Utusan Online - Rencana |
Reformasi melawan transformasi Posted: Reformasi melawan transformasiNordin Kardi HAKIKATNYA pilihan raya Parlimen Malaysia (biasanya berserta juga Dewan Undangan Negeri) sudah semakin hampir. Mustahil ia semakin jauh kecuali ada elemen lain yang melenyapkan terus institusi pilihan raya itu. Persaingan kian menjurus kepada perlawanan dua aliran. Belum ada sebarang tanda serius kewujudan aliran ketiga. Pakar gerak saraf kedua-dua aliran itu tentu sedang bekerja keras memastikan strategi perang psikologi mereka lebih ampuh berbanding strategi lawan. Barisan Nasional (BN) adalah sebuah entiti halal dan berdaftar, sebaliknya lawan kepadanya masih berupa entiti bersekedudukan hanya untuk keselesaan politik. Walaupun rakan saya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof sering memberi isyarat mengalu-alukan pendaftaran lawan kepada BN di bawah satu parti, hal ini belum terjadi oleh sebab-sebab yang antaranya diketahui oleh mereka yang di dalam sahaja selain sebab-sebab terkini yang sudah bukan misteri kepada orang awam. Bagi memulakan apa-apa perang saraf selalunya perancang akan mencari slogan yang berbunyi agung kepada kumpulan mereka. Dalam hal inilah pihak lawan BN mendahului dengan menjulang apa yang mereka namakan sebagai 'reformasi' pada penghujung 1990-an lagi. Sebagai reaksi kepada slogan reformasi, BN pula kini tampil dengan slogan yang bunyinya mirip iaitu 'transformasi'. Para pengikut reformasi terutamanya memasarkan slogan itu dengan pelbagai cara dan media. Amat menarik diperhatikan, perkataan reformasi seperti difahami pada semua peringkat penganut, daripada pemimpin tertinggi hinggalah pemimpin jalanan kumpulan yang melawan BN berbanding perkataan 'transformasi' yang nampaknya hanya diucapkan dan difahami oleh Pengerusi BN. Bahkan, pemimpin-pemimpin yang terdekat dengan beliau juga kurang mengucapkannya. Nampaknya pemimpin terdekat dengan Pengerusi BN dan pengikut-pengikutnya lebih selesa memasarkan slogan 1Malaysia berbanding slogan 'transformasi'. Segolongan anak-anak muda yang menjadi pengikut kumpulan yang menentang BN nampaknya begitu bangga dan sukarela menggelar diri sendiri sebagai 'reformer'. Seperti biasa, oleh sebab kebanyakannya saya lihat malas membaca, mudah tergoda dengan perkataan itu yang disampaikan oleh orang tua-tua yang hampir dengan mereka. Perkataan 'reformasi' baharu mereka jumpa dan dengar, lalu mereka dokong erat sebagai perkataan yang mempunyai prestij tertentu tanpa sedar apakah erti dan asal usul atau etimologi perkataan reformasi itu. Kumpulan orang muda yang kadang kala bersuara sombong itu melihat dengan sinis bahawa mereka yang tidak mendukung seruan reformasi sebagai ketinggalan zaman dan tidak mengikut fesyen semasa. Mereka tidak sedar perkataan reformasi itu adalah perkataan yang sudah antik yang cuba diberi nafas semula oleh ketua-ketua mereka yang juga sudah berfikiran antik. Jika mereka mengkaji dan menganalisis sejarah hidup ketua-ketua mereka itu, akan dijumpai kenyataan bahawa ketua-ketua yang dianggap begitu berilmu itu ialah kumpulan yang berfikiran tertutup dan gagal menguasai pelbagai ilmu yang berkembang secara letupan. Masih, pada milenium ke-21, setelah begitu banyak rujukan baru dengan doktrin-doktrin kemanusiaan yang baru, terdengar berkali-kali pemimpin utama mereka merujuk Arnold Toynbee, yang selain disanjung kehebatan akademiknya, tidak banyak yang tahu dia adalah pekerja di Kementerian Luar British, secara khususnya di Jabatan Risikan Politik. Toynbee menjadi pakar runding dan penasihat risikan luar negara kepada kerajaan British terutamanya mengenai Asia Barat. Oleh itu, tidak mustahil mendiang terlibat menasihatkan Balfour mewujudkan national homeland Israel di bumi Palestin seperti tulisan saya yang lalu. Anak-anak muda Melayu yang terasa berprestij dan berfesyen menyertai seruan reformasi tidak menyedari yang mereka sedang dalam perjalanan balik ke belakang di bawah pengaruh pemimpin-pemimpin berfikiran antik. Mereka tidak tahu bahawa sejarah reformasi berasal daripada perpecahan pelbagai kumpulan yang menentang Katolik Rom yang kemudiannya melahirkan gereja-gereja Protestant di Eropah. Reformasi berasal daripada rebutan politik kerana adanya dua pihak yang masing-masing mengaku mempunyai Pope yang tulen. Pada umumnya pencatat-pencatat sejarah bersetuju reformasi berlaku pada kurun ke-17 yang disebut juga sebagai magisterial reformation. Anak-anak muda menyangka jika reformasi di Malaysia berlaku, negara ini akan berubah ke arah yang mereka kehendaki. Sejarah reformasi menunjukkan keadaan berlainan daripada yang mereka kehendaki. Reformasi akan memanjangkan pertelingkahan, persengketaan dan peperangan kelompok-kelompok yang berpanjangan. Contoh semasa boleh disaksikan di Afghanistan, Iraq, Mesir dan tidak ketinggalan pasca Marcos di Filipina. Di Eropah, reformasi yang disebutkan telah mengakibatkan perang saudara di seluruh Eropah yang mengambil masa beberapa dekad. Muncul kumpulan-kumpulan seperti Lutheran, Polish-Lithuanian Commonwealth, Puritan, Huguenots dan sebagainya. Terbukti reformasi penentangan tidak akan melenyapkan yang lama dengan kemunculan gerakan baru. Kemunculan pelbagai aliran hasil reformasi itu tidak sekali-kali berjaya melenyapkan katolik Rome. Demikianlah pengajaran reformasi kepada anak muda Malaysia yang menyangka semua orang boleh ditewaskan dan menyerah kalah jika kumpulan mereka menang. Eropah moden tidak lagi berminat dengan reformasi kerana mereka tahu reformasi tidak membawa erti penyatuan umat. Oleh itu mereka tampil dengan gagasan moden European Union untuk menyatukan fikrah dan kehidupan seluruh umat Eropah. Malangnya manusia di bumi lain, terutamanya negara mundur tergoda mengutip idea reformasi yang ketinggalan zaman itu. Sedang Malaysia megah menuju menjadi negara maju dan bertekad membawa kebajikan kepada rakyatnya, muncul gerakan reformasi yang dipelopori oleh pemimpin yang berfikiran dunia ketiga. Ini menjadikan orang negara maju akan tertawa melihat Malaysia, walaupun telah jauh meninggalkan kedudukannya sebagai negara mundur, ada rakyatnya yang masih berfikiran kuno dan ketinggalan zaman semata-mata kerana mengambil jalan mudah mengsosiasikan diri dengan apa yang mereka panggil sebagai 'kemuliaan perjuangan' tanpa tahu memilih yang mana intan dan yang mana kaca. Anak-anak muda generasi 'Y' sepatutnya memilih menjuarai gerakan 'transformasi' kerana asal usul transformasi sangat berkaitan dan dekat dengan mereka yang sepatutnya berfikiran saintifik pada milenium ke-21 ini. Transformasi adalah istilah yang tercipta daripada dunia biologi yang sangat saintifik. Mereka yang berada dalam dunia saintifik biologi molekular tentu dapat menerangkan dengan menarik sekali apakah itu 'transformasi' yang sepatutnya menjadi rujukan anak-anak Malaysia moden terutamanya mahasiswa di pengajian tinggi pada masa kini. Anak-anak muda sewajarnya menghakmilikkan gerakan transformasi supaya tidak hanya menjadi slogan Perdana Menteri Malaysia berseorangan. Transformasi muncul seiring dengan tamadun sains melawan tamadun hantu dan tahyul. Transformasi boleh terjadi secara 'natural' dan 'artificial' dan sangat sedikit digunakan untuk kejahatan dengan niat kerana proses transformasi sangat transparence dan tidak berbohong. Oleh sebab transformasi boleh dihuraikan secara saintifik, penggunaan transformasi untuk tujuan jahat akan cepat dapat dikesan berbanding reformasi yang sering menyilaukan pemandangan termasuk orang yang kelihatan waras. Dapatan sains juga menunjukkan transformasi memerlukan genetik yang stabil bukan yang lemah. Transformasi berlaku dengan baik antara DNA spesies yang dekat dan saling berhubungan. Ini boleh ditafsirkan bahawa dalam konteks menjayakan transformasi Malaysia muncul menjadi penyumbang tamadun agung kemanusiaan, rakyat Malaysia hendaklah mempunyai keeratan hubungan, kesatuan fikiran dan kekuatan tersendiri untuk menjadi 'perumah' kepada proses transformasi itu. Pemikiran-pemikiran antik dan pseudo-intelektual akan menjadi bakteria lemah yang menggagalkan pengembaraan penting Malaysia di abad ke-21. Apa pun segala-galanya terpulang kepada anak-anak muda Malaysia. Mahu kembali kuno dengan slogan 'reformasi' yang bukan berasal dari bumi ini atau mahu mengalir bersama-sama menjadi masyarakat saintifik dengan gaya tersendiri seperti yang disebutkan dalam Wawasan 2020. Perahu di air dan dayung di tangan. Dayunglah dengan mata fikir yang jitu dan rapi. |
Lantik Ketua Pegawai Eksekutif GLC 'berkelayakan' Posted: Lantik Ketua Pegawai Eksekutif GLC 'berkelayakan'Oleh ROHAMI SHAFIE KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) berada dalam kedudukan tertinggi dalam hierarki pengurusan sesebuah syarikat. Sesiapa yang dilantik sebagai CEO syarikat bertanggungjawab mengepalai pihak pengurusan dan melaksanakan strategi yang dirangka oleh Ahli Lembaga Pengarah (ALP). Di Malaysia yang mengguna pakai sistem tadbir urus korporat yang diamalkan di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) cenderung ke arah memberi kuasa besar kepada CEO dalam sebarang pelaksanaan keputusan ALP syarikat. Sistem yang diguna pakai banyak bergantung kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai satu pengukuran kewibawaan dan keupayaan CEO dalam melaksanakan tugas-tugasnya. KPI ini banyak bergantung kepada keuntungan semata-mata. KPI diamalkan untuk semua jenis syarikat termasuklah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Namun, KPI yang hanya berdasarkan keuntungan semata-mata boleh memberi implikasi negatif kepada keseluruhan syarikat. Malahan, cara pengukuran ini juga boleh memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara. Lebih-lebih lagi jika ia amat ditekankan dalam GLC. Umum mengetahui, GLC sering kali dikritik kerana tidak menggunakan sepenuhnya keistimewaannya untuk membantu kaum bumiputera dan orang Melayu. Acapkali kali kita dengar keluh-kesah kaum Bumiputera bahawa GLC tidak membantu mereka sepenuhnya. Keupayaan orang luar lebih diyakini walhal keupayaan "orang dalam" ada dalam banyak keadaan lebih baik daripada keupayaan orang luar. Orang dalam ini lebih mengetahui selok belok operasi syarikat, sedangkan pihak pengurusan atasan yang diketuai oleh CEO lebih berminat mengambil khidmat orang luar. CEO yang dilantik akan mengambil rakan-rakan mereka dari luar yang kononnya lebih bagus daripada orang dalam itu sendiri. Lebih buruk lagi jika sekiranya CEO yang dilantik juga dari luar yang tidak memahami inspirasi, objektif, misi dan visi GLC. Paling teruk, keupayaan beliau sebelum dilantik sebagai CEO dinilai berdasarkan kejayaan membantu syarikat-syarikat lain walhal apabila dilantik dalam sesebuah GLC beliau tidak memahami selok-belok GLC tersebut. Sering kali mereka tidak mampu melaksanakan tugasan hakiki mereka lebih baik berbanding orang dalam yang telah berpengalaman luas dalam GLC tersebut. Maka, keluh kesah akan kedengaran di kalangan para pekerja betapa CEO GLC seolah-olah tidak mahir melaksanakan kerja kerana tidak memahami keseluruhan syarikat. Beliau akan bergantung sepenuhnya pada rakan-rakan beliau yang dibawa dari luar sedangkan mereka ini juga tidak memahami apa yang berlaku dalam GLC dek kerana cetek pengalaman dalam GLC tersebut. Apabila orang dalam yang lebih memahami dan berpengalaman tidak dihargai, apa yang akan terjadi ialah motivasi mereka akan semakin menurun. Implikasinya, KPI asal iaitu sasaran keuntungan tidak dapat dicapai dengan adanya permasalahan sebegini. Sebab itulah, seelok-eloknya melantik CEO yang benar-benar berkelayakan bukan atas dasar kejayaan yang lepas sahaja tetapi juga berpengalaman luas dalam GLC tersebut. Itu belum termasuk ada di kalangan CEO yang membuat keputusan tanpa meminta pandangan pihak kesatuan sekerja sedangkan aset terpenting dalam sesebuah syarikat adalah modal insan. Keputusan penting yang dibuat tanpa melibatkan pihak pekerja memberi kesan besar dalam jangka masa panjang. Para pekerja akan melihat seolah-olah mereka dipinggirkan. Lebih teruk lagi, mereka berasakan kebajikan dan nasib mereka tidak dibela. Ini belum diambil lain-lain pertimbangan seperti kenaikan gaji dan juga pemberian bonus yang mana berlakunya sindrom memilih bulu terutamanya untuk kepentingan diri sendiri dan orangnya sahaja. Apa yang dirisaukan para pekerja tidak berpuas hati dan bangun untuk menyuarakan hak mereka kerana mereka tidak dibayar setimpal dengan usaha mereka. Jurang perbezaan ganjaran yang amat ketara (gaji dan bonus) di antara pihak pengurusan atasan dan para pekerja bawahan merumitkan lagi keadaan sesebuah GLC. Tidakkah kesan akhirnya adalah ke atas kaum Bumiputera, rakyat dan negara? Malahan vendor-vendor bumiputera juga akan terima tempiasnya angkara CEO yang dilantik tidak memahami dan menghayati roh untuk membantu kaum bumiputera. Maka, tidak mengejutkan apabila ekuti kaum bumiputera masih lagi ditakuk yang sama selepas 22 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) berakhir. Maka, yang terpalit nama buruk tidak lain tidak bukan nama baik kerajaan. Yakinilah, CEO GLC dilantik oleh kerajaan, oleh itu, ia membawa imej kerajaan kepada para pekerja dan rakyat. Setiap tindakan positif yang membela nasib kaum bumiputera, para pekerja, rakyat dan negara akan meningkatkan imej kerajaan di mata rakyat, manakala sebarang tindakan negatif yang hanya mementingkan diri sendiri dan rakan-rakan beliau akan mencemarkan nama baik kerajaan selama ini. Jangan dipandang enteng perkara ini kerana tidak mustahil para pekerja dan rakyat akan menyalahkan kerajaan. Rakyat kini tidak sebagaimana dahulu kerana lebih mementingkan nasib mereka dibela pada setiap masa dan pada masa yang sama mahukan kepuasan dalam mendapatkan perkhidmatan GLC. Semuanya banyak bergantung kepada keupayaan, kelayakan, kewibawaan dan pengalaman yang bakal, sedang dan akan digunakan oleh CEO GLC. Justeru, jangan sesekali tersilap pilih. Lantiklah mereka yang benar-benar terbaik. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan