja perlu mahir dalam penggunaan internet, malah menguasai bidang tersebut yang sedang menjadi kegilaan masyarakat dunia, terutama golongan muda di Malaysia seperti penggunaan blog, laman sesawang (website), facebook, twitter dan sebagainya.

Mereka boleh menjadikan dunia maya atau dunia siber ini sebagai medan dakwah yang berkesan untuk menyampaikan ilmu dan pendidikan Islam, maklumat yang benar dan tepat serta menangkis segala yang bersifat ancaman, fitnah dan kemudaratan yang boleh mengancam akidah, ukhuwah dan perpaduan umat Islam di negara ini.

Sesungguhnya, umat Islam perlu melakukan transformasi. Transformasi ke arah perpaduan, transformasi kepada permuafakatan dan transformasi kepada kesepaduan dan kesatuan yang jitu demi kebaikan ummah. Lakukan sebelum kita terlambat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan