Utusan Online - Dalam Negeri |
- Perkukuhkan perpaduan Melayu
- Polis cadang Peguam Negara dakwa Pengerusi Eksekutif NFC
- Nasib masyarakat Siam terus dibela
Posted: Perkukuhkan perpaduan MelayuOleh SAHBULAH DARWI dan SAFINA RAMLI Najib Tun Razak disambut meriah oleh masyarakat Siam pada Karnival Kasih YAB Perdana Menteri Bersama Masyarakat Siam seluruh Malaysia di Pendang sempena lawatan rasmi ke Kedah, semalam. - MINGGUAN/HALIM KHALID GURUN 25 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru orang Melayu memperkukuhkan perpaduan bersandarkan kekuatan sedia ada iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi memartabatkan kedudukan kaum itu di tempat yang tinggi dan semulia-mulianya. Perdana Menteri berkata, perpaduan Melayu dalam wadah perjuangan untuk agama, bangsa dan negara amat penting kerana ia adalah sendi utama kepada perpaduan nasional berbilang kaum di negara ini. "Perjuangan yang telah bermula sejak dulu sejak zaman (Allahyarham) Datuk Onn (Jaafar), perjuangan itu tidak ada nokhtah, tak sampai ke garis penamat kerana kedaulatan bangsa Melayu dan negara tidak berakhir dengan kemerdekaan. "Ia jadi pegangan untuk wadah perjuangan sehingga kita dapat memartabatkan bangsa Melayu dan negara di tempat yang semulia-mulianya. Selagi belum kesampaian kita perlu perjuangkan, rapatkan barisan, kuatkan perpaduan agar cita-cita pengasas negara menjadi realiti," katanya. Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Raksasa Perpaduan Gayung anjuran Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia di Modenas di sini hari ini. Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Yang Dipertua pertubuhan itu, Datuk Raja Abdul Majid Raja Mat Isa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah. Najib berkata, rentetan sejarah seni silat gayong menunjukkan ia berkait rapat dengan wadah perjuangan UMNO yang bertujuan mendaulatkan bangsa Melayu. Justeru, beliau berkata, seni silat gayong merupakan cerminan kepada perpaduan Melayu dan wadah perjuangan agama, bangsa dan negara yang dipelopori oleh pengasas seni silat itu, Allahyarham Mahaguru Datuk Meor Abdul Rahman Mohd. Hashim. "Perpaduan orang-orang Melayu melalui seni silat gayong ini adalah sebahagian perpaduan bangsa Melayu yang diperjuangkan," jelasnya. Perdana Menteri berkata, pesilat-pesilat sejati perlu menginsafi perjuangan sejak turun temurun yang menuntut keluhuran akhlak yang didasarkan kepada ilmu dan kesungguhan mengotakan janji. "Janji kita di setiap jemala pesilat kita ialah mempertahankan negara kita yang tercinta. Apabila kita berpegang kepada janji ini maka pendekar sejati akan mendahulukan watannya melebihi kemahuan diri. Kita tidak akan membiarkan kemahuan mengatasi tuntutan atas nama bangsa dan negara," katanya. Najib memberitahu, nilai dan seni yang bersangkut-paut dengan silat perlu dikembangkan, dibukukan dan diperturunkan dengan lebih meluas dalam masyarakat. |
Polis cadang Peguam Negara dakwa Pengerusi Eksekutif NFC Posted: Polis cadang Peguam Negara dakwa Pengerusi Eksekutif NFCKUALA LUMPUR 25 Feb. – Polis mencadangkan agar Peguam Negara mendakwa Pengerusi Eksekutif Pusat Fidlot Nasional (NFC), Datuk Dr. Mohamed Salleh Ismail (gambar) atas pertuduhan pecah amanah. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, cadangan itu terkandung dalam kertas siasatan yang sedang disiapkan polis, setelah dikembalikan pihak Peguam Negara Selasa lepas bagi menyiasat beberapa perkara lain. "Kita ada menyelitkan cadangan ini agar pihak Peguam Negara mengambil tindakan itu. Kertas siasatan ini akan dikembalikan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi malam ini. Isu NFC yang diterajui Mohamad Salleh, suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mula mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu menyatakan pusat itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya. Ia semakin panas selepas pembangkang mendakwa wujud penyelewengan terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC. NFC ialah projek Lembah Daging di Gemas, Negeri Sembilan yang bertujuan meningkatkan pengeluaran daging tempatan serta mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import. – BERNAMA |
Nasib masyarakat Siam terus dibela Posted: Nasib masyarakat Siam terus dibelaPENDANG 25 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus membela nasib masyarakat Siam di negara ini sebagai menghargai sokongan mereka kepada Barisan Nasional (BN). Sejajar dengan status mereka sebagai bumiputera, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan sentiasa memastikan masyarakat itu mendapat apa saja kemudahan seperti diperuntukkan kepada golongan bumiputera lain. "Kerajaan telah mengiktiraf masyarakat Siam adalah golongan bumiputera dan akan memastikan mereka mendapat keistimewaan seperti golongan bumiputera lain," katanya ketika merasmikan Sekolah Bahasa Siam di Watt Siam Titi Akar di sini hari ini. Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Boon Som Inong. Najib menambah, demi memastikan kebajikan masyarakat itu terjaga kerajaan juga akan mengkaji sebarang masalah yang dihadapi mereka dari semasa ke semasa. "Kerajaan sangat menghargai sokongan masyarakat Siam kepada BN pada pilihan raya umum lepas. Ini bukan retorik politik, tetapi saya mempunyai perangkaan kerana statistik menunjukkan lebih 80 peratus masyarakat Siam di kawasan ini mengundi BN walaupun di sebalik tsunami politik yang melanda ketika itu," katanya lagi. Dalam pada itu, kunjungan kali kedua Perdana Menteri ke Wat Titi Akar dekat sini turut bersama khabar gembira apabila mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi pentadbiran Sekolah Bahasa Siam yang dikendalikan secara persendirian oleh sami dan sukarelawan masyarakat itu. Menurut beliau, peruntukan tersebut sebagai menghargai usaha masyarakat Siam di negeri ini memulihara budaya dan bahasa mereka. Menurut Perdana Menteri lagi, kerajaan sentiasa menyokong usaha golongan tersebut memulihara bahasa ibunda yang disifatkan sebagai salah satu usaha mempertahankan jati diri mereka. "Kita amat bertuah apabila menjadi warga Malaysia dan menjadi rakyat yang boleh mengamalkan kepercayaan masing-masing walaupun Islam menjadi agama rasmi dan bahasa kebangsaan adalah bahasa Malaysia. "Sekiranya masyarakat Siam ingin memupuk jati diri budaya mereka melalui bahasa, ia bukan satu perkembangan yang menghairankan. Kerajaan tidak menyekat usaha ini selagi ia tidak memudaratkan negara," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan