Utusan Online - Mahkamah |
Perdagang wanita, warga emas dipenjara 10 tahun Posted: Perdagang wanita, warga emas dipenjara 10 tahunKOTA BHARU 28 Feb. - Seorang warga emas dipenjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memperdagangkan seorang wanita warganegara Indonesia tahun lalu. Tertuduh, Yusoff Mat Rani, 61, yang bekerja sebagai pengutip kotak didakwa memperdagangkan wanita berusia 24 tahun itu, dengan cara melindunginya bagi maksud eksploitasi seks. Hakim Azman Mustapha memerintahkan hukuman berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 19 Januari lalu. Tertuduh yang berasal dari Kampung Limau Manis dekat sini, didakwa melakukan perbuatan itu antara Jun dan Disember tahun lalu di sebuah rumah tanpa nombor. Dia didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda. Mengikut fakta kes, wanita terbabit telah masuk ke negara ini pada Jun 2011 melalui ejen untuk bekerja sebagai pembantu rumah. Bagaimanapun dia melarikan diri dari majikannya dengan alasan tidak tahan bekerja. Dia telah dihantar oleh orang awam ke Pejabat Imigresen kerana tiada pas perjalanan yang sah. Namun disebabkan pejabat telah tutup, wanita terbabit kemudiannya bertemu dengan tertuduh dikenali sebagai Pak Sop. Tertuduh telah mengajak wanita terbabit ke rumahnya di Kampung Limau Manis dan berjanji membantunya mendapatkan pekerjaan. Sepanjang tinggal bersama, wanita terbabit telah dipaksa mengadakan hubungan seks beberapa kali dengan tertuduh yang menanggung segala makan minum dan tempat tinggalnya. Dia bagaimanapun melarikan diri sebelum diserahkan oleh orang awam kepada Jabatan Imigresen pada 22 Disember tahun lalu. Tertuduh merayu hukumannya diringankan dengan alasan telah berusia selain mendakwa bersikap jujur dengan mengakui kesalahannya. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin yang mengendalikan pendakwaan, memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan tertuduh melibatkan pemerdagangan manusia dan kepentingan awam. |
Permohonan injunksi Felcra 9 Mac Posted: Permohonan injunksi Felcra 9 MacIPOH 28 Feb. - Permohonan injunksi Felcra Bhd. (Felcra) bagi menghalang 22 peserta Felcra Nasaruddin Belia, Bota dekat sini daripada memasuki, campur tangan, mengutip atau memotong buah kelapa sawit atas tanah seluas 56.7 hektar di kawasan Felcra itu akan didengar 9 Mac depan. Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Harmindar Singh Dhaliwal menetapkan tarikh itu di kamar beliau selepas membenarkan permohonan injunksi secara inter parte (antara pihak) itu yang sepatutnya didengar hari ini, ditangguhkan. Dalam kes itu, Felcra selaku plaintif manakala kesemua peserta Felcra itu dinamakan sebagai defendan. Terdahulu, peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili kesemua peserta Felcra tersebut memaklumkan, pihaknya memerlukan masa untuk membalas afidavit plaintif itu dalam permohonan mereka bagi mengetepikan perintah injunksi ex-parte tersebut. "Saya baru dilantik minggu lalu dan banyak lagi dokumen-dokumen yang diperlukan dalam kes ini masih belum saya peroleh. Mohon saya diberi masa untuk meneliti kes ini dengan sebaiknya,'' katanya. Pada 13 Februari lalu, Felcra memfailkan saman pemula terhadap 22 peserta Felcra berkenaan melalui peguamnya, Datuk S. Murthi dari Chamber Of Murthi & Patners. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan