Isnin, 9 Mei 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Jakim mesti luar biasa

Posted:

Jakim mesti luar biasa

Jakim mesti luar biasa




SEJAK ditubuhkan 43 tahun lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjadi antara 'benteng pertahanan' paling kental bagi umat Islam di negara ini dalam mendepani pelbagai isu agama.

Dalam melaksanakan tugas itu, Jakim tidak terlepas daripada kritikan dan tohmahan. Antaranya tidak cukup tegas, lambat bertindak dan memihak kepada kerajaan.

Ada di kalangan para agamawan di negara ini yang sekali sekala mempolemikkan hal-hal yang disifatkan sebagai ranting sehingga kelihatan Jakim tidak 'mampu' berbuat apa-apa untuk menghalangnya.

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Ketua Pengarah (KP) Jakim, OTHMAN MUSTAPHA yang dilantik memegang jawatan itu sejak 24 April 2011.

UTUSAN: Melihat kepada ucapan sulung sebagai KP, tuan memberi tumpuan kepada meningkatkan tahap efisien Jakim di semua peringkat. Mengapa ini diberi penekanan?

OTHMAN: Saya memandang jawatan ini adalah taklif yang amat berat, dan pastinya saya akan menggalasnya dengan penuh rasa tanggungjawab.

Dalam ucapan itu, saya memberi isyarat kepada warga Jakim bahawa 2011 ini adalah tempoh kritikal bagi Jakim meneruskan bahtera yang dikemudi sejak 43 tahun lalu.

Ini kerana dalam konteks Jakim, kami berusaha melunaskan segala janji dalam dokumen Pelan Strategik Jakim 2009- 2014. Pada saya, pelan strategik itu adalah wawasan dan hala tuju perdana Jakim yang amat komprehensif dan mesti digerakkan dalam memastikan Islam terus diperkasakan di negara ini. Keduanya, Pelan Strategik itu juga akan memastikan Jakim tidak karam di lautan.

Sebagai jabatan yang dianggotai dan digerakkan oleh orang Islam sepenuhnya (ustaz, ustazah), Jakim sepatutnya menjadi jabatan terbaik dan dicontohi oleh jabatan lain. Malangnya, insiden seperti penyalahgunaan kuasa, kurangnya diplomasi semasa berurusan dengan masyarakat dan budaya menghukum sedikit sebanyak mencalarkan imej Jakim. Bagaimana membetulkan keadaan ini?

Ini juga satu cabaran besar yang mahu tidak mahu mesti diterima. Memegang imej Islam adalah suatu amanah yang besar. Kerana apabila pelakunya membuat silap, sudah pasti kesannya akan terpalit kepada organisasi yang membawa payung Islam.

Oleh itu, saya sentiasa berpesan kepada diri saya dan seluruh warga Jakim, tidak kira walau apa jua gred jawatan disandang, walau apa jua skim perkhidmatan, apabila berada di bawah bumbung Jakim, kita semua adalah generasi pembela Islam.

Oleh itu, saya menggariskan beberapa perkara. Pertama, 'orang Jakim' mesti memiliki personaliti unggul dan kedua, mesti menjadi pekerja yang ada nilai di 'luar kebiasaan'. Saya kira kedua-dua elemen ini mesti disatukan.

Sebagai pihak berkuasa tertinggi agama di Malaysia, Jakim adakalanya menjadi sasaran kemarahan masyarakat apabila dilihat gagal menyeragamkan hal berkaitan fatwa. Contohnya, pengharaman ESQ oleh Mufti Wilayah Persekutuan tetapi tidak di negeri-negeri lain. Apakah kedudukan sebenar Jakim dalam hal begini?

Saya kira semua pihak perlu memahami sejarah dan bidang tugas institusi agama di Malaysia. Di negara kita, perkara berkaitan agama Islam terletak dalam bidang kuasa negeri-negeri. Dasar ini adalah jelas termaktub dalam Jadual Kesembilan, Senarai 2, Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, di peringkat Persekutuan, memang tersedia platform yang menghimpunkan mufti-mufti seluruh Malaysia melalui forum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (MJFK).

Sebenarnya isu ESQ hanyalah kes terpencil yang menunjukkan perbezaan keputusan hukum di negeri-negeri. Namun, tanpa kita sedari, banyak keputusan MJFK yang diterima baik oleh seluruh Jawatankuasa Fatwa negeri-negeri sehingga difatwakan di semua negeri dalam nada sama dengan keputusan MJFK.

Kedua, Jakim melipatgandakan usaha dengan mengadakan banyak program turun padang ke negeri-negeri untuk menjelaskan keputusan fatwa.

Yang berlaku kadang kala perbezaan keputusan fatwa antara negeri disebabkan perbezaan sumber rujukan oleh AJK Fatwa Negeri. Masing-masing ada nas dan hujah mantap. Lagi pun, dalam keadaan tertentu, isu di negeri 'A' misalnya tidak sama dengan apa yang berlaku di negeri 'B'. Ini yang menyebabkan seolah-olah kita kelihatan tidak seragam.

Kita selalu dilihat mengalah dan sering bertolak ansur dalam isu-isu membabitkan perpaduan kaum. Ini termasuk dalam percetakan injil (al-kitab) dalam bahasa Melayu. Ini menyebabkan, sebahagian umat Islam mengaitkannya dengan lemahnya kerajaan dan Jakim dalam mempertahankan hak kedudukan agama Islam sebagai mana termaktub dalam Perkara 3 (1) dan Perkara 11 Perlembagaan.

Jakim menyambut baik pelbagai usaha dan strategi bagi mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Namun, dalam soal yang menyentuh sensitiviti dan kesucian agama Islam, Jakim tetap berpegang kepada prinsip yang jelas termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang yang memelihara dan menjaga kesucian agama Islam sebagai agama rasmi.

Dalam soal penerbitan Injil dalam bahasa Melayu, Jakim berpegang kepada prinsip pengeluaran kitab Injil berbahasa Melayu hanya di Kuching dan Pelabuhan Klang secara terhad dan terkawal sahaja selaras dengan warta 1982 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang mana ia mesti dicap dengan tag "untuk penganut Kristian sahaja".

Jakim tetap berpegang kepada Warta 1982 bahawa kalimah 'Allah' tidak boleh digunakan dalam penerbitan itu selaras dengan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang berkuat kuasa di negeri-negeri.

Di negara ini, hanya orang Islam yang menggunakan perkataan Allah. Oleh itu, jika kitab injil tersebut menggunakan kalimah Allah, kekeliruan akan timbul di kalangan masyarakat Islam khususnya golongan muda yang belum mantap akidahnya.

Perkara ini juga selaras dengan kehendak Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan amalan sesuatu agama yang bertentangan dengan ketenteraman awam, sosial dan moral. Dalam hal ini, penggunaan kalimah Allah oleh agama lain akan mencetuskan kemarahan orang Islam.

Dakwah adalah aspek utama menjadikan umat terbaik. Apakah strategi Jakim melatih kader-kader dakwah yang bukan sahaja mengamalkan pendekatan menggembirakan tetapi juga mewah?

Saya amat bersetuju. Dakwah adalah antara aspek utama mencorakkan umat Islam baik dalam aspek rohani, mental dan fizikal. Oleh itu, bermula tahun ini, Jakim semestinya melaksanakan agenda rekayasa dakwah.

Saya nyatakan kepada warga Jakim, program-program kita tidaklah perlu bersifat upacara dan popular semata-mata. Saya amat bimbang jika trend program dakwah semata-mata dalam dewan seminar atau bilik kuliah, khalayak sasaran dakwah kita tidak besar. Kita mesti agresif dan turun padang bertemu masyarakat.

Aspek kedua, saya akan melaksanakan Indeks Prestasi Utama (KPI) dakwah. Saya tidak mahu para pendakwah Jakim hanya syok sendiri, sebaliknya saya mahu ada sasaran.

Jadi selepas ini, program dakwah Jakim mesti fokus dan terarah. Ketiga, saya juga tetap berpegang kepada prinsip, tugas dakwah bukan milik Jakim sahaja. Sebaliknya amanah dakwah ini adalah milik semua pihak.

Bagaimana Jakim mahu menangkis penyebaran fahaman selain Ahli Sunnah wal Jamaah dalam media baru dan apakah strategi untuk memperbanyakkan bahan rujukan yang berkaitan?

Saya akui akan kuasa media baru pada hari ini. Media baru mampu merubah landskap dunia dalam pelbagai aspek. Ini antara cabaran besar kita semua. Hari ini kalau kita taip sahaja perkataan 'Islam' di web yang menawarkan ensiklopedia percuma, kita akan dapati banyak artikel yang akan muncul.

Tetapi lebih menggusarkan kita, artikel itu menghuraikan Islam dalam huraian yang tidak tepat bahkan adakalanya menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Ini amat membimbangkan kita. Kerana itu tidak pelik, pada hari ini, masyarakat Barat terus mempopularkan slogan Islamofobia untuk menakut-nakutkan masyarakat dunia. Pada saya ini merupakan fitnah besar yang sengaja dirangka.

Sudah tiba masanya kita memperhebatkan usaha memperbanyakkan artikel dan tulisan berkenaan Islam di media baru sama ada melalui laman sosial Facebook, Twitter, blog, laman web dan sebagainya.

Saya berpendapat, para agamawan di Malaysia hari ini, wajib mempelajari ilmu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Apa pendekatan untuk memastikan adab ikhtilaf ini tidak sehingga menjejaskan perpaduan umat. Contoh terbaru, kedatangan Sheikh Sudais menimbulkan polemik kononnya menyebar luas fahaman wahhabi?

Pada hemat saya telahan itu sangat tidak tepat. Sheikh Sudais adalah tokoh agama yang disegani. Kedatangan beliau ke Malaysia tempoh hari adalah sebagai tetamu negara.

Sheikh Sudais adalah orang yang sentiasa kita ingati suaranya apabila kita pergi ke Mekah. Jadi semasa di sini, selain memberi ceramah, ramai yang minta beliau membaca al-Quran untuk mengubat kerinduan mendengar suaranya di Masjidil Haram.

Kita boleh berbeza pendapat tetapi janganlah sampai melanggar prinsip usul dalam agama. Perpaduan, persepakatan, keharmonian adalah kewajipan yang mesti dijaga.

Saya lihat, semasa di sini, Sheikh Sudais tidak ada berkempen mengembangkan fahaman wahhabi di Malaysia. Dalam khutbah Jumaat yang disampaikan pun tidak menyebut pun hal itu. Sebab itu, jangan kita suka label melabel orang. Walaupun kita ada ilmu, kita tidak boleh menuduh orang sembarangan walaupun orang itu katakan salah, daripada segi adabnya tidak boleh menuduh.

Saya tidak setuju orang Jakim yang begitu, suka menuduh. Soalnya, adakah kita orang yang amat sempurna? Kita perlu mengambil iktibar daripada akhlak para sahabat dan fuqaha silam yang amat memahami dan mengamal adab dalam berbeza pendapat.

Allah SWT juga telah memberikan formula persepakatan kepada kita semua seperti firman-Nya dalam surah an-Nisa' ayat 59.

Ayat ini memberi satu iktibar yang besar kepada kita semua, iaitu sebarang pertikaian mestilah kita membuat rujukan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Saya suka menyebut begini, jika orang bukan Islam pun kita boleh hormat, apatah lagi orang Islam seperti Sheikh Sudais yang dihormati di seluruh dunia.

Umat Islam hari ini mesti memperkemaskan barisan kesepakatan. Kita punya agenda yang lebih besar, iaitu berfikir dan bertindak untuk membangunkan umat.

Oleh itu, apa saja tindakan yang kita mahu lakukan, pastikan ia dapat menjulang tinggi prinsip Maqasid Syariah yang digariskan oleh Islam.

Baru-baru ini timbul gesaan agar diwujudkan garis panduan dalam masjid. Ia ekoran berlakunya tindakan pencemaran kesucian masjid di Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini. Perlukah garis panduan sedemikian?

Saya berpendapat semua pihak sepatutnya memahami fungsi masjid. Masjid adalah tempat ibadah umat Islam kepada Allah SWT. Institusi masjid adalah institusi mulia yang perlu diimarah dengan program menyuburkan iman, mengeratkan perpaduan dan mengekalkan ukhuwah islamiah.

Sepatutnya semua pihak menjadi golongan yang memakmurkan masjid. Dasar ini jelas dalam firman Allah dalam ayat 18 surah at-Taubah. Pedoman sunnah juga menunjukkan kepada kita ketika peristiwa hijrah, masjid adalah lambang perpaduan yang menyatukan kaum muhajirin dan ansar.

Dalam hal ini, Jakim telah menerbitkan buku berjudul Tatatertib di Masjid pada 2009 dan semua pihak boleh merujuk buku tersebut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Anwar terus 'putar alam'

Posted:

Anwar terus 'putar alam'

Anwar terus 'putar alam'

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim memaki hamun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu ceramah politik di Klang, pada Ahad lalu bukanlah satu kejutan.

Sebaliknya, ia semakin mendedahkan bagaimana Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu semakin tidak mampu mengawal diri berikutan dakwaan rakaman video seks yang dikatakan melibatkan dirinya.

Itu bukanlah kali pertama Anwar kehilangan pertimbangan sehingga sanggup mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sewajarnya daripada seorang bergelar pemimpin.

Pada awal Mac lalu, apabila rakaman video seks itu didedahkan Anwar yang berceramah di Ampang, Selangor turut mengeluarkan perkataan seperti 'haram jadah' dan beberapa perkataan lain.

Sebelum di Klang, Anwar yang sedang berusaha meraih sokongan rakyat konon dirinya teraniaya turut berceramah di Terengganu, di situ perkataan 'bengong' dan beberapa perkataan tidak elok lain turut dilafazkan.

Walaupun memulakan ucapan dengan ayat-ayat suci al-Quran memandangkan para hadirin terdiri daripada majoritinya penyokong Pas, namun Anwar mengambil kesempatan menabur fiitnah dan pembohongan mengenai kerajaan Barisan Nasional (BN) serta memaki hamun UMNO.

Turut menjadi sasaran ialah Najib dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang digambarkan oleh Anwar menjadikan jawatan itu untuk mengayakan kaum kerabat mereka.

Apa yang cuba digambarkan oleh Anwar dalam ceramah-ceramahnya ialah beliaulah sebaik-baik insan, pemimpin yang bersih, bermoral dan berakhlak tinggi serta insan paling teraniaya di muka bumi Malaysia ini.

Tetapi apa yang berlaku dalam perjalanan politiknya sudah membuktikan bahawa Anwar bukanlah seperti mana yang beliau gambarkan namun segalanya mampu dilindungi dengan watak 'Raja Putar Alam' seperti mana digelarkan oleh bekas kawan karibnya, Datuk Nallakarupan.

Ceramah-ceramah yang diadakan hanyalah sekadar untuk melepaskan geram selepas segala tembelangnya semakin terbongkar.

Begitulah sikap Anwar yang dilihat semakin tenggelam punca dalam berhadapan tuduhan terbaru terhadap dirinya. Anwar bukannya berusaha menerangkan sama ada dakwaan itu benar atau tidak tetapi sebaliknya mengalih isu dengan menyerang UMNO, BN dan kepimpinan negara.

Dalam ceramahnya, Anwar bagaikan seseorang yang masuk pusat karaoke yang akan menyanyi apa sahaja lagu biarpun suara sumbang bagi melepaskan tekanan perasaannya.

Beberapa teman penulis di dalam pembangkang mengakui bahawa Anwar semakin tidak mampu menghadapi tekanan memandangkan bukti-bukti yang diketengahkan melibatkan dirinya terlalu kukuh.

''Selain itu kami juga perhatikan bukan sahaja jumlah kehadiran orang ramai ke ceramah semakin berkurangan malahan hujah-hujah Anwar juga semakin rapuh.

''Anwar hanya menafikan semata-mata dan mengalih isu sedangkan pokok persoalan utama tidak dijawab sebab itu semakin ramai termasuk di kalangan penyokong pembangkang sendiri sudah tidak begitu percaya kepada beliau," kata seorang pemimpin muda pembangkang ketika dihubungi penulis.

Sebenarnya, Anwar amat menyedari bahawa harapannya untuk menjadi Perdana Menteri semakin pudar, bukan sahaja kerana masalah yang sedang melanda pentadbiran kerajaan negeri di bawah pembangkang tetapi juga masalah peribadinya.

Walaupun media-media pro pembangkang cuba untuk mempertahankan Anwar tetapi mereka pun sudah tidak mampu bertahan dan melihat bahawa harapan pembangkang ke Putrajaya semakin tipis.

Namun Anwar tetap Anwar yang penuh dengan nafsu untuk berkuasa dan selagi Putrajaya tidak berada dalam genggamannya selagi itu beliau akan terpekik telolong di seluruh negara.

Tetapi setakat ini usaha Anwar boleh dikatakan sia-sia, apabila rakyat lebih memberi tumpuan kepada usaha-usaha yang dibuat oleh Perdana Menteri bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Berdasarkan kepada respons yang diberikan oleh rakyat setakat ini adalah jelas usaha kerajaan BN yang dipimpin oleh Najib semakin mendapat sambutan.

Mereka sudah tidak ada masa lagi melayan propaganda politik Anwar apatah lagi menggadaikan masa depan hanya semata-mata untuk membolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Bagi mereka, kalau betul Anwar tidak bersalah, beliau perlu menggunakan saluran perundangan yang sedia ada bagi membuktikannya dan bukan cuba menyeret rakyat turun ke jalanan bagi membela nasibnya.

Senario tahun 1998 tidak akan berulang kerana rakyat sudah semakin mengenali siapa Anwar sebenarnya. Yang kekal menyokongnya ialah mereka yang terdiri daripada golongan pemimpin dan ahli pembangkang yang sudah diserap politik kebencian.

Bagi golongan ini, apa pun kebenaran yang cuba ditengahkan mereka tidak akan terima, sebaliknya mereka tetap menyanjungi Anwar sebagai insan anugerah tuhan seperti mana dikatakan oleh isterinya, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail.

Namun berdasarkan perbualan penulis dengan beberapa pemimpin pembangkang, mereka mengakui Anwar kini bukan lagi idola sebaliknya hanya liabiliti yang jika dibiarkan akan merosakkan pakatan pembangkang.

''Pada masa ini kita seolah-olah tidak ada kerja lain, selain menafikan masalah moral yang dihadapi oleh Anwar dan ini menjejaskan masa kita untuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum," kata seorang lagi pemimpin pembangkang kepada penulis.

Ditanya mengenai kemunculan 'Buku Jingga' yang dikatakan mampu menarik sokongan rakyat, pemimpin berkenaan enggan mengulas lanjut sebaliknya penuh kiasan berkata, 'pelanduk tidak akan masuk perangkap yang sama'.

Jelaslah, Anwar kini semakin memberikan bebanan kepada pembangkang dan kehadirannya jika suatu ketika dulu dianggap sebagai wira penyelamat tetapi kini beliau boleh dianggap bagaikan 'anai-anai' yang semakin memusnahkan pembangkang dari dalam kerana masalah peribadinya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan