Utusan Online - Dalam Negeri |
- Kerajaan sedia dedah surat Dr. Mahathir
- 11 April cuti umum pertabalan Agong
- TPM mahu hubungan Pusat-Sarawak dipereratkan
Kerajaan sedia dedah surat Dr. Mahathir Posted: Kerajaan sedia dedah surat Dr. MahathirOleh AMRAN MULUP MELAKA 24 Feb. - Kerajaan bersedia mendedahkan kepada umum surat Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada dua Perdana Menteri Israel iaitu Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak yang menyatakan Malaysia tidak akan mempunyai hubungan dengan negara tersebut selagi mereka tidak mengiktiraf kedudukan rakyat Palestin. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika tidak ada kemudaratan kepada negara, surat tersebut wajar didedahkan kepada rakyat bagi membuktikan dakwaan parti pembangkang bahawa Malaysia mempunyai hubungan dengan Israel adalah tidak benar. ''Saya sudah minta Wisma Putra menyemak surat itu dan meminta mereka untuk memberi ulasan sama ada surat tersebut boleh kita dedahkan. ''Tidak ada sebab kita tidak boleh dedahkan surat tersebut secara terbuka lebih-lebih lagi apabila pembangkang cuba menimbulkan kekeliruan dan mempertikaikan surat tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Minum Petang Bersama Rakyat dan walkabout di Jalan Bunga Raya dan Jalan Kee Ann, di sini hari ini. Najib diminta mengulas kenyataan Dr. Mahathir yang mengakui pernah menulis surat kepada Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Bekas Perdana Menteri itu berkata, surat yang ditulis itu adalah sebagai jawapan balas kepada surat yang diutus oleh dua pemimpin Yahudi itu yang meminta Malaysia mengubah pendirian dengan menjalin hubungan diplomatik dengan negara tersebut. Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pembangkang kini tersepit apabila menyatakan pendirian menyokong secara terbuka dan menyokong sebarang langkah untuk keselamatan Israel. Beliau menambah kenyataan pembangkang itu menimbulkan kemarahan yang begitu ketara dalam kalangan rakyat Malaysia. ''Akibatnya, mereka cuba mencari alasan kononnya kita ada hubungan dan kita ada membuat sesuatu dengan kerajaan Israel dan sebagainya. ''Salah tanggapan rakyat terhadap kita yang dibangkitkan oleh pembangkang wajar untuk kita hilangkan dan hanya surat itu akan membuktikan kebenarannya," katanya. Diminta mengulas mengenai pergolakan kepimpinan Kerajaan Pas Kedah, Najib berkata, Barisan Nasional (BN) akan mengambil sikap tunggu dan lihat apa yang akan berlaku pada Selasa ini. Beliau menyifatkan pergolakan di Kedah itu semakin hangat dan serius. | ||
11 April cuti umum pertabalan Agong Posted: 11 April cuti umum pertabalan Agong
PUTRAJAYA 24 Feb. – Istiadat pertabalan Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, akan diadakan pada Rabu, 11 April ini di Balairong Seri, Istana Negara diikuti Majlis Santapan Diraja pada sebelah malam. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, sempena istiadat tersebut kerajaan mengisytiharkan 11 April sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara. ''Pengisytiharan hari kelepasan am tambahan ini dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala Sabah dan Sarawak boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang negeri masing-masing," kata kenyataan itu di sini hari ini. Istiadat pertabalan itu sempena pelantikan baginda bagi menggantikan Sultan Mizan Zainal Abidin yang telah tamat tempoh pemerintahan pada 12 November tahun lalu. | ||
TPM mahu hubungan Pusat-Sarawak dipereratkan Posted: TPM mahu hubungan Pusat-Sarawak dipereratkanBINTULU 24 Feb. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu hubungan erat serta persefahaman yang telah dijalinkan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ini lebih 50 tahun lalu dipertahan dan dieratkan. Lebih-lebih lagi katanya, Kerajaan Persekutuan mempunyai keyakinan yang tinggi kepada kerajaan negeri dalam memainkan peranan utama untuk menentukan rancangan pembangunan negara mencapai matlamatnya. "Berikutan jalinan kerjasama yang telah mantap, hasilnya Sarawak mencatat kemajuan dan pertumbuhan yang membanggakan. "Ia menjadi lebih mudah apabila kita mempunyai matlamat dan pandangan yang sama selain memiliki aspirasi politik yang mendokong kerajaan yang sama," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bersempena lawatan kerjanya ke Bahagian Bintulu yang turut dihadiri Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan kira-kira 1,000 tetamu jemputan, di sini malam ini. Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, apa yang lebih penting ialah jalinan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri mendapat sokongan dan dokongan seluruh lapisan rakyat. Katanya, kerjasama rakyat menjadi antara faktor utama berjaya atau gagalnya apa jua dasar yang hendak dilaksanakan di semua peringkat. Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin menarik perhatian rakyat negeri ini terhadap kemampuan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kerjasama Menteri Besar dan Ketua Menteri merencanakan ekonomi negara walaupun iklim ekonomi global agak suram. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan