Selasa, 28 Februari 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Lima tonggak kecemerlangan

Posted:

Lima tonggak kecemerlangan

Lima tonggak kecemerlangan

oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my


SULTAN Muhammad V bersalaman dengan orang ramai pada majlis Wacana Keputeraan di Balai Islam, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/Rosni Masri


KOTA BHARU 27 Feb. - Semua agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri diminta mengguna pakai lima tonggak atau teras Pelan Strategik Pembangunan Modal Insan dan menjadikannya panduan dalam setiap gerak kerja yang dilakukan.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah, tonggak tersebut adalah faqihin, aminan, rahiman, ilman dan salaman.

"Harapan beta agar konsep faqihin, aminan, rahiman, ilman dan salaman ini dapat dijadikan panduan dalam bentuk gerak kerja untuk dilaksanakan dalam masyarakat di semua tempat termasuk di luar Kelantan dan luar negara.

"Mudah-mudahan dengan mengamalkan lima tonggak ini, kerja-kerja kita akan menjadi lebih baik dan berkesan serta akan dinilai sebagai ibadat di sisi Allah SWT," titah Sultan Muhammad V semasa merasmikan Wacana Keputeraan baginda di Balai Islam Lundang di sini, hari ini.

Wacana dua hari bertema Model Masyarakat Bertakwa itu dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dan turut disertai peserta dari Indonesia, Brunei dan Thailand.

Turut berangkat ke program tersebut ialah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra yang turut berkenan menyampaikan titah diraja.

Hadir sama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pengarah JHEAIK, Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh.

Dalam titah ucapan tersebut, Sultan Muhammad V turut menyatakan, selaku ketua agama Islam di negeri ini, baginda begitu komited untuk mengangkat martabat umat Islam dan melihat agama Islam diamalkan sepenuhnya oleh masyarakat khususnya rakyat Kelantan.

Sehubungan itu, baginda melahirkan rasa gembira kerana wacana tersebut diadakan bagi mencari satu formula terbaik agar dapat membangunkan masyarakat Islam dengan budaya Islam yang unggul menggunakan lima tonggak berkenaan.

Islam agama penyelamat ummah

Posted:

Islam agama penyelamat ummah

Islam agama penyelamat ummah

KOTA BHARU 27 Feb. - Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra bertitah, agama Islam adalah penyelamat ummah dengan syarat setiap umat Islam mesti memahami ajaran agama suci itu dan menghayatinya secara menyeluruh.

Baginda bertitah, umat Islam juga mestilah ikhlas menghayati dan mengamalkan ajaran agama suci berkenaan iaitu semata-mata kerana Allah, bukan kerana kepentingan dunia atau tujuan lain.

"Umat Islam juga perlu memahami segala hak Allah yang wajib mereka laksanakan sepanjang hayat.

"Kita sebagai hamba-Nya wajib mengetahui hak-hak Allah yang menjadi satu kewajipan untuk ditunaikan mengikut cara-cara yang dijelaskan, termasuk berpandukan kepada apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat-sahabat baginda dan para ulama.

"Dengan berbuat demikian, insya-Allah hak-hak Allah akan dapat diperkasakan dan agama Islam akan dapat ditegak serta diletakkan di tempat yang sesuai," titah baginda.

Baginda bertitah semasa menyampaikan Titah Diraja bertajuk Islam Penyelamat Ummah: Pemeriksaan Hak-hak Mutlak Allah Dalam Kehidupan Manusia sempena Wacana Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Balai Islam Lundang di sini, hari ini.

Sultan Muhammad V berkenan merasmikan wacana dua hari anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) itu dengan tema Model Masyarakat Bertakwa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Tengku Muhammad Fa-iz bertitah, antara hak Allah ialah Allah sebagai pencipta dan pentadbir seluruh alam dan manusia sebagai hamba tidak boleh syirik kepada Allah.

Titah baginda, sekiranya perkara yang dinyatakan di atas dapat dilaksanakan oleh umat Islam, sudah tentu mereka akan mendapat keredaan Allah dan Rasulullah.

"Banyak hak Allah tidak diambil berat oleh manusia yang menjadi hamba-Nya sehingga ramai tidak melaksanakan hak-hak tersebut. Pada hal, hak-hak Allah adalah paling utama dan paling penting melebihi hak lain.

"Dengan itu, ayuh kita bersedia mengatur langkah bagi menunaikan hak-hak Allah dan memperkasakannya sebagai agenda perjuangan melahirkan masyarakat bertakwa," titah baginda lagi

PPNT sasar bekal 10,000 kambing menjelang 2015

Posted:

PPNT sasar bekal 10,000 kambing menjelang 2015

PPNT sasar bekal 10,000 kambing menjelang 2015

KUALA TERENGGANU 27 Feb. _ Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) dijangka dapat membekal 10,000 ekor kambing bagi menampung keperluan daging haiwan itu menjelang 2015.

Pengarahnya, Samsudin Mat Rani berkata, bagi mencapai sasaran itu, pihaknya akan berusaha menarik penglibatan 250 penternak untuk menjalankan projek secara komersial.

Menurut beliau, kini terdapat 144 penternak kecil atau tradisional dengan jumlah ternakan kira-kira 3,500 ekor kambing di seluruh negeri di bawah bimbingan PPNT.

Katanya, bagi membantu penternak kecil mengembangkan usaha mereka dan menambah bilangan penternak, PPNT mempunyai Tabung Pembangunan Usahawan Peladang untuk membantu.

"Tahun ini RM400,000 diluluskan untuk tujuan itu,'' katanya selepas merasmikan Latihan Hand-On Penternakan Kambing Beor (Modul 1) di PPNT, di sini hari ini.

Seramai 40 peserta kursus sehari anjuran PPNT dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Katanya, melalui tabung tersebut penternak boleh memohon sehingga RM50,000 bagi memperluaskan ternakan mereka dengan kadar bayaran balik yang rendah.

"Adalah menjadi hasrat PPNT untuk melihat penternak yang sedia ada dapat memperbesarkan saiz ternakan bagi membantu menampung pengeluaran daging negeri yang sentiasa meningkat,'' katanya.

Samsudin berkata, PPNT sentiasa bekerjasama dengan MARDI untuk memberi khidmat nasihat dan menggalakkan mereka mengguna pakai teknologi atau kaedah yang disyorkan.

Menurut beliau, antaranya termasuklah mengamalkan amalan pertanian yang baik, terutama daripada segi pengurusan makanan dan pengawalan penyakit secara teratur bagi memastikan pengeluaran daging ditingkatkan serta bermutu tinggi.

Beliau berkata, di peringkat awal penternak terbabit dibantu dengan diberikan baka sebanyak 20 ekor, manakala kandang disediakan oleh penternak sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan