Utusan Online - Jenayah |
Sarang maksiat di hutan terbongkar Posted: Sarang maksiat di hutan terbongkarOleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR ANGGOTA penguat kuasa membakar pondok haram yang dipercayai menjadi tempat melakukan maksiat ketika mengadakan operasi bersepadu di Hutan Simpan Kenaboi sempadan Negeri Sembilan-Selangor, kelmarin. – UTUSAN/ABD RAZAK AID JELEBU 24 Feb. – Jabatan Perhutanan negeri membongkar sebuah sarang maksiat dan perjudian hujung minggu sekumpulan pemilik kenderaan pacuan empat roda (4WD) dalam operasi bersepadu di Hutan Simpan Kenaboi di sini semalam. Lebih mengejutkan kawasan di tengah rimba tebal itu yang boleh menampung 30 hingga 40 orang, kelihatan seperti 'resort mini' apabila turut dibina 14 pondok, tiga khemah besar, sebuah pentas termasuk kemudahan dapur dan tandas bagi kegunaan setiap kali berkunjung ke lokasi tersebut. Kumpulan terbabit bukan sekadar beriadah atau berkelah di lokasi terbabit, malah turut disyaki menjalankan pelbagai aktiviti tidak bermoral termasuk meminum arak, melakukan hubungan seks, berjudi dan menembak menggunakan senjata api. Tinjauan Utusan Malaysia turut mendapati kawasan terbabit mempunyai saluran paip yang disambung dari sungai berhampiran selain dilengkapi dengan kabel elektrik yang dijana menggunakan penjana kuasa. Penolong Pengarah Sivil Kultur Jabatan Perhutanan negeri, Nor Zaidi Jusoh berkata, operasi bersepadu selama 11 jam bermula pukul 8 pagi itu membabitkan sepasukan anggota dan pengawai jabatannya, polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Majlis Daerah Jelebu dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA). "Ketika serbuan, lokasi tersebut yang terletak kira-kira enam kilometer dari Kampung Chennah di sini tidak berpenghuni. "Kami mengesyaki semua pondok dan kemudahan di sini dibina khas kumpulan terbabit untuk berpesta dan beriadah pada setiap hujung minggu sejak setahun lalu. "Selain beriadah, kita juga percaya mereka melakukan aktiviti tidak bermoral berdasarkan penemuan kondom, tin minuman keras dan peralatan perjudian," katanya di lokasi serbuan di sini semalam. Jelasnya, aktiviti kumpulan itu terbongkar hasil maklumat dan risikan pihak polis serta aduan penduduk Orang Asli di kawasan terbabit. Beliau percaya kumpulan terbabit turut membawa senjata api berdasarkan penemuan beberapa tin minuman keras yang berlubang dipercayai dijadikan sasaran untuk menembak. "Kumpulan ini masuk ke kawasan hutan simpan ini secara haram dengan menaiki kenderaan 4WD dan mereka biasanya akan bermalam selama beberapa hari terutama pada hujung minggu. "Selain masuk ke hutan ini tanpa permit mereka juga membina beberapa struktur secara haram di kawasan berdekatan sebatang anak sungai," katanya. |
Polis kenal pasti dalang atur perlawanan Posted: Polis kenal pasti dalang atur perlawananJOHOR BAHRU 24 Feb. – Polis negeri ini mengenal pasti dalang yang terlibat mengatur perlawanan bola sepak membabitkan enam pemain Piala Presiden Johor FC yang dipercayai mempunyai jaringan dengan bookie antarabangsa. Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, ia adalah hasil siasatan pasukan khas diketuai oleh seorang pegawai kanan berpangkat Asisten Komisioner yang ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut. Menurutnya, pada siasatan dijalankan dari pelbagai sudut memandangkan pihak polis percaya ia merupakan satu rangkaian yang besar melibatkan bookie bertaraf 'ikan bilis' dan 'jerung'. "Pasukan khas itu sudah pun mula bekerja dan kita telah mengenal pasti beberapa dalang dan memang mereka ini ada jaringan antarabangsa," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kes enam pemain Piala Presiden Johor FC yang digantung serta-merta setelah kelab itu mendapati terdapat unsur mengatur perlawanan pada pertemuan menentang Perlis di Stadium Pasir Gudang, Khamis lalu. Pada perlawanan tersebut, pasukan Johor FC menang dengan jaringan 3-0. Pihak pengurusan kelab itu membuat laporan polis mengenai kes tersebut pada 18 Februari lalu. Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan bagi menangani kegiatan itu dan memberkas golongan yang terlibat. "Bagi para pemain saya nasihatkan mereka supaya menghormati undang-undang dan mainlah bola dengan penuh tanggungjawab. Bagi para penonton pula, diingatkan supaya jangan memberi ruang untuk perkara seumpama itu berlaku," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan