Jumaat, 24 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Lebih baik dari tiada’

Posted: 23 Feb 2012 01:32 PM PST

KUALA LUMPUR: "Bagi sesetengah orang ia mungkin tidak sebanyak mana, tetapi lebih baik ada daripada tiada langsung dan saya amat bersyukur," kata Bain Johari, 64, antara pesara kerajaan di bandar raya ini yang terkejut dan gembira apabila mendapat imbuhan RM100 seorang daripada kerajaan, semalam.

Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Bandar Tun Razak itu antara 6,000 pesara kerajaan bermastautin di Kuala Lumpur yang hadir dalam sesi ramah mesra pesara kerajaan Wilayah Persekutuan bersama Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dekat sini, semalam.


Hadir sama, Timbalannya, Datuk M Saravanan dan wakil pesara Wilayah Persekutuan, Datuk Ruslin Hasan. Raja Nong Chik dalam ucapannya di majlis itu mengumumkan semua pesara yang hadir layak menerima imbuhan itu bagi menghargai sumbangan mereka ketika berkhidmat dalam kerajaan dulu. Bagaimanapun, katanya imbuhan itu hanya diberikan kepada pesara yang hadir pada majlis itu dan mereka yang sudah mendaftar nama serta nombor MyKad semalam boleh mendapatkan wang berkenaan di pejabat cawangan DBKL terdekat dalam masa sebulan dari sekarang.

"Mereka yang hadir hari ini (semalam) layak mendapat imbuhan itu dengan syarat mereka mesti mendaftar. Saya dapat tahu ada yang sudah datang, tetapi pulang awal. Mereka boleh hubungi kami kembali," katanya dalam sidang media, semalam.


Raja Nong Chik berkata, kerajaan tidak melupakan pesara serta pelbagai program diteruskan dan Wilayah Persekutuan dipilih sebagai lokasi pertama. "Saya tak sangka sambutan hari ini (semalam) meriah. Saya kagum dengan sesetengah daripada mereka kerana walaupun yang sudah berusia 70 tahun ke atas, tetapi semangat mereka kuat untuk sertai program ini.


"Kita kena jaga golongan ini. Sebelum ini banyak program kerajaan hanya membabitkan golongan muda. Selepas ini kita fokus kepada pesara yang sudah banyak berkhidmat untuk negara ini," katanya.

Beliau berkata, terdapat 44,200 pesara kerajaan yang bermastautin di Kuala Lumpur dan separuh daripadanya pesara dari kumpulan gred sokongan.


"Kita hanya fokus kepada pesara dari kumpulan gred sokongan kerana kebanyakan daripada mereka memerlukan bantuan dan ada yang hidup serba kekurangan," katanya.



‘Kami belum sedia jaga dia’

Posted: 23 Feb 2012 01:00 PM PST

JOHOR BAHRU: "Ketika ini, kami semua belum bersedia menjaga ayah memandangkan masing-masing sibuk dengan rutin harian.

"Insya-Allah, saya akan memujuk ahli keluarga untuk mengambil ayah pada masa depan memandangkan keadaannya yang semakin lemah," kata seorang daripada anak Wak yang hanya mahu dikenali sebagai Din, ketika ditemui.


Din, 51, berkata, dia bukan sengaja tidak mahu menjaga ayahnya, tetapi dia mempunyai masalah kewangan dan tidak berkemampuan. "Saya sedar tanggungjawab seorang anak, sebelum ini saya juga pernah menjaga makan dan minum ayah, namun demi keluarga, saya terpaksa melepaskan tanggungjawab itu buat sementara waktu," katanya.

Anak kedua warga emas itu berkata, ketika dia memberi perlindungan kepada ayahnya sebelum ini, masalah timbul apabila isteri dan anaknya tidak selesa dengan kehadiran ayahnya yang mengalami masalah nyanyuk.


"Apabila isteri menegur ayah beberapa kali, dia merajuk dan mengambil keputusan keluar dari rumah. Selepas itu, saya menerima maklumat ayah tinggal di sebuah pondok usang.


"Bagaimanapun, hasrat saya mengunjunginya kurang disenangi ahli keluarga. Saya serba salah, tetapi terpaksa akur demi menjaga perasaan ahli keluarga," katanya.

Din yang juga peniaga berkata, mereka sekeluarga membuat pembahagian harta selepas abang sulung berusia 56 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung akhir tahun lalu.


"Kerana itu kami membawa ayah pulang (Januari lalu) untuk menyelesaikan pembahagian harta pusaka selain beberapa kekeliruan lain," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan