Jumaat, 24 Februari 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Kerajaan komited kepada Sarawak: Muhyiddin

Posted: 24 Feb 2012 03:15 AM PST

Mutakhir

SELANGAU: Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan komitmen sepenuhnya bagi memenuhi aspirasi dan keperluan pembangunan di negeri ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ini kerana negeri ini sentiasa menjadi kubu kuat Barisan Nasional," katanya pada sesi pertemuan dengan rakyat di SJK(C) Tong Ah di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, kebanyakan 312 projek dengan kos RM2.35 bilion yang dijanjikan dan diumumkan semasa pilihan raya lalu sudah dilaksanakan. Katanya, semua 245 projek yang siap dilaksanakan itu berjumlah RM213.67 juta.

"Daripada baki 67 projek itu, kerja-kerja bagi 40 projek dengan kos RM1.312 bilion kini sedang dilaksanakan," katanya.

Muhyiddin berkata, projek lain menghadapi masalah termasuk soal pengambilan tanah dan oleh yang demikian, kerja-kerja masih belum dilaksanakan.

"Sejak pilihan raya negeri yang lepas, pembangkang terus mencanangkan di sana sini bahawa kerajaan gagal melaksanakan banyak projek yang dijanjikan atau diumumkan sebelum ini.
"Mereka hanya pandai mengkritik. Memandangkan pilihan raya umum ke-13 akan datang, mereka sekali lagi pergi merata tempatdan memburuk-burukkan kerajaan dan pada masa sama menjanjikan perkara yang tidak masuk akal," katanya.

Muhyiddin berharap rakyat tidak mudah terpedaya kerana mereka tidak mempunyai kebolehan mahupun kemampuan untuk melakukan yang lebih baik lagi.

"Apa sahaja yang kita janjikan atau umumkan, kerajaan sudah pasti akan melaksanakannya," katanya.

Muhyiddin juga berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah mengarahkan semua menteri, timbalan menteri dan penjawat awam supaya bekerjasama di bawah Program Transformasi Negara bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara yang progresif dengan rakyatnya berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak mempunyai sikap agar sentiasa berusaha dan bekerja keras dalam usaha "melonjak atas kemajuan kita".

Beliau berkata, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sebagai sebahagian daripada program transformasi ini, telah banyak usaha dilakukan terutama bagi kawasan luar bandar di Sarawak.

Muhyiddin berkata, bagi projek jalan raya pada tahun lalu saja sejumlah 222.95 kilometer jalan baru sudah dibina.

Bagi bekalan air, beliau berkata sasaran bagi membekalkan air yang dirawat kepada 13,024 isi rumah sudah pun melebihi pencapaian sebenar iaitu 18,052 isi rumah.

"Bagi bekalan tenaga, kerajaan telah mencapai kadar kemajuan 138 peratus apabila ia mampu menyambung bekalan itu kepada 14,123 isi rumah iaitu lebih daripada 14,000 sebelum ini.

"Kita juga dapat membina 3,963 rumah bagi rakyat miskin di luar bandar iaitu pencapaian 103 peratus.

"Jika dibandingkan dengan pembangkang, pendekatan kerajaan Barisan Nasional adalah lebih jelas dan realistik untuk membantu rakyat," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berjanji untuk membina lebih banyak sekolah vokasional di negeri ini sebagai respons kepada permintaan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, dalam ucapannya sebelum itu.

"Jika negeri ini memerlukan lebih banyak sekolah vokasional bagi melahirkan tenaga kerja teknikal yang mencukupi bagi mengisi peluang kerja yang dilahirkan oleh Koridor Pembangunan Wilayah SCORE (Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak), kita akan merancang untuk membina lebih banyak sekolah sedemikian," katanya.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan geran kerajaan sebanyak RM1.5 juta bagi menyiapkan pembinaan dewan serbaguna Selangau dan geran RM300,000 bagi SJK(C) Tong Ah.

Muhyiddin juga mengumumkan geran RM300 juta bagi membantu sekolah yang memerlukan kerja-kerja pembaikan segera daripada RM500 juta yang diperuntukkan bagi 600 sekolah sedemikian di seluruh negara. - BERNAMA

SPR nafi penyelewengan dalam pendaftaran pemilih

Posted: 24 Feb 2012 03:09 AM PST

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menafikan dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa organisasi itu memindahkan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain.

Setiausahanya, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria, berkata dakwaan yang disiarkan dua akhbar semalam adalah tidak benar kerana SPR melaksanakan urusan pendaftaran pemilih berdasarkan kerangka undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

"Undang-undang yang ada sekarang tidak memberi kuasa kepada SPR untuk menukarkan alamat pusat mengundi seseorang pemilih berdaftar tanpa pemilih itu sendiri memohon untuk bertukar alamat seperti yang dinyatakan dalam Fasal (4) Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. "Subperaturan 12(1) dan (2) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftar Pemilih) 2002 menyatakan SPR hanya boleh menukar alamat pusat mengundi seseorang pemilih berdaftar jika pemilih itu telah mengisi Borang A iaitu borang pendaftaran pemilih yang ditetapkan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas dakwaan wujud sesuatu "tidak kena" mengenai senarai nama yang tidak dipamerkan, Kamaruddin berkata pihak yang tidak berpuas hati atau curiga tentang senarai nama dalam sesuatu Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) boleh membuat bantahan semasa tempoh pameran Rang DPT itu berlangsung.

"Bagi Parlimen P.107 Subang, sepanjang penerimaan Borang A bagi Daftar Pemilih Tambahan suku tahun keempat 2011, SPR telah menerima sebanyak 2,352 permohonan pendaftaran baru dan 2,705 permohonan tukar alamat pusat pengundi.

"Semasa pameran Rang DPT bagi Parlimen itu semua nama tersebut telah dipamerkan beserta 1,146 nama pemilih untuk penandaan pemotongan kerana bertukar alamat dari parlimen itu," katanya.
Beliau berkata, hasil semakan SPR sepanjang tempoh pameran Rang DPT berlangsung dari 8 hingga 14 Februari lalu, kawasan Parlimen itu menerima 90 bantahan yang dibuat ke atas pasangan tentera dengan alasan mereka tidak layak mengundi secara pos.

Berhubung pertambahan jumlah pemilih di kawasan Parlimen itu, Kamaruddin berkata statistik SPR menunjukkan peningkatan sebanyak 2,487 orang bagi tempoh 2004 hingga 2006, menjadikan jumlah keseluruhan 71,441 pengundi.

Kamaruddin berkata, urusan pembetulan lokaliti ke dalam daerah mengundi sebenar telah diselesaikan dan SPR telah memaklumkan perkara tersebut kepada semua parti politik di Selangor.

"Dari segi perubahan pusat mengundi, SPR akan memaklumkan sebarang perubahan melalui media cetak dan elektronik...dan bagi pilihan raya umum ke-13 akan datang setiap pusat mengundi akan dipasang kain rentang untuk memudahkan pengundi mengenal pasti tempat mengundi masing-masing. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan