Isnin, 27 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Lembu ‘naik’ Wira

Posted: 26 Feb 2012 11:52 AM PST

KULIM: Nasib nyata tidak menyebelahi dua lelaki apabila tindakan mereka mencuri dua lembu dengan menyumbatnya dalam Proton Wira Aeroback tidak berjaya apabila kenderaan terbabit terbabas dalam longkang di Kawasan Industri Kelang Lama di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 3.30 pagi menyebabkan dua lelaki berusia 20-an itu berputih mata apabila terpaksa melarikan diri meninggalkan kereta mereka bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.


Sumber berkata, polis menerima maklumat daripada orang ramai mengenai sebuah kereta terbabas dalam longkang di hadapan sebuah kilang di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kereta terbabit dipercayai dipandu laju, hilang kawalan akibat jalan licin dan tersekat dalam longkang terbabit.


"Kedua-dua mereka melarikan diri meninggalkan dua lembu itu dalam keadaan lali.


"Pemeriksaan lanjut mendapati tempat duduk belakang diubah suai. Kerusinya dibuang memudahkan mereka menyumbat lembu terbabit.

"Dua ekor lembu termasuk seekor anak yang ditemui dalam kereta itu lemah kesan ubat pelali," katanya.


Menurutnya, polis turut menemui dua batang sumpit dan ubat pelali yang dipercayai digunakan suspek untuk menangkap lembu terbabit.

"Polis belum mengesan pemilik dan lokasi haiwan berkenaan dicuri. Kami kini sedang menjejaki kedua-dua suspek yang menghilangkan diri bagi membantu siasatan," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.



Cerewet lebih baik

Posted: 26 Feb 2012 11:47 AM PST

KUALA LUMPUR: Hanya melihat sama ada sesebuah restoran itu memaparkan logo halal serta ramai pelanggan Islam, itu petunjuk biasa bagi umat Islam sebelum memasuki sesebuah premis makanan walaupun makanan dijual dicurigai status halalnya.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati orang ramai berpendapat pihak berkuasa khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu bertindak proaktif mempromosikan kempen kesedaran selain mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha restoran yang menjual makanan dicurigai kepada pelanggan Islam.


Penuntut universiti, Nadia Jasni, 20, berkata kebiasaannya dia menganggap makanan di restoran yang memaparkan logo halal dan ramai pelanggan Islam sebagai halal.

"Saya tidak memeriksa secara teliti sama ada logo halal yang dipaparkan itu daripada Jakim atau swasta. Bila saya dapati ramai yang makan terutama keluarga Islam, saya anggap restoran itu menyediakan makanan halal," katanya yang ditemui, semalam.


Menurutnya, pendedahan Harian Metro, Sabtu lalu, mengenai sebuah restoran memaparkan logo halal swasta, tetapi menjual makanan dipercayai tidak halal mengejutkan kerana ramai pihak tidak tahu.


"Pihak berkuasa perlu bertindak lebih tegas terhadap pihak yang masih menggunakan logo halal swasta kerana isu ini sensitif kepada umat Islam," katanya.

Kakitangan swasta, Mohd Noor Ikhwan Jaimi, 30, berkata dia cerewet apabila mahu makan di sesebuah restoran walaupun memapar logo halal, mempunyai pekerja Islam serta ramai pelanggan Islam.


"Bila saya lihat nama restoran bukan Islam serta dimiliki orang bukan Islam, mula timbul rasa ragu-ragu, biasanya saya mengelak daripada memasuki premis seperti itu," katanya.

Sehubungan itu, menurutnya, orang ramai perlu berhati-hati dan jangan ambil mudah terhadap status sesebuah restoran walaupun premis itu ada logo halal.


Pelajar, Noorain Mohd Said, 20, berkata pihak berkuasa bertanggungjawab menyedarkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memilih tempat makan.


"Tanpa tindakan proaktif pihak berkuasa, saya berpendapat ramai pelanggan Islam terus masuk ke sesebuah restoran dengan hanya melihat logo halal sekali imbas," katanya.


Harian Metro kelmarin melaporkan sebuah restoran yang menggunakan logo halal swasta diserbu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selepas ujian ke atas sampel sup oleh makmal Taman Teknologi Malaysia (TPM) mendapati status makanan yang dijual meragukan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan