Rabu, 29 Februari 2012

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


'Hanya akur kepada Presiden'

Posted:

'Hanya akur kepada Presiden'

'Hanya akur kepada Presiden'

Oleh SAHBULAH DARWI dan SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 28 Feb. - Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini sekali lagi memberi tamparan hebat kepada kumpulan Anwarinas dalam Pas apabila menegaskan, beliau sama sekali tidak akan akur kepada arahan mana-mana pemimpin pakatan pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya tegas Menteri Besar Kedah tersebut, beliau hanya perlu akur kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sambil menegaskan bahawa beliau dilantik oleh Pas pusat untuk mentadbir Kedah, Azizan berkata, beliau bertanggungjawab untuk melaporkan kepada Abdul Hadi dan pemimpin tertinggi parti agar keputusan dibuat berdasarkan sistem syura tanpa campur tangan pihak luar.

"Kita pakatan pembangkang bukan Barisan Nasional (BN), walaupun kita berpakat memerintah tetapi ketua kita adalah ketua parti masing-masing... ketua Pas ialah Haji (Abdul) Hadi.

"Ketiga-tiga Presiden ini (Pas, PKR dan DAP) akan duduk sekali dalam Majlis Presiden, contohnya kalau kita hendak pilihan raya, yang tandatangan borang adalah ketua parti, bukan ketua Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas istiadat angkat sumpah lapan Exco pada Majlis Pelantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Isu pergolakan kerajaan negeri Kedah bermula apabila dikatakan terdapat golongan 'Anwarinas' cuba menggugat kepimpinan Azizan selepas Exco kanan, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan penyandang Exco, Datuk Dr. Ismail Salleh menghantar surat untuk menolak cadangan pelantikan semula sebagai Exco.

Walaupun nama Exco, Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Siti Ashah Ghazali dan Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib turut dikaitkan untuk turut mengikuti jejak langkah Phahrolrazi dan Ismail bagi menggugat kepimpinan Azizan, namun ketiga-tiga mereka kemudiannya menafikannya.

Azizan berkata, beliau telah memaklumkan perkembangan mengenai pelantikan lapan Exco tersebut kepada Abdul Hadi dan Setiausaha Agung, Mustafa Ali selain mengadakan perjumpaan dengan pimpinan tertinggi Pas pusat.

"Saya mesti lapor kepada pihak tertinggi saya (Pas), itu bezanya kami dengan orang lain," katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah menegaskan, semua pihak berhak memberi pandangan masing-masing berhubung kemelut yang berlaku.

"Itu hak depa, saya buat tugas saya, mereka beri pandangan, kita bincang demi kekuatan parti, kerajaan kita akan pilih mana terbaik, itu konsep syura dalam Pas," katanya.

Mengenai kenyataan Mustafa yang menyatakan Phahrolrazi dan Dr. Ismail perlu dilantik semula sebagai Exco, Azizan berkata;

"Itu kenyataan Pas pusat atau atas kapasiti dia seorang? Kita kena bezakan sebab Pas pusat tak buat mesyuarat lagi.

"Saya masih tertakluk kepada sistem dan arahan parti, apa juga arahan yang diberikan saya akan ikut kerana yang penting kerajaan pentadbiran saya akan terus kekal di Kedah."

Sementara itu, Azizan berkata, walaupun kedua-dua Exco itu tiada dalam senarai Exco mengangkat sumpah hari ini namun kedudukan mereka dalam Pas Kedah adalah perkara berasingan.

ECER tarik 9 pelaburan baru

Posted:

ECER tarik 9 pelaburan baru

ECER tarik 9 pelaburan baru

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my


NAJIB Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin bergambar bersama pelabur-pelabur pada Majlis Pertukaran Dokumen Komitmen Pelaburan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS


PUTRAJAYA 28 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan sembilan pelaburan baru bernilai RM9.04 bilion dalam suku pertama tahun ini membabitkan Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Perdana Menteri berkata, sembilan projek tersebut melibatkan dua projek bernilai RM5.5 bilion di Mersing, Johor; lima projek di Pahang (RM2 bilion) dan masing-masing satu projek bernilai RM1 bilion di Terengganu dan RM500 juta di Kelantan.

Tiga projek lagi telah diumumkan awal Januari lalu membabitkan pelaburan bernilai RM363 juta.

Menurut Najib, kesemua 12 pelaburan tersebut bakal mewujudkan hampir 20,000 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan di samping menyumbang anggaran RM6 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) menjelang 2020.

''Jumlah pelaburan yang besar itu membuktikan daya saing ECER dalam menarik para pelabur dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

''Ini adalah permulaan yang positif bagi tahun ini dan saya yakin ECER bakal melepasi sasaran pelaburan RM10 bilion untuk tahun ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said serta Ketua Pegawai Eksekutif ECER, Datuk Jebasingam Issace John.

Najib berkata, peningkatan itu disokong faktor kemudahan infrastruktur yang progresif di wilayah tersebut serta promosi pelaburan agresif ECERDC dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Katanya, sehingga kini kerajaan telah melabur sebanyak RM2 bilion untuk pembangunan infrastruktur di ECER bagi menyokong pelaburan sektor swasta.

Perdana Menteri berkata, lebih 70 peratus daripada jumlah pelaburan adalah dalam kluster pelancongan di ECER manakala selebihnya dalam sektor akuakultur, pembuatan dan pendidikan yang dijangka dilaksanakan tahun ini.

''Saya bangga kerana sebahagian besar daripada pelaburan ini adalah daripada syarikat-syarikat tempatan, ini menunjukkan terdapat ruang yang luas untuk lebih banyak lagi syarikat tempatan melabur dalam negara," katanya.

Perkembangan positif itu, ujar beliau, adalah petanda baik untuk ECER yang telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM20.9 bilion sehingga Disember tahun lalu di samping mewujudkan 27,000 peluang pekerjaan.

Daripada jumlah itu, kata Perdana Menteri, RM4.7 bilion pelaburan telah diterima tahun lalu.

Sementara itu, Issace John berkata, pelaburan baru itu bakal meningkatkan lagi aktiviti ekonomi berasaskan sumber semula jadi di ECER dan membantu mewujudkan peluang ekonomi yang lebih baik dengan menjana lebih banyak peluang pekerjaan baru dan keusahawanan.

''Ini selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang berhasrat mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi di negara ini," katanya.

Hanya pegawai punyai kes diakses harta

Posted:

Hanya pegawai punyai kes diakses harta

Hanya pegawai punyai kes diakses harta

PUTRAJAYA 28 Feb. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan kuasa mengakses dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran Persekutuan hanya dikuatkuasakan jika terdapat kes membabitkan pegawai tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengurusan dan Profesionalisme SPRM, Datuk Zakaria Jaffar berkata, suruhanjaya tersebut hanya akan memberi fokus kepada dokumen-dokumen yang disabitkan kesalahan dan memerlukan siasatan lanjut.

"Sekarang dokumen-dokumen tersebut disimpan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabatnya. Apabila Ketua SPRM diberi kuasa untuk akses dokumen itu, ia bermaksud mempunyai akses kepada pegawai yang mempunyai kes dalam tempoh berkaitan sahaja.

"Kita bukan nak tengok aset yang dimiliki oleh pegawai itu sebelum dilantik atau ahli yang berhormat yang dipilih cuma hendak melihat hartanya yang telah bertambah apabila dapat jawatan.

''Jika harta itu dikumpul dengan cara halal tiada masalah walaupun ketika memegang jawatan tetapi jika ada yang meragukan dan ada elemen rasuah, itu yang kita akan fokuskan," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya, di sini, hari ini.

Semalam kerajaan bersetuju membenarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk mempunyai akses penuh kepada dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran Persekutuan termasuk menteri, timbalan menteri dan keluarga mereka bagi menentukan ketelusan dan integriti mereka kepada umum.

Dalam pada itu, ditanya persetujuan kerajaan menambah kakitangan SPRM, katanya, langkah tersebut perlu kerana pada masa ini SPRM hanya mempunyai seramai 450 pegawai penyiasat.

Menurutnya, jumlah tersebut terlalu kecil berbanding bilangan kes yang semakin bertambah dan memerlukan pegawai berkelayakan untuk menyiasat.

"Sebelum SPRM ditukar kepada suruhanjaya kita mempunyai jumlah keseluruhan pegawai sebanyak 1,840, bagaimanapun pada setiap tahun jumlah itu berkurangan hingga sekarang jumlah pegawai kita ialah 1,760 orang.

"Pengurangan pegawai SPRM pada setiap tahun disebabkan sistem perjawatan yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dalam melantik pegawai," katanya.

Sementara itu, ditanya serangan sesetengah pihak kononnya SPRM masih di takuk lama walaupun menambah kakitangan, katanya, dakwaan tersebut tidak berasas kerana SPRM setiap tahun berjaya membantu kerajaan menambah pendapatan dengan menyelesaikan kes-kes berprofil tinggi.

"Pada tahun lepas sahaja kita telah berjaya menyelamatkan kerajaan daripada kerugian RM3 bilion akibat penyelewengan tafsiran cukai pihak-pihak tertentu yang disyaki bersubahat dengan pegawai kerajaan dalam Operasi 3B.

"Justeru, kita merancang menambah pegawai yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang kritikal seperti akauntan, forensik, kejuruteraan dan sebagainya supaya hasil siasatan berada pada tahap tertinggi," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan