Jumaat, 24 Februari 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Sungai Rambai berubah wajah

Posted:

Sungai Rambai berubah wajah

Sungai Rambai berubah wajah

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my


Ketua Menteri, Mohd. Ali Rustam menyaksikan pertunjukan akrobatik pesawat jenis Extra 300L pada Karnival Udara Antarabangsa Sungai Rambai di Kampung Tasek Jasin, Melaka.


JASIN 23 Feb. - Kampung Sungai Rambai yang terletak di Selatan negeri ini melalui jalan utama Melaka-Muar melalui Lebuh AMJ sejauh 32 kilometer dulunya hanyalah sebuah penempatan kecil.

Dipercayai kampung ini mula didiami sejak awal 1800-an dan penduduk asalnya dari Kampung Tedong, Kampung Serkam dan Kampung Kesang, Muar, Johor.

Kampung Sungai Rambai mendapat nama daripada sebatang pokok rambai yang besar tumbuh di antara Kuala Parit Penghulu dan Parit Sidang Seman dan orang yang bertanggungjawab menamakan Kampung Sungai Rambai ialah Penghulu Dualim pada 1880.

Kini, landskap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai sudah banyak berubah.

Dari sebuah penempatan kecil ia kini membangun pesat dengan banyak infrastruktur dan kemudahan awam menjadikan ia setanding dengan daerah lain di negeri ini.

Sejak kepimpinan diterajui Barisan Nasional (BN) sejak dulu hingga kini, daerah itu berubah mengikut arus peredaran zaman.

Pekan lama Sungai Rambai pula bakal berubah wajah tidak lama lagi apabila ia dinaik taraf menggantikan premis-premis bangunan papan digantikan dengan baru selain menyediakan pelbagai kemudahan awam.

Projek naik taraf itu akan dibangunkan oleh Yayasan Melaka menerusi peruntukan sebanyak RM7 juta dan ia sekali gus menjadikan Pekan Sungai Rambai berwajah baru.

Sungai Rambai mempunyai segala kemudahan asas seperti sekolah, balai raya, klinik kesihatan, balai polis dan sebagainya dinikmati oleh lebih 17,730 orang penduduknya yang terdiri daripada orang Melayu, Cina dan India.

DUN tersebut terbahagi kepada empat mukim iaitu Mukim Sungai Rambai, Sebatu, Semujok dan Merlimau dan ditadbir oleh lapan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

DUN Sungai Rambai mempunyai keluasan tanah seluas 9,214 hektar yang mana 7.218 hektar adalah kawasan pertanian seperti dusun buah-buahan, getah, kelapa sawit, sawah padi, kelapa, pisang dan ternakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman banyak memainkan peranan penting untuk membangunkan daerah itu.

Dari sebuah daerah yang bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan penduduknya, kini sektor pelancongan semakin berkembang pesat mempopularkan kawasan tersebut.

Satu demi satu produk pelancongan mula berkembang di DUN tersebut walaupun ia berasaskan alam semula jadi yang terdapat di situ.

Inap desa di Parit Penghulu cukup popular dalam kalangan pelancong dari luar negara selain namanya turut terpahat dalam kalendar Pelancongan Malaysia.

Saban masa pelancong dari Singapura, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, England dan sebagainya menjadikan inap desa di sini sebagai destinasi untuk menikmati kehidupan kampung dan merasai kehidupan masyarakat Melayu.


PEMANDANGAN indah di Tebingan Sungai Rambai di Laman Belia 1Malaysia sentiasa menggamit kehadiran pengunjung.


Pada 2009, seramai 92 belia dari 53 negara Komanwel berkampung selama tiga hari di situ yang sekali gus melonjakkan nama Sungai Rambai di peta pelancongan.

Selain itu, Lapangan Terbang Microlight di Kampung Tasek menjadi salah satu mercu tanda apabila setiap tahun menganjurkan Karnival Udara Antarabangsa Sungai Rambai.

Pertunjukan udara menerusi pelbagai pesawat seperti Eagle, Cesna, Christaine Eagle, Extra 300, Microlight dan Paramotor jelas menarik minat penduduk di situ.

Sungai Rambai River Cruise menjadi produk pelancongan terbaru diperkenalkan di kawasan tersebut dan menjadikan daerah itu turut dikunjungi orang ramai pada cuti hujung minggu atau cuti umum.

Jika menaiki bot Melaka River Cruise di Taman Rempah, anda akan berpeluang menikmati pemandangan bangunan-bangunan sejarah.

Namun, dengan menggunakan perkhidmatan Sungai Rambai River Cruise, pengunjung berpeluang menikmati hutan paya bakau daripada pelbagai spesies.

Dengan menaiki Sungai Rambai River Cruise, orang ramai berpeluang menikmati suasana kampung dan menyaksikan flora serta fauna di samping hutan paya bakau yang unik di sepanjang laluan tersebut.

Di samping itu, Laman Belia Satu Malaysia pula menjadi mercu tanda terbaru untuk masyarakat di DUN tersebut berkumpul dan menjalankan pelbagai aktiviti.

Laman tersebut dibangunkan dengan pelbagai kemudahan seperti tempat duduk, restoran, jambatan gantung, gelanggang futsal, berkayak, pentas hiburan selain dihiasi landskap yang menarik perhatian.

Selain itu, Sungai Rambai Agrotourism Park yang terletak di Batu Gajah Pasir pula menjadi destinasi pelancongan berasaskan ternakan kerana di kawasan seluas 38 hektar itu diternak rusa, lembu bali, lembu trust, kambing trust dan premis burung walet.

Menerusi peruntukan RM3.8 juta daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, ia akan dibangunkan dengan pelbagai kemudahan lagi seperti pembinaan chalet, inap desa, restoran, surau, pusat kraftangan, tanaman buah-buahan, herba dan kolam ikan.

Bagi menambah pendapatan penduduk di DUN Sungai Rambai, projek ternakan udang yang terbengkalai kini dibangunkan semula di Sebatu.

Terdapat 15 kolam ternakan udang yang sudah beroperasi, tambahan 20 lagi kolam menerusi peruntukan sebanyak RM5 juta sedang dilaksanakan di kawasan tersebut.

Tingkatkan kualiti produk halal

Posted:

Tingkatkan kualiti produk halal

Tingkatkan kualiti produk halal

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my


Yunus Rahmat (dua kiri) menunjukkan pelan projek kepada Omar Chaabi (tengah) sewaktu lawatan pemilik syarikat Aswak Assalam dari Maghribi tersebut di Pedas Halal Park, Pedas, semalam.


REMBAU 23 Feb. - Pengusaha produk halal di negeri ini diminta meningkatkan kualiti produk masing-masing bagi memastikan ia bukan sahaja dapat menerokai pasaran tempatan malah menembusi Afrika terutamanya Maghribi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, sudah tiba masanya bagi penggiat sektor berkenaan mengejar peluang untuk memastikan ia terus mendapat permintaan tinggi di negara berkenaan.

"Apa yang kita lihat mereka mempunyai keyakinan tinggi terhadap produk halal dari negara ini dan sudah pasti pengusaha memikirkan peluang untuk memasarkannya ke Maghribi," katanya.

Yunus berkata demikian semasa kunjungan Naib Presiden Eksekutif YNNA Holding dari Maghribi yang juga pemilik Aswak Assalam Omar Chaabi di bangunan Malaysian Industrial Estates Bhd. (MIEL) Pedas Halal Park, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Konsortium Usahawan Makanan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita), Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad dan bekas Duta Malaysia ke Maghribi, Datuk Othman Samin.

Kata Yunus, pembinaan bangunan yang didirikan di atas tapak seluas 2.4 hektar itu kini sudah 90 peratus siap dan projek yang menelan belanja RM14 juta itu dilaksanakan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta diselaraskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS).

Sementara itu, Omar memberitahu, pihaknya mendapati produk halal khususnya dari negara ini mendapat permintaan tinggi dan antara yang popular adalah biskut dan mi.

"Penduduk Maghribi suka dengan produk halal dari negara ini. Ia dijual di 16 pasar raya milik Aswak Assalam," jelasnya.

240 pelajar SMK Rahmat sertai seminar ADaP Utusan Malaysia

Posted:

240 pelajar SMK Rahmat sertai seminar ADaP Utusan Malaysia

240 pelajar SMK Rahmat sertai seminar ADaP Utusan Malaysia


Zulkapli Othman (dua kanan) dan Wahid Hashim (kanan) menunjukkan sisipan ADaP Utusan Malaysia pada seminar pendidikan di SMK Rahmat di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka, semalam.


MELAKA 23 Feb. - Menyedari sumber ilmu tidak hanya terbatas kepada nota dan rujukan yang dibeli di kebanyakan kedai buku, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru di sini telah menerapkan penggunaan akhbar sebagai bahan rujukan pelajar.

Pengetuanya, Zulkapli Othman berkata, sebagai sekolah luar bandar, pihaknya sedar bahawa sumber bahan bacaan serta rujukan khususnya kepada pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan penting adalah terhad.

Justeru itu, pihaknya memilih untuk menjadikan sisipan ADaP Utusan Malaysia sebagai pemangkin kepada kecemerlangan pelajar.

"Kami telah mengadakan seminar seperti ini tahun lalu dan kesan daripada menggalakkan penggunaan sisipan ADaP menyaksikan 12 pelajar berjaya memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011.

"Jumlah tersebut meningkat 100 peratus berbanding hanya enam pelajar yang memperoleh 8A pada tahun sebelumnya.

"Saya yakin jika pelajar menggunakan bahan yang ada dalam sisipan ini sebagai rujukan dengan sepenuhnya mereka tentu akan memperoleh kecemerlangan," katanya.

Seramai 240 pelajar yang bakal menghadapi PMR dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pelajar dari kelas rancangan khas, pengawas pusat sumber dan ahli Kelab Perpustakaan menyertai seminar ADaP di sekolah tersebut, hari ini.

Seminar anjuran Utusan Malaysia yang dikelolakan oleh Pusat Sumber SMK Rahmat itu dikendalikan oleh Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Dalam pada itu, penyelaras program yang juga Guru Perpustakaan SMK Rahmat, Salmah Md. Ali berkata, selain menggalakkan pelajar menggunakan akhbar sebagai rujukan, pada masa yang sama seminar itu juga bermatlamat untuk menyemai budaya membaca dan penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar.

"Kita mungkin akan membuka penyertaan seminar seperti ini kepada pelajar sekolah lain pada masa akan datang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan