Isnin, 27 Februari 2012

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Acu pistol: Polis dipenjara sepanjang hayat

Posted:

Acu pistol: Polis dipenjara sepanjang hayat

Acu pistol: Polis dipenjara sepanjang hayat

PUTRAJAYA 27 Feb. - Gara-gara mengacukan sepucuk pistol ketika merompak dua buah kedai telekomunikasi, seorang anggota polis terpaksa meringkuk dalam penjara sepanjang hayat serta dikenakan 12 kali sebatan selepas rayuan akhirnya ditolak oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Ketika kejadian, Aeleh Wahab, 38, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dan melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di kawasan Dengkil dekat sini. Salah satu kejadian berlaku ketika dia sedang bercuti.

Anggota pangkat rendah itu didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) yang mana satu-satunya hukuman yang diperuntukkan ialah penjara seumur hidup.

Bagaimanapun, menurut tafsiran Seksyen 2 akta tersebut, penjara seumur hidup membawa maksud pemenjaraan sepanjang hayat iaitu selama tempoh hayatnya dikenakan hukuman (sehingga mati).

Ia berbeza dengan tafsiran penjara seumur hidup bagi kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang membawa maksud penjara maksimum 20 tahun.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Wira Low Hop Bing yang bersidang bersama Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali menolak rayuannya secara sebulat suara selepas berpuas hati bahawa rayuan itu tiada merit.

Mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Klang yang menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan enam kali bagi setiap tuduhan yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.

Tuduhan pertama, Aeleh disabitkan mempamerkan pistol jenis revolver .38 Special Smith & Wesson ke arah pembantu kedai, Noridayu Abdullah ketika merompak premis berkenaan yang menyebabkan ketakutan terhadapnya.

Dia melakukan perbuatan itu pukul 10.30 pagi, 14 April 2006 di New Telecommunications Ent., Jalan Ayer Itam, Dengkil.

Menurut keterangan semasa perbicaraan, sewaktu kejadian, anggota tersebut sedang bercuti.

Tuduhan kedua, dia disabitkan berbuat demikian terhadap pemilik kedai, Tiew Bon Piau ketika merompak premis Astini Teleshop, No. 27 Jalan Kenanga 2, Taman Dengkil Jaya, Dengkil pukul 3.30 petang, dua hari kemudian.

Mengikut keterangan anggota bahagian stor senjata, Aeleh mengambil pistol pertama untuk tempoh satu setengah jam dan memulangkannya semula selepas digunakan. Pistol kedua pula dikembalikan selepas 40 minit digunakan.

Sebelum itu, peguam Mohd. Aminuddin Mohd. Ramli yang mewakilinya menghujahkan, intipati pertuduhan tidak dipenuhi oleh pihak pendakwaan kerana tiada ujian balistik dilakukan terhadap pistol tersebut bagi memastikan ia masih berfungsi atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Munahyza Mustafa berhujah bahawa keterangan saksi-saksi menyatakan, ujian balistik tidak perlu kerana pistol yang disimpan di stor senjata memang berfungsi, manakala anggota polis tidak memerlukan lesen untuk membawanya.

Mesnayo bunuh bekas isteri selepas enam bulan bercerai

Posted:

Mesnayo bunuh bekas isteri selepas enam bulan bercerai

Mesnayo bunuh bekas isteri selepas enam bulan bercerai

JOHOR BAHRU 27 Feb. - Sikap cemburu seorang warga emas menyebabkan dia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh bekas isterinya Mac tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu terhadap Mesnayo Longdi, 69, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh membunuh bekas isterinya, Demeh Tinak, 44, bermotifkan cemburu.

"Sepatutnya tertuduh tiada hak untuk mempunyai perasaan cemburu ke atas mangsa kerana sudah berpisah dengan mangsa.

"Mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas pertuduhan kes itu dan dengan ini mahkamah mendapati kamu bersalah," katanya ketika prosiding kes berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Mesnayo yang merupakan warga Indonesia tetapi sudah mendapat taraf penduduk tetap didakwa membunuh bekas isterinya di rumah sewa mangsa di No. 88, Jalan Seniman 2, Kampung Seri Serdang, Batu 6, Tampoi pada pukul 2.40 petang, 16 Mac 2011.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap bercerai dengan Demeh yang bekerja sebagai tukang urut tradisional enam bulan sebelum kejadian.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam bela, Chong Sai Oe.

Sebelum ini, tertuduh didakwa bersama seorang lelaki, Amir Che Muda, 31, namun dia dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah pada 30 Januari lalu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan