Utusan Online - Utara |
- UniMAP juara keseluruhan MURoc 2012
- RM2 juta Dana Inovasi USM
- 84 belia luar negara teruja lawat Malaysia
UniMAP juara keseluruhan MURoc 2012 Posted: UniMAP juara keseluruhan MURoc 2012AKSI robot menari mengikut rentak lagu Chiken Dance menarik perhatian Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) dan Kamarudin Hussin (kiri) ketika melancarkan MURoc 2012 di Kangar, baru-baru ini. KANGAR 28 Feb. - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul juara keseluruhan Pertandingan Robot Universiti-universiti Malaysia 2012 (MURoC 2012) dengan meraih 15 mata menewaskan pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mendapat 13 mata. Pencapaian terbaik itu diraih selepas pasukan UniMAP muncul sebagai naib johan bagi kategori Paintball Robot, tempat ketiga bagi kategori Rope Climbing Robot dan tempat keempat Fire Fighting Robot pada pertandingan yang berlangsung dari 24 hingga 26 Februari lalu di Dewan 2020 di sini. Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, pencapaian UniMAP pada tahun ini adalah yang terbaik selepas tiga kali sesi penganjuran MURoC, sekali gus memperbaiki kedudukan tahun lalu iaitu di tempat kedua. "Penyertaan yang diterima pada tahun ini sangat menggalakkan apabila 79 pasukan bertanding melibatkan 37 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik, Kolej Komuniti, Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan lain-lain institut teknikal. "Dengan persaingan yang sangat sengit, saya berbangga kerana UniMAP masih mampu meraih juara keseluruhan sekali gus menerima piala pusingan yang diperkenalkan buat kali pertama tahun ini," katanya semasa berucap pada majlis penutup dan penyampaian hadiah MURoC 2012 baru-baru ini. Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan majlis itu. Turut berangkat Pro Canselor UniMAP, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah. Kata Kamarudin, mulai tahun depan penyertaan MURoC akan dibuka kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia selain universiti luar negara. MURoC 2012 yang merupakan pertandingan teknologi robotik dianjurkan khusus untuk memperkasa daya inovasi di kalangan mahasiswa. Bagi kategori Paintball Robot, juara menjadi milik UiTM manakala tempat ketiga menjadi milik Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim. Politeknik Sultan Ahmad Shah, Pekan, Pahang pula dinobatkan sebagai juara kategori Rope Climbing Robot manakala tempat kedua dimenangi Universiti Sains Malaysia (USM). Bagi kategori Fire Fighting Robot, pasukan dari German Malaysia Institute (GMI) muncul juara selepas menewaskan pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) manakala Kolej Kemahiran Tinggi Mara pula di tempat ketiga. Anugerah Khas Mikrocip selaku penaja rasmi MURoC diraih oleh pasukan dari Universiti Multimedia manakala gerai terbaik dimenangi oleh pasukan dari UniMAP. Hadiah kepada pemenang pertandingan adalah wang tunai RM2,000 bagi tempat pertama, RM1,750 tempat kedua dan RM1,500 bagi tempat ketiga. Bagi kategori gerai terbaik dan pembentang poster terbaik menerima hadiah RM500 manakala rekaan robot terbaik bagi setiap kategori, pemenang membawa pulang wang tunai RM300. |
Posted: RM2 juta Dana Inovasi USMOleh LEE HOOI BOON PULAU PINANG 28 Feb. – Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan Dana Inovasi berjumlah RM2 juta bagi mengkomersialkan produk penyelidikan yang dilakukan oleh para penyelidik dan pelajar universiti berkenaan. Naib Canselor USM, Profesor Datuk Omar Osman berkata, menerusi tabung tersebut, hasil kajian penyelidik dan pelajar dapat memasuki pasaran untuk ditawarkan kepada pihak berminat. Menurutnya, langkah itu dibuat berikutan banyak hasil penyelidikan tidak dapat dimanfaatkan oleh orang ramai kerana penyelidik tidak mempunyai kewangan untuk memasarkannya. "Lantaran itu, USM akan menggunakan dana ini dengan memberi RM50,000 maksimum kepada penyelidik untuk memasarkan produk mereka. "Bagaimanapun, bukan semua produk dapat dipasarkan kerana kami perlu menilai terlebih dahulu sama ada ia boleh digunakan oleh universiti sahaja atau berpotensi tinggi dalam pasaran," katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini. Dalam perkembangan lain, Omar memberitahu, USM berjaya memperoleh 14 pingat dalam Ekspo Teknologi Malaysia yang berlangsung minggu lalu. Daripada 14 pingat itu, jelasnya, lapan merupakan emas, empat perak dan dua gangsa. Katanya, beliau bangga dengan kejayaan tersebut dan berazam untuk berusaha lebih keras pada penyertaan akan datang. Antara produk yang memenangi emas dihasilkan oleh pasukan yang diketuai oleh Dekan Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Profesor Abdul Rashid Mohamed dinamakan Sistem Pentafsiran dan Penilaian Bacaan (Reads). Reads merupakan satu alat penilaian bacaan yang boleh menilai tahap penguasaan bahasa pelajar, bukan sekadar memberikan gred, tetapi juga mengesan kelemahan mereka. "Alat ini akan memberitahu pelajar tahap bacaan yang perlu dicapai bersesuaian dengan usia mereka. "Ia juga akan memberitahu masalah dan kelemahan supaya guru atau ibu bapa dapat memperbetulkan secara lebih berkesan. "Setakat ini, alat ini direka khusus untuk pelajar pelajar tingkatan satu hingga lima," ujarnya. |
84 belia luar negara teruja lawat Malaysia Posted: 84 belia luar negara teruja lawat MalaysiaSEBAHAGIAN daripada belia dari pelbagai negara gembira sewaktu menyertai program pertukaran belia antarabangsa di Tanjong Malim, Perak baru-baru ini. TANJONG MALIM 28 Feb. - Menyertai Program Pertukaran Belia Antarabangsa (IYE) selama lapan hari di daerah ini baru-baru ini, ternyata memberi pengalaman menarik kepada 84 belia dari luar negara. Selain berpeluang mengenali dengan lebih dekat budaya dan cara hidup masyarakat setempat, mereka yang berasal dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Korea, Nepal, Brunei, Monggolia dan Kenya turut didedahkan dengan konsep perpaduan yang diamalkan oleh rakyat berbilang kaum di negara ini. Kamal Powel, 24, dari Kenya berkata, pengalamannya sepanjang berada di negara ini tidak mungkin dilupakan kerana banyak perkara yang dipelajarinya. "Pada program ini kami berkesempatan menginap dengan keluarga anak angkat di Kampung Ketoyong tiga hari. "Selain itu, kami juga menyertai program khidmat masyarakat. Banyak yang saya pelajari tentang budaya, kepercayaan dan rakyat Malaysia. "Negara ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri dan saya amat menyukainya. Jika berkesempatan, saya ingin lagi datang ke sini," katanya kepada Utusan Malaysia di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di sini, baru-baru ini. Ye Kwang Jung, 27, dari Korea Selatan pula berkata, negara ini sangat unik kerana memiliki rakyat yang berbilang kaum dan pelbagai kepercayaan, namun masih dapat hidup dalam keadaan harmoni dan aman. "Saya terkejut melihat orang Melayu, Cina dan India boleh duduk dalam satu kedai makan tanpa berasa janggal. Ia satu kelainan yang nyata. "Ini berbeza dengan negara saya sendiri yang hanya mempunyai satu kaum dan menggunakan satu bahasa yang serupa, namun masih bertelagah sesama sendiri," katanya. Sementara itu, Pengarah Integrasi Nasional, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Suraya Wen berkata, konsep keharmonian rakyat negara ini yang ditonjolkan dalam program berkenaan berjaya mengubah persepsi belia terlibat yang tidak pernah datang ke Malaysia. "Hampir setiap bulan, kita menerima banyak permintaan untuk melawat negara ini terutamanya dari Korea. Sejak April tahun lalu sahaja, lapan lawatan dari Korea telah kita uruskan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Global Peace Festival (GPF) Malaysia. "Kebanyakan mereka yang datang amat kagum dengan keharmonian negara kita yang rakyatnya boleh hidup harmoni dan bersatu padu meskipun berlainan bangsa, agama dan budaya," jelasnya. Selain itu, kata Suraya, kepelbagaian jenis makanan tradisional termasuk buah-buahan dan keindahan alam semula jadi di negeri ini merupakan antara perkara yang paling mencuri tumpuan kumpulan belia ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan