Rabu, 29 Februari 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Kabel elektrik jatuh atas laluan Permas Jaya-Plentong

Posted: 29 Feb 2012 02:07 AM PST

Mutakhir

JOHOR BAHRU: Laluan Permas Jaya ke arah Plentong, di sini, ditutup hampir tujuh jam hari ini apabila paip kabel elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) terjatuh ke atas jalan selepas kerangka besi yang menampung kabel berkenaan patah.

Seorang pengguna laluan berkenaan, Mohd Rubaie Hayan, 55, berkata ketika kejadian pada 9.30 pagi itu, beliau dalam perjalanan dari rumahnya di Bandar Seri Alam untuk ke tempat kerja di Permas Jaya.

"Saya hanya berada kira-kira 100 meter dari paip kabel setinggi 45 meter yang merentangi jalan itu, sebelum ia tiba-tiba patah dan jatuh menghalang laluan jalan," katanya ketika ditemui, di sini. Mohd Rubaie berkata, beliau terus memberhentikan kereta dan mengarahkan kenderaan lain supaya tidak melalui laluan itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Permas, Datuk M Munusamy, berkata beliau pernah membuat aduan mengenai tahap keselamatan kabel itu setahun lalu.

"Kita pernah mengutarakan mengenai tahap keselamatan kabel berusia 25 tahun itu kerana kita merasakan ia tidak diselenggara dengan baik. Tidak sangka, insiden yang dikhuatiri berlaku kini menjadi kenyataan. Namun, nasib baik ia tidak menghempap kenderaan yang lalu," katanya.

Munusamy berkata, dianggar 10,000 kenderaan melalui laluan itu setiap hari dan laluan utama bagi pengguna dari arah Permas Jaya ke pusat bandar Johor Baharu itu sesak ketika waktu puncak.
Sementara itu, Pengurus Kanan (Perkhidmatan Pengguna dan Pemasaran) TNB Johor Mohamed Noh Md Seth, ketika dihubungi berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 10 pagi dan mengarahkan pekerja supaya membaik pulih besi dan paip kabel itu serta-merta.

"Berdasarkan siasatan, ada penduduk mendakwa kabel berkenaan pernah dilanggar lori yang menyebabkan strukturnya rosak. Jadi, kami bercadang untuk tidak lagi menggunakan kabel itu dan akan mencari laluan baru," katanya. - BERNAMA

Pemandu lori hadapi 16 tuduhan menipu

Posted: 29 Feb 2012 01:40 AM PST

Mutakhir

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 16 tuduhan menipu dengan mengemukakan resit palsu kepada majikannya membabitkan nilai keseluruhan RM18,536.60, dua tahun lalu.

Chan Ban Hoo, 41, didakwa mengemukakan 16 resit palsu berjumlah RM18,536.60 dengan tujuan untuk menipu syarikat pembekal ayam dan itik, Sang Lee Trading, di Taman Sri Serdang dekat sini, antara 30 Julai dan 3 September 2010.

Bapa kepada seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. Hakim Mohd Fadhir Harun membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 2 April ini untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut memerintahkan Chan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asma Nadiah Abdul Rahman sementara tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan