Utusan Online - Pahang |
- Arahan di 89 pusat rekreasi
- Terharu terima kunjungan Ketua Polis Pahang
- Pulau Acheh destinasi pelancongan baru di Pahang
Posted: Arahan di 89 pusat rekreasiOleh SITI NORIZAT SHIKH ABDUL JALIL KUANTAN 6 Mei - Orang ramai diminta mengikut garis panduan yang ditetapkan di 89 pusat rekreasi sungai dan air terjun di negeri ini bagi mengelak berlakunya jangkitan penyakit terutama bakteria Leptospirosis dan Melioidosis. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, garis panduan tersebut melibatkan kerjasama antara beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perhilitan. Menurut beliau, semua pihak perlu bekerjasama bagi memastikan langkah pencegahan ditetapkan terutama pengunjung yang berisiko seperti pesakit diabetes dan kurang daya tahan badan. "Pengunjung yang mempunyai luka atau penyakit kulit disaran supaya tidak mandi, bermain air atau menyentuhnya secara langsung bagi mengelak jangkitan," katanya kepada pemberita di Wisma Sri Pahang di sini semalam. Sebelum ini seramai lapan daripada 22 orang yang terlibat mencari dan menyelamat seorang pemuda lemas di Lubuk Yu telah meninggal dunia akibat bakteria tersebut pada Julai tahun lalu. Bakteria Melioidosis disebabkan air dan tanah yang tercemar manakala Leptospirosis pula ialah virus air kencing haiwan seperti tikus dan anjing. Menurutnya, pengunjung digalakkan membawa bekalan air sendiri atau menggunakan bekalan air bersih dan selamat untuk diminum. Katanya, sekiranya mengalami demam atau jatuh sakit, mereka perlu segera mendapatkan rawatan serta memaklumkan kepada doktor sekiranya berkunjung ke pusat rekreasi tersebut. | ||
Terharu terima kunjungan Ketua Polis Pahang Posted: Terharu terima kunjungan Ketua Polis Pahang
KUANTAN 6 Mei - Seorang pesara polis, Mohamed Jabar Mohamed, 61, yang menderita sakit saraf kronik terharu apabila menerima kunjungan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani yang melawatnya di Kampung Sri Damai, Jalan Gambang di sini semalam. Mohamed Jabar disahkan menghidap sakit saraf kronik sejak setahun lalu selepas mengalami ketidakselesaan di bahagian leher. Dia yang kini mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini berkata, walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak dia masih menaruh harapan untuk pulih. "Doktor juga memaklumkan ada peluang untuk saya sembuh seperti sedia-kala," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Sharifuddin di rumahnya di sini semalam. Mohamed Jabar yang bersara sebagai sarjan lima tahun lalu pernah ditugaskan di Balai Polis Ipoh, Pusat Latihan Ulu Kinta, Ipoh, bertugas di Sarawak sebanyak lima kali dan mempunyai pengalaman bertugas di sempadan Thailand. Dalam pada itu, Sharifuddin berkata, aktiviti tersebut membuktikan keprihatinan pasukan terhadap mereka yang pernah berkhidmat selain orang awam. "Kunjungan tersebut diharap akan menggembirakan pesakit dan ahli keluarga mereka. Kita akan meneruskan aktiviti seperti ini dari semasa ke semasa selain cuba membantu pesakit itu menjalani rawatan pemulihan," katanya. Pada program itu, beliau turut menyumbangkan hamper makanan dan sedikit wang tunai untuk kegunaan pesakit. | ||
Pulau Acheh destinasi pelancongan baru di Pahang Posted: Pulau Acheh destinasi pelancongan baru di Pahang
KUANTAN 6 Mei - Pahang bakal memiliki satu lagi destinasi pelancongan menarik apabila Pulau Acheh yang terletak di Kuala Rompin akan dibangunkan sebagai pusat peranginan popular selepas Pulau Tioman. Idea projek pembangunan di kawasan seluas 20 hektar itu diilhamkan oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah. Dikenali sebagai Rain Forest Resort, projek itu yang bakal dibangunkan oleh Plus Asia Jaya Sdn. Bhd. dijangka melibatkan kos RM120 juta. Pelancaran projek berkenaan disempurnakan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang turut dihadiri Tengku Abdul Rahman, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman, Datuk Johari Hussain di sini hari ini. Pada sidang akhbar kemudiannya, Ketua Pegawai Eksekutif Plus Asia Jaya Sdn. Bhd., Datuk Loi Kong Yaw berkata, projek yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan itu tidak akan menjejaskan alam sekitar kerana konsep pembinaan dilakukan secara mesra alam. "Pusat penginapan itu akan menyediakan hotel dan calet bertaraf lima bintang serta memfokuskan 80 peratus konsep alam semula jadi dalam pembinaan itu nanti," katanya. Selain itu, Kong Yaw berkata, beberapa projek lain turut dibangunkan seperti kondominium, pangsapuri dan taman tema air serta pelabuhan kapal layar sebagai tarikan kepada pengunjung ke pulau itu. Dalam pada itu, Johari berkata, apabila projek itu siap kelak, ia juga bakal menawarkan kira-kira 300 hingga 350 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Menurutnya, Pulau Acheh mendapat namanya kerana pernah menjadi tempat berlindung pedagang dari Aceh sebelum ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan