Selasa, 28 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Operasi tunda berterusan

Posted: 27 Feb 2012 11:53 AM PST

KUALA LUMPUR: Sikap pemandu lori dan kereta yang meletakkan kenderaan di kawasan yang menghalang lalu lintas menyebabkan mereka dikompaun Bahagian Trafik Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Ops Tunda di sini, semalam.

Inspektor Bahagian Trafik DBKL, D Gunasegaran berkata, lima kereta ditunda dalam operasi hampir dua jam bermula jam 11 pagi sekitar Brickfields iaitu di Jalan Tun Sambanthan, Jalan Travers dan Jalan Sultan Abdul Samad, manakala 60 saman dikeluarkan bagi pemandu yang melanggar peraturan.


"Walaupun banyak perubahan dilakukan di kawasan ini bagi menambah baik keadaan lalu lintas, namun disebabkan segelintir pemandu yang mementingkan diri dengan meletakkan kenderaan sesuka hati menyebabkan keadaan lalu lintas di sini sering terjejas.

"Operasi Tunda di kawasan Brickfields bukan pertama kali diadakan DBKL sebaliknya ia diadakan setiap dua minggu sekali dan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran lalu lintas," katanya selepas Ops Tunda di sekitar Brickfields di sini, semalam.


Dalam operasi berkenaan, seramai 16 pegawai penguat kuasa dan kakitangan DBKL terbabit manakala satu trak penunda digunakan bagi menunda kenderaan yang menghalang lalu lintas.


Menurut Gunasegaran, antara kesalahan yang dilakukan pemandu terbabit ialah meletakkan kenderaan di garisan kuning, membuat halangan fizikal serta meletak kenderaan bertindih.

Beliau berkata, selain Ops Tunda DBKL turut menempatkan 10 penguat kuasa di kawasan berkenaan setiap hari bagi mengenal pasti pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas dan kegagalan mematuhi arahan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.


"Kami sentiasa mengadakan tindakan penguatkuasaan di kawasan ini dan beberapa lokasi tumpuan lain sekitar bandar raya bagi melancarkan lalu lintas yang disebabkan segelintir pengguna yang meletakkan kenderaan mereka sesuka hati," katanya.



Peguam didakwa pecah amanah RM638,764

Posted: 27 Feb 2012 11:52 AM PST

SHAH ALAM: Seorang peguam dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan melakukan pecah amanah wang anak guam berhubung pembelian tanah membabitkan nilai lebih setengah juta ringgit di Kajang, dekat sini, dua tahun lalu.

Tertuduh, Zainudin Maksom, 40, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainudin. Mengikut pertuduhan, Zainudin didakwa pecah amanah cek bertarikh 29 Julai 2010 bernilai RM638,764 milik Syarikat Quality Pack Properties Sdn Bhd. Dia sepatutnya membayar wang itu kepada syarikat berkenaan selepas satu perjanjian jual beli tanah membabitkan kedua-dua pihak terbatal.


Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di firmanya, Pejabat Tetuan Zainudin, Wan Nadzim Chua & Mazlinda di No 5, Tingkat 1, Jala Saga, Taman Sri Saga, Sungai Chua Kajang, antara 28 Julai dan 6 Ogos 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh didenda jika sabit kesalahan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan