Selasa, 28 Februari 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


UKM muncul juara pertandingan debat Piala Perdana Menteri

Posted: 28 Feb 2012 03:43 AM PST

KUANTAN: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul juara dalam pertandingan akhir Debat Perdana Integriti Piala Perdana Menteri yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, hari ini.

UKM bertindak sebagai pencadang dalam pembentangan usul bertajuk 'Pembinaan Integriti Mahasiswa Terencat' mengalahkan pasukan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA).

Pasukan UKM yang dibarisi Abdul Hakim Md Yusoff, Mohamed Affendy Hasni, Mohd Yusry Hydrus dan Najah Izzati Suleman itu membawa pulang wang tunai RM6,000, sebuah komputer riba setiap seorang, piala pusingan dan piala iringan.

Mohd Yusry Hydrus turut dinobatkan selaku pendebat terbaik, sekaligus membawa pulang RM1,000, piala pusingan dan piala iringan serta sijil penyertaan.


UnisZA, yang bertindak sebagai pembangkang pula membawa pulang RM4,000 dan piala iringan.


Pertandingan itu yang melibatkan penyertaan 19 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam, 10 buah Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan dua buah Institusi Pendidikan Guru berlangsung selama empat hari bermula Jumaat lepas.

Penganjuran bertemakan Integriti Menjana Transformasi adalah hasil kerjasama Institut Integriti Malaysia, UMP dan Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia. -- BERNAMA



Bapa tunggu anak di sekolah parah ditembak lelaki

Posted: 28 Feb 2012 02:01 AM PST

PETALING JAYA: Seorang bapa, yang sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah, cedera di rusuk kirinya akibat ditembak beberapa lelaki di luar premis Sekolah Rendah Kebangsaan La Salle, Jalan Templer di Taman Gasing di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, lelaki berusia 36 tahun yang menunggu anaknya dalam kereta Proton Wira Aeroback, telah dihampiri beberapa lelaki bermotosikal yang kemudian melepaskan enam das tembakan ke arah lelaki itu.

"Dua daripada tembakan itu mengenai mangsa dan selebihnya mengenai kenderaannya. Mangsa yang dalam keadaan cedera kemudian melarikan diri dengan keretanya sejauh enam kilometer sebelum melanggar tiang lampu dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata mangsa kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan dan dia kini dalam keadaan stabil.


Arjunaidi berkata mangsa kini terlibat dalam satu kes perbicaraan kes samun di mahkamah di sini.


Beliau berkata polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan polis kini dalam usaha mendapatkan keterangan saksi di tempat kejadian.

Sementara, seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Albert, 38, berkata beliau ternampak kereta mangsa melanggar sebuah tiang lampu di kawasan perumahan.

"Kemudian, kereta mangsa melanggar pula sebuah Pajero yang di parkir di hadapan sebuah rumah. Saya menghentikan kereta saya untuk membantu mangsa, yang tidak sedarkan diri dan cedera di rusuk kirinya.

"Saya kemudian membawa mangsa ke PPUM kerana kecederaannya agak serius," katanya. -- BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan